VARIA

Hadiah Cef Adu buat ahli keluarga

Hadiah Cef Adu buat ahli keluarga


CEF ADU mendedikasikan buku Ke Mana Tumpahnya Kuah buat ahli keluarga yang banyak memberi sokongan dan dorongan sepanjang kariernya.


“PENGHASILAN buku ini adalah hadiah saya kepada keluarga. Apabila saya sudah tiada nanti, adalah kenang-kenangan yang ditinggalkan buat mereka,” kata Adu Amran Hassan, 47, mengenai bukunya yang bertajuk Ke Mana Tumpahnya Kuah.

Nama Adu Amran atau lebih dikenali dengan panggilan Cef Adu mula dikenali ramai selepas menjadi juri dalam program realiti televisyen, MasterChef Malaysia.

Sejak muncul di kaca televisyen, ramai yang ingin mengenali lelaki yang berasal dari Kluang, Johor itu.

Menurut Cef Adu, namanya kurang meniti dalam dunia masakan kerana terlalu lama bermastautin di London iaitu lebih 16 tahun. Hanya selepas program MasterChef Malaysia, dia mula dikenali sebagai cef selebriti.

Berkongsi tentang sisi kebolehan yang lain, Cef Adu memaklumkan, selain mempunyai kepakaran dalam bidang masakan, dia juga sukakan dunia penulisan.

Maka, tidak hairanlah sehingga kini dia sudah menghasilkan tiga buah buku iaitu Nasi dan Seni, Ikan Di Laut Asam Di Darat dan terbaru Ke Mana Tumpahnya Kuah.

Intipati buku

Katanya, kelahiran buku-buku itu juga adalah hasil kecintaannya terhadap keluarga, warisan, masakan dan penulisan.

Keistimewaan kali ini ialah ia merupakan buku semi autobiografi masakan yang dibuat khusus untuk menghargai ahli keluarga yang banyak membantu dalam perjalanan kariernya.

“Intipati buku ini berkisarkan tentang resipi-resipi daripada ahli keluarga seperti ibu, adik, arwah nenek, mak long, pak long dan rakan baik.

“Setiap resipi asal mereka saya bukukan di dalam naskhah ini. Lebih menarik, saya turut meletakkan resipi-resipi yang saya olah sendiri hasil daripada resipi asal tadi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di The Canteen by Chef Adu, Muzium Tekstil Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara resipi asal ialah sotong goreng telur masin kemudian diolah menjadi resipi yang lebih moden iaitu kekapis bersama minyak daun kari dan telur masin.

“Ada juga resipi sambal tumis terung kemudian saya olah menjadi canapes sambal tumis terung. Selain itu, terdapat juga sambal goreng jawa diolah kepada mufin tempe dan kentang.

“Banyak lagi resipi lama yang boleh didapati di dalam buku ini. Jumlah resipi yang terdapat di dalam buku ini adalah 74 resipi kesemuanya,” ujar anak kedua daripada lapan adik-beradik itu.

Cef Adu menambah, oleh kerana dia perlu mendapatkan resipi daripada setiap ahli keluarga secara terperinci, maka naskhah Ke Mana Tumpahnya Kuah itu mengambil masa yang panjang untuk disiapkan iaitu kira-kira tiga tahun.

“Kebanyakan ahli keluarga saya ada yang sudah tua. Jadi, saya perlu duduk dengan mereka untuk mendapatkan resipi dan masak bersama-sama bagi membangkitkan lagi nostalgia dulu-dulu.

“Biar masa yang diambil sedikit lama, janji buku yang dihasilkan berkualiti dan semua pihak berpuas hati,” jelasnya yang mempunyai perancangan untuk mengeluarkan buku berkenaan dalam versi bahasa Inggeris pula.

Naskhah Ke Mana Tumpahnya Kuah boleh didapati di kafe milik Cef Adu iaitu The Canteen by Chef Adu di Muzium Tekstil Negara, Kuala Lumpur dan kedai-kedai buku terpilih di seluruh Malaysia.

Process time in ms: 31