RENCANA UTAMA

Bimbingan pakar mampu atasi trauma

Bimbingan pakar mampu atasi trauma


TIDAK mudah untuk menghadapi tragedi itu tetapi minda individu perlu tabah menanganinya. – Gambar hiasan


Tragedi yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru warden asrama di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur hampir sebulan berlalu.

Ia mengundang rasa simpati dan prihatin pelbagai pihak termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat.

Pelbagai pihak tampil untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban pusat tahfiz itu.

Bagaimanapun, sehingga kini sukar untuk dinafikan bahawa tragedi yang berlaku pada pukul 5.15 pagi, 14 September itu memberi kesan yang mendalam bukan sahaja kepada keluarga terdekat mangsa tetapi rakyat Malaysia sendiri.

Menurut Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Prof. Madya Dr. Huzili Hussin, otak manusia mempunyai kemampuan yang sangat besar untuk merakam segala perkara sama ada positif mahupun negatif.

Katanya, setiap deria seperti rasa, bau, penglihatan mahupun sentuhan yang direncanakan menerusi pancaindera boleh dirakam dengan baik oleh organ tersebut.

Sekiranya setiap yang dirakam itu berunsur positif, ia tidak memberikan sebarang masalah kepada individu, sekali gus menyuntik pengalaman manis.

Namun, jika perkara yang dirakam itu berbentuk tragedi, ia pasti akan memberikan kesan yang berpanjangan.

Kesan itu akan mengundang masalah bounce back atau imej yang melantun-lantun dalam kepala seperti trauma.

“Trauma terjadi apabila imej yang dirakam dalam kepala itu sering bermain-main sehingga mengganggu individu tersebut.

“Mereka yang mengalami trauma akan menunjukkan keresahan, kebimbangan sehingga menjejaskan tingkah laku serta emosi apabila dipengaruhi imej itu.

“Ia secara automatik akan mempengaruhi perasaan, tindakan termasuk fizikal hingga akhirnya mangsa akan mengalami kemurungan,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Huzili menambah, setiap apa yang dirakam itu sama ada baik mahupun buruk adalah mustahil untuk dilupakan sampai bila-bila.

Bagaimanapun, solusi terbaik dalam mengatasi trauma adalah dengan menerima dan mengawalnya dengan baik supaya ia tidak mengganggu aktiviti seharian.

Ini kerana mangsa trauma perlu sedar dan menerima hakikat bahawa setiap perkara yang berlaku merupakan sebahagian daripada proses kehidupan.

Kongsi Huzili, jika berlaku sesuatu tragedi, masyarakat termasuk keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu mangsa.

Perkara yang perlu dilakukan adalah dengan mengasingkan mangsa trauma terlebih dahulu daripada masyarakat sekeliling.

Motivasi

Pengasingan itu bagi mengelakkan masyarakat bertanya kepada individu yang trauma tersebut sehingga akhirnya mencetus kesan lantunan imej dalam kepala mereka.

“Orang terdekat juga boleh memberikan motivasi dan semangat kepada mangsa dengan memberitahu mereka bahawa perkara sedemikian boleh terjadi kepada sesiapa sahaja dalam bentuk yang pelbagai.

“Selain itu, masyarakat atau ahli keluarga juga wajar memastikan usaha kaunseling atau pantauan pakar dilakukan berterusan kerana kehidupan ini perlu diteruskan,” tambahnya lagi.

Bagi mengatasi masalah trauma itu, Huzili memberitahu, kekuatan minda masyarakat perlu dilatih dan diperkuatkan.

Jelasnya, ia boleh dilakukan dengan bimbingan daripada pakar dalam bidang itu bagi mendapatkan rawatan mengikut prosedur yang tepat.

Ia merupakan perkara yang perlu dititikberatkan kerana jika mangsa trauma berjumpa dengan orang sebarangan, ia dikhuatiri akan memburukkan lagi keadaan.

Sementara itu, penceramah dan pendakwah bebas, Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali berkata, setiap umat Islam wajib percaya serta yakin kepada qada dan qadar seperti yang telah tertulis dalam Rukun Iman.

“Setiap yang berlaku itu telah tertulis dan ditetapkan.

“Walaupun perit, kita perlu menerima dan tawakal dengan apa yang telah diberikan.

“Selain itu, kita perlu sentiasa bersabar dan yakin bahawa setiap yang berlaku terkandung hikmah besar di sebaliknya,” ujarnya.

Baru-baru ini, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengakui, tragedi itu turut memberi kesan buat dirinya sekeluarga.

Rosmah yang merupakan Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri dan Penaung Tabung Kesejahteraan Kanak-Kanak Sedunia berkata, anak-anak pusat tahfiz itu begitu dekat dengan beliau dan keluarga.

Ucapan takziah turut dizahirkan ketika menyampaikan sumbangan berjumlah RM1.6 juta kepada keluarga dan pelajar pusat tahfiz itu dalam satu majlis di Seri Perdana baru-baru ini.

Pada majlis itu, Rosmah menyampaikan sumbangan kepada 40 penerima iaitu 23 waris yang terkorban, enam keluarga pelajar yang cedera dan 11 pelajar terselamat.

Process time in ms: 47