VARIA

Karnival saji 500 makanan jalanan Kedah

Karnival saji 500 makanan jalanan Kedah

GULAI batang pisang antara menu menarik yang akan dihidangkan di karnival Kedah Best Street Food 3.0 pada 26 hingga 29 Oktober ini.


MENGUMPULKAN pengusaha industri makanan jalanan terbaik di negeri Kedah, karnival Kedah Best Street Food 3.0 bakal berlangsung pada 26 hingga 29 Oktober ini di pekarangan Stadium Darul Aman.

Memasuki siri ketiga, program ini adalah inisiatif Persatuan Pembangunan dan Kemajuan Masyarakat (FORWARD KEDAH) yang bergiat aktif mempromosikan industri pelancongan di negeri itu dengan mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri Kedah.

Karnival ini menyajikan hampir 500 pilihan makanan daripada 100 pengusaha makanan jalanan yang datang dari 12 daerah di negeri Kedah.

Di samping itu turut disediakan persembahan kesenian negeri Kedah dan Charity Ride oleh beberapa kelab permotoran bagi membantu sekolah tahfiz dan rumah orang tua sekitar negeri itu.

Kategori makanan yang akan disediakan termasuklah hidangan tradisi negeri Kedah dan Barat.

Antara makanan yang disajikan adalah cucur udang dua beradik, teh ais gajah, pisang goreng sarung, cendol raja, gulai batang pisang, kerabu daging mentah, sate semeling dan nasi lemak lan.

Exco Pelancongan Negeri Kedah, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid berkata, kerajaan negeri yakin dengan adanya program seperti ini dapat menarik minat lebih ramai pelancong tempatan untuk berkunjung ke negeri Kedah dan merasai sendiri keenakan makanan di sini.

“Kerajaan negeri sangat komited dalam membangunkan industri pelancongan di negeri Kedah dan yakin program seperti Karnival Best Street Food 3.0 adalah satu usaha bertepatan bagi membantu merancakkan lagi industri pelancongan, sekali gus dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” jelasnya dalam satu kenyataan akhbar.

Sementara itu, Pengerusi FORWARD KEDAH, Khairil Hanafi berkata, pihaknya yakin karnival ini bertepatan dengan usaha Kementerian Pelancongan Malaysia iaitu mempromosikan pelancongan dalam negara melalui kempen #dekatje.

“Berdasar kepada penganjuran sebelum ini, kami percaya program pada kali ini dapat menarik lebih 30,000 pengunjung sepanjang empat hari karnival ini dijalankan.

“Kami juga telah bekerjasama dengan Hotel Fuller dan Hotel Holiday Villa dengan menyediakan pakej percutian sambil menikmati keenakan makanan di Kedah dengan kadar RM150 semalam untuk seisi keluarga yang diuruskan oleh Ikhlas Holiday sempena Karnival Kedah Best Street Food 3.0,” ujarnya.

Process time in ms: 47