RENCANA UTAMA

Bantu promosi produk melalui media sosial

Bantu promosi produk melalui media sosial

Terdapat sembilan PI1M di daerah Padang Terap, Kedah.


SUASANA sunyi dengan pohon padi melambai-lambai mengikut arah angin di Kampung Kubang Kenyeng, Kuala Nerang, Kedah pastinya memberi ketenangan kepada jiwa.

Selain menenangkan diri, kampung yang penuh kehijauan itu juga mampu menghadirkan buah fikiran bernas dan ilham ke dalam minda.

Begitupun, persekitaran tenang tersebut masih tidak cukup buat Nur Mayani Ismail, 30, mencari ilham mengenai perkara-perkara yang boleh ditulis dalam novelnya.

Sebagai anak kelahiran kampung tersebut, dia tidak dapat menumpukan perhatian terhadap penulisan kerana sering diganggu oleh keadaan sekeliling seperti televisyen dan media sosial.

Situasi ini, sedikit sebanyak mengganggu fokus Nur Mayani dalam menyiapkan manuskrip mengikut waktu yang telah ditetapkan oleh pihak penerbit.

Menyedari hakikat tersebut, wanita yang sudah berumah tangga itu mengambil keputusan untuk menyiapkan manuskrip novelnya di Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) Kampung Tanjung yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya.

Setiap hari dia akan menghabiskan masa selama lima jam untuk menyiapkan manuskrip menggunakan kemudahan komputer dan internet di PI1M.

“Saya mula berkunjung ke PI1M sejak dua tahun lalu selepas ia dibuka di kampung ini. Pusat internet ini tidak ubah seperti tempat kerja saya.

“Suasana tenang dan berpendingin hawa di sini memberi lebih keselesaan kepada saya untuk menyiapkan manuskrip novel.

“Ia berbeza apabila di rumah, saya rasa tidak ada motivasi untuk menyiapkan manuskrip dan sering menghabiskan masa menonton televisyen,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Nur Mayani, kemudahan komputer dan internet yang ditawarkan di PI1M membantu memudahkannya mencari bahan-bahan untuk dimuatkan dalam manuskrip.

Wanita berkulit sawo matang itu memaklumkan, kemudahan internet di situ juga membantu memudahkannya berkomunikasi dengan pihak penerbit.

“Kemudahan internet di sini sangat pantas. Ia banyak membantu saya menyiapkan manuskrip dan berkomunikasi. PI1M juga selesa kerana dilengkapi meja, kerusi dan sofa empuk.

“Saya dapat mengakses PI1M dengan bayaran keahlian sebanyak RM5 seumur hidup dan penggunaan internet RM1 sejam,” katanya yang juga merupakan usahawan produk secara online. Hasil ilham yang diperoleh di PI1M, bekas pelajar Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor itu berjaya menyiapkan novel terbaharu bertajuk Mr. Pain Killer.

Jelasnya, novel yang diterbitkan tahun lalu itu mendapat sambutan positif daripada pembaca dengan terjual sebanyak lebih 10,000 naskhah.

Eksport madu


PI1M dilengkapi kemudahan komputer dan internet.


“Alhamdulillah, saya dapat rasakan terdapat perbezaan antara novel ini dengan 13 novel lain yang dihasilkan sebelum ini seperti Jejak Dosa, Handsome Man dan Hospital,” katanya.

Nur Mayani merupakan salah seorang daripada beberapa orang usahawan berjaya di daerah Padang Terap hasil daripada program kluster PI1M.

Daerah tersebut mempunyai sembilan P1IM iaitu di Kampung Tanjung, Lubuk Merbau, Kampung Musa, Kampung Perik, Kampung Bukit Tembaga, Pekan Naka, Belimbing Kanan dan Kampung Tong Pelu.

Antara usahawan yang berjaya menerusi program kluster PI1M di Padang Terap ialah pengusaha Rumah Bot Tasik Pedu, kerepek labu, petani cendawan vevorela dan madu kelulut.

Salah seorang usahawan yang berjaya menerusi program kluster PI1M di daerah tersebut ialah pengusaha Jelutong Kelulut Madu (JKM), Nur Isma Afifi.

Hasil daripada program tersebut, wanita berusia 32 tahun itu berjaya mengeksport produk seperti madu, propolis, barangan kecantikan dan sabun ke luar negara.

“Sebelum ini, produk-produk madu kelulut keluaran syarikat saya hanya mendapat permintaan dari masyarakat sekitar Padang Terap dan Kedah.

“Namun hasil bantuan PI1M, produk berasaskan madu kelulut saya berjaya menembusi pasaran Brunei dan Singapura,” jelasnya yang mengusahakan penternakan kelulut sejak empat tahun lalu.

Media sosial


SUAMI Nur Isma, Mohd. Riban Zainol menunjukkan produk berasaskan kelulut yang dihasilkan oleh JKM.


Menurut Nur Isma, PI1M telah mengajarnya pemasaran secara online, pelabelan dan mereka bentuk label.

Dia turut menjalani kursus keusahawanan internet yang dianjurkan oleh PI1M setiap minggu sejak tahun 2015.

“PI1M telah membantu menularkan video JKM menerusi laman sosial Facebook dan YouTube. Jumlah tontonan di kedua-dua platform itu mencecah hampir 8,600 kali.

“Sejak menggunakan platform media sosial yang disyorkan oleh PI1M ini, pendapatan bulanan saya meningkat daripada RM200 kepada RM10,000 sebulan,” katanya sambil memaklumkan kursus dan bantuan diperoleh secara percuma.

Menarik, kluster PI1M di Padang Terap merupakan daerah paling berjaya di wilayah utara dalam membantu masyarakat tempatan menjana pendapatan sampingan. Sebanyak 24 kluster telah diwujudkan di wilayah utara yang merangkumi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Pengarah Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Wilayah Utara, Ismail Othman berkata, program kluster PI1M mula diwujudkan pada tahun lalu bagi meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Jelasnya, menerusi inisiatif tersebut, 18 orang petugas PI1M dalam daerah Padang Terap dapat bekerjasama dalam satu kumpulan bagi menonjolkan produk dan perkhidmatan yang terdapat di daerah itu.

“Program ini membolehkan mereka (pekerja PI1M) mengendalikan program-program lebih besar dan berkongsi kemahiran dalam mempromosikan produk komuniti tempatan.

“Ini sekali gus dapat mencapai salah satu tujuan asal penubuhan PI1M iaitu meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat di luar bandar,” katanya.

Menurut Ismail, kluster P1IM Padang Terap mengambil langkah mempromosikan produk dan perkhidmatan menerusi laman Facebook Menarik Di.. dan laman web www.menarikdi.com.

Jelasnya, para petugas P1IM akan membantu para usahawan menghasilkan video, gambar dan teks sebelum memuat naik ke dalam laman web Menarik Di.

“Kami sedar, produk-produk dari daerah ini mempunyai potensi besar untuk dipasarkan ke luar kawasan.

“Justeru, sebagai sebuah pusat yang mempunyai kemudahan internet, kami terpanggil untuk membantu para usahawan ini,” katanya.

Selain itu, para usahawan juga didedahkan dengan aspek pemasaran secara online, pelabelan dan mereka bentuk label.

Jelasnya, para usahawan disaran menghadiri kelas yang diadakan secara berkala untuk memantapkan ilmu berkaitan pemasaran produk mereka.

“Usaha PI1M itu telah memberi impak positif kepada penduduk tempatan. Malah, kemasukan pelancong luar ke Padang Terap turut meningkat.

“Program kluster ini tidak akan berjaya tanpa bantuan agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Institusi Pengajian Tinggi, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan dan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Process time in ms: 47