RENCANA UTAMA

Pulihara warisan Orang Asli Kanada

Pulihara warisan Orang Asli Kanada


TASIK Flame kini menjadi tumpuan rakyat Kanada yang mahu melihat warisan dan tradisi komuniti Dene Nahjo dengan lebih dekat.


KULIT rusa dan bison kering dihamparkan di atas kayu-kayu pain di kawasan kem di Yellowknife, utara Kanada itu. Generasi muda kelihatan mempelajari kemahiran menyamak kulit haiwan bagi memelihara warisan tersebut.

“Di mana-mana sekalipun, jika terdapat haiwan, kita perlu belajar menggunakan kulitnya untuk membuat pakaian, khemah dan apa-apa sahaja.

“Nenek moyang kita telah lama memiliki kemahiran ini namun penjajah menyebabkan ilmu tersebut tidak dapat diperturunkan kepada generasi muda,” kata Mandee McDonald, antara pengasas Dene Nahjo yang merupakan antara etnik peribumi di Amerika Utara.

Bagaimanapun, populariti warisan turun-temurun dalam kalangan komuniti Dene Nahjo memastikannya tidak terkubur begitu sahaja.

Pada musim panas lalu, kem tersebut telah dibangunkan di Tasik Flame lengkap dengan peralatan seperti khemah, meja piknik dan bingkai kayu pain untuk menjemur kulit-kulit haiwan.

Sebelum ini, lokasi itu sering menjadi tumpuan komuniti berkenaan untuk memancing ikan di tasik itu namun aktiviti perlombongan emas di kawasan berhampiran menyebabkan ia tercemar.

Komuniti Dene Nahjo diwujudkan untuk memperjuangkan keadilan sosial masyarakat peribumi di Kanada. Malah, kem itu dilihat sebagai simbolik penentangan mereka terhadap kolonialisme.

Generasi mudanya masih mengingati bagaimana ahli keluarga mereka dipaksa bersekolah selain dilucutkan hak untuk mengamalkan adat dan bahasa peribumi sebagai usaha mengintegrasikan mereka dalam masyarakat.

Menurut mereka, setiap kali menyiat kulit haiwan, ia dapat memadamkan penindasan selama lebih seabad di sekolah yang dikendalikan pihak gereja yang mewakili kerajaan persekutuan.

Sementara itu, di luar khemah berbentuk runcing itu, golongan tua pula sibuk mengikis bulu moose yang dihamparkan di atas plastik. Bulu itu akan digunakan untuk menghias bakul-bakul yang diperbuat daripada kayu birch.

Erat hubungan

RAMAI golongan muda dalam komuniti Dene Nahjo mempunyai kemahiran yang melibatkan penghasilan kulit haiwan.


Kebanyakan budaya peribumi di Amerika Utara beranggapan bahagian haiwan yang diburu atau ditangkap mesti digunakan.

Bagi salah seorang pengasas kumpulan itu yang mempunyai darah campuran etnik Gwich dan Sweden, Tania Larsson berkata, golongan muda perlu menghormati golongan tua yang dipandang tinggi.

“Kamu tidak boleh berjalan dan berkata ‘Hei, ajar saya budaya kamu,” jelasnya.

“Penghasilan kulit haiwan bukan saja tentang mempelajari kemahiran, ia berkaitan warisan kita,” katanya.

Tambah Larson, kem tersebut membolehkan mereka menjalin hubungan bersama golongan veteran dan rakan-rakan.

Komuniti itu juga merancang berkongsi tradisi dan warisan mereka kepada orang ramai khususnya pelancong yang berkunjung ke Aurora Borealis.

Penduduk Yellowknife, Jennifer Skelton mengakui teruja mempelajari kemahiran itu dengan menggunakan kulit moose yang diburu suaminya.

“Idea menubuhkan kem ini memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk mempelajari kemahiran dan warisan masyarakat peribumi di sini,” katanya.

Biarpun jumlah ahlinya agak kecil, komuniti Dene Nahjo mendapat sokongan daripada pemimpin-pemimpin Orang Asli tempatan, termasuk dinamik para pengasasnya yang berjaya menarik ramai ahli menyertainya.

“Tiada herarki di sini, semuanya sama sahaja. Membuat keputusan mungkin mengambil masa lama tetapi kami sentiasa bersama yang menyebabkan hubungan itu semakin rapat,” katanya.

Mempunyai populasi kira-kira 20,000 penduduk, Yellowknife tidak mempunyai pusat kebudayaan atau tempat pertemuan bagi mereka yang meminati seni dan warisan.

Sementara itu, di dalam khemah, beberapa lelaki memanggang ikan di atas bara api sebagai makanan kepada tetamu yang hadir. Dua peserta wanita yang memakai sarung tangan pula menyiang kulit moose dan mengasingkan antara lemak dan dagingnya.

Mereka patuh ajaran nenek moyang iaitu membantu antara satu sama lain dan berkongsi apa yang dimiliki. – AFP

Process time in ms: 93