INFINITI

Mahasiswa tanam pokok bakau demi masa hadapan

Mahasiswa tanam pokok bakau demi masa hadapan


SERAMAI 70 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelajar UM menganjurkan program menanam anak pokok bakau di Hutan Simpan Banjar Utara, Kuala Selangor baru-baru ini.


POKOK bakau secara amnya merujuk kepada jenis tumbuhan yang membiak di kawasan berpaya terutamanya antara pertembungan air tawar dan air laut.

Di Malaysia, terdapat empat spesies utama pokok bakau iaitu api-api (Avicennia spp.), bakau kurap (Rhizophora spp.), perepat (Sonneratia spp.) dan berus atau tumu (Bruguiera spp.).

Kesemuanya memainkan peranan yang pelbagai dalam keseimbangan ekologi dan biodiversiti setempat.

Tanaman bakau berfungsi sebagai penampan hakisan ombak, perlindungan kepada hidupan lain terutamanya anak ikan dan sumber perkayuan yang kalis air tanpa memerlukan proses rawatan yang rumit.

Antara lainnya, hutan bakau turut digunakan sebagai tempat perlindungan untuk burung-burung migrasi, bertelur dan berehat.

Selain itu, ia menjadi habitat penting bagi pelbagai jenis ketam seperti ketam nipah dan udang.

Di Malaysia, hutan bakau biasanya dilindungi dan diwartakan oleh Jabatan Perhutanan untuk pengeluaran kayu secara mapan.

Namun, di kebanyakan kawasan termasuk di Malaysia, tumbuhan itu sedang menghadapi beberapa masalah seperti penebangan kawasan hutan, penebusgunaan tanah bagi kegunaan domestik dan komersial serta pencemaran kawasan persekitaran.

Atas kesedaran itu, sekumpulan 70 orang sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa dari Kolej Kediaman Keempat, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur telah menganjurkan program menanam anak pokok bakau di Hutan Simpan Banjar Utara, Kuala Selangor baru-baru ini.

Program itu turut mendapat kerjasama syarikat General Electric Malaysia (GE) yang menjadikan ia sebagai salah satu usaha untuk mendekati masyarakat dan alam sekitar.

Pengetua Kolej Kediaman Keempat UM merangkap Penasihat program itu, Prof. Madya Dr. Wan Himratul Aznita Wan Harun berkata, UM sentiasa menggalakkan pelajarnya berkecimpung dalam program kemasyarakatan yang mampu memberi tambah nilai kepada diri mereka.

“Kelestarian alam sekitar adalah salah satu topik tumpuan, bukan sahaja di peringkat universiti tetapi di peringkat global menerusi inisiatif Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Oleh yang demikian, aktiviti seperti ini amat digalakkan supaya lebih ramai orang dapat menjalankan tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar,” katanya.

Impak besar


SUKARELAWAN menanam pokok bakau yang dibekalkan sambil mendapat pengawasan staf Jabatan Perhutanan Selangor.


Sejumlah 300 anak pokok bakau telah ditanam oleh para sukarelawan dengan bantuan penduduk di sekitar Kuala Selangor dan pengawasan staf Jabatan Perhutanan Selangor.

Anak pokok yang ditanam mengambil masa lebih kurang 10 tahun untuk membesar.

Sementara itu, Marzlyqa Razali, 21, pelajar tahun kedua Fakulti Perniagaan dan Perakaunan yang mengetuai program sukarelawan tersebut berkata, aktiviti seperti itu tentunya memberi impak yang besar bukan sahaja kepada pelajar tetapi orang awam.

“Biarpun ia berskala kecil, saya amat pasti impaknya adalah besar.

“Bukan sahaja program ini membawa manfaat kepada alam sekitar tetapi secara tidak langsung ia dapat memupuk sifat ingin menjadi ejen perubahan masyarakat dalam diri setiap sukarelawan yang terlibat,” ujarnya.

Kawasan Hutan Simpan Banjar Utara itu terletak di muara Sungai Selangor dan berhadapan secara langsung dengan Selat Melaka. Ia merupakan antara lokasi terpenting bagi pemuliharan kawasan paya bakau di negara ini.

Para sukarelawan UM yang terlibat turut melahirkan keinginan untuk melebarkan usaha mereka ke kawasan paya bakau yang lain pada masa hadapan.

Process time in ms: 31