GENK

Dedikasi bidikan lensa antarabangsa Abdul Rahman

Dedikasi bidikan lensa antarabangsa Abdul Rahman


BERASAK-ASAK untuk mendapatkan sudut gambar terbaik merupakan lumrah yang harus dilalui jurugambar termasuk Abdul Rahman.


SESIAPA yang pernah melayari portal www.rahmanroslan.com pasti kagum melihat bidikan lensa yang menjadi portfolio lelaki yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur itu.

Manakan tidak, sebahagian besar gambar yang dipaparkan sarat dengan mesej sosial dan kemanusiaan yang dikutip oleh Abdul Rahman Roslan, 32, sepanjang menjadi jurugambar bebas hampir sedekad lalu.

Tidak ramai mengetahui, Abdul Rahman juga merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang menjadi jurugambar sambilan agensi fotografi antarabangsa, Getty Images.

Menyusuri perjalanannya dalam seni fotografi, Abdul Rahman berkata, ia bermula sewaktu dia menuntut di sebuah kolej swasta di ibu negara dalam kursus hiasan dalaman dan seni bina sekitar tahun 2007.

“Pada masa itu, saya hanya belajar fotografi sebagai subjek elektif di samping merakam gambar untuk keperluan tugasan kursus seperti bangunan, tekstur dan garisan.

“Biarpun sekadar menggunakan kamera kompak, saya seronok merakam gambar di mana-mana sahaja sebelum berkongsi minat tersebut di laman sosial fotografi, fotopages,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Abdul Rahman, menerusi platform itu dia telah berkenalan dengan jurugambar berpengalaman, Shamshahrin Shamsudin.

“Beliau mencadangkan saya menjadi peserta bengkel fotografi antarabangsa sempena Angkor Photo Festival 2007 yang disertai lebih 30 jurugambar dari seluruh dunia sekiranya mahu serius dalam industri berkenaan.

“Disebabkan saya belum ada portfolio sendiri, beliau bersetuju membantu saya termasuk mencurah ilmu dan pengalaman dalam seni tersebut khususnya fotografi kewartawanan,” ujarnya yang berguru dengannya hampir sembilan bulan.

Menurut Abdul Rahman, pengalaman menghadiri bengkel tersebut yang dikendalikan jurugambar profesional dari luar negara menaikkan semangatnya untuk menjadikan bidang fotografi sebagai kerjaya.

Katanya, bagi mengasah kemahirannya, dia telah berulang-alik ke Indonesia dan menjadikan negara itu sebagai ‘universiti’ untuk mendalami seni itu secara mendalam.

“Boleh dikatakan sebulan sekali saya pasti akan ke sana dan menjadikan realiti kehidupan masyarakat sebagai subjek utama.

“Saya turut menjadi jurugambar bebas dengan menjual gambar di akhbar-akhbar tempatan atau kepada mana-mana pihak yang berminat,” ujarnya.

Tidak cukup dengan itu, Abdul Rahman turut menyertai bengkel Foundry Photojournalism Workshop di Manali, India pada tahun 2011 untuk mendalami ilmu fotografi peperangan.

“Setiap peserta telah diberi satu tugasan dan saya membuat tugasan mengenai kegiatan pengedaran dadah di sana. Bayangkan saya bukan sahaja berkunjung ke ladang dadah malah berpeluang melihat proses penghasilannya sehingga ke mana ia diedarkan.

“Biarpun tugasan itu sangat berisiko, saya berpuas hati kerana tugasan itu memenangi anugerah terbaik secara keseluruhan apatah lagi bengkel itu melibatkan jurugambar-jurugambar profesional dan telah mempunyai nama,” katanya.

Melancong

Abdul Rahman merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang menjadi jurugambar sambilan agensi foto antarabangsa terkenal, Getty Images.


Abdul Rahman berkata, selepas pulang dari bengkel tersebut sedikit sebanyak berjaya mengangkat namanya sehingga dia mula mendapat tawaran menjadi jurugambar bebas dengan agensi-agensi penerbitan antarabangsa.

Katanya, tugasan pertamanya ialah bersama The New York Times iaitu merakam gambar wanita dalam keadaan mabuk di sekitar ibu negara untuk sebuah artikel.

“Dua keping gambar saya telah disiarkan untuk keluaran akhbar berkenaan pada tahun 2011. Selepas itu, tawaran lain mula datang mencurah-curah termasuk dari Time Magazine, Newsweek, The Guardian sehingga Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan National Geographic.

“Seterusnya pada 2013, saya mula mendapat tawaran dari Getty Images dan menjadi salah seorang daripada 10 jurugambar agensi itu untuk Asia Pasifik,” katanya yang telah mendirikan rumah tangga dengan Aida Azmi, 32.

Jelasnya, pengalaman bekerja dengan agensi penerbitan antarabangsa sememangnya menjanjikan pendapatan lumayan namun memerlukan komitmen dan dedikasi yang tinggi.

Ini kerana, setiap penerbitan mempunyai pesaing dan pastinya memerlukan foto terbaik untuk melariskan akhbar atau majalah mereka.

“Boleh dikatakan, sejak bergelar jurugambar bebas dan sambilan ini membolehkan saya melancong ke banyak negara dan bertemu pelbagai masyarakat di seluruh dunia

“Antara tugasan yang paling saya ingati ialah ketika membuat liputan insiden MH370 untuk Getty Images kerana terpaksa kerja berterusan selama 40 hari selain berpeluang mengikuti operasi pencarian di lokasi pesawat hilang di Australia.

“Selain itu, saya juga pernah membuat liputan untuk MH17 dan pembunuhan misteri adik Presiden Korea Utara, Kim Jong-nam,” katanya.

Jelasnya, dalam usaha memartabatkan seni fotografi di negara ini, dia juga mengadakan pameran solo di samping sebagai kurator untuk pameran Dirgahayu (2016) dan Ceritera (2017).

Pada masa sama, katanya, dia juga kini merupakan pengarah kreatif di sebuah agensi penjenamaan dan kreatif dikenali sebagai Dokumen yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.

“Setakat ini, syarikat ini aktif menghasilkan video dokumentari, penjenamaan dan strategi komunikasi untuk agensi dan syarikat-syarikat korporat.

“Saya masih mengambil gambar sekiranya mendapat tawaran tetapi keutamaan kini lebih kepada Dokumen, kerana saya mahu mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.

Rencana Utama!»

LOST in KL cabar adrenalin peserta

SAAT sedang cuba menyelesaikan misteri permainan, kedua-dua pengunjung ini terkejut apabila melihat kelibat hantu yang dipenuhi darah dan sedang menjerit dengan kuat.

Process time in ms: 1219