PESONA

Adab bersuci daripada hadas

Adab bersuci daripada hadas


PERBUATAN membuang air kecil atau besar di dalam tandas adalah sangat dianjurkan. – Gambar hiasan


BERSUCI itu memiliki empat peringkat.

Pertama, membersihkan apa yang nampak secara zahir daripada semua bentuk hadas. Kedua, membersihkan anggota-anggota tubuh daripada semua hal yang diharamkan dan segala bentuk perbuatan dosa.

Ketiga, membersihkan hati daripada segala akhlak yang tercela, manakala keempat pula membersihkan segala yang tidak nampak daripada selain Allah SWT. Inilah peringkat bersuci para nabi dan shiddiqin.

Pada peringkat pertama, apa yang dimaksudkan dengan membersihkan dan bersuci daripada hadas ialah perbuatan berwuduk, mandi dan tayamum yang didahului dengan beristinjak atau membersihkan dubur atau qubul setelah membuang hajat.

Jika ingin membuang hajat sama ada air kecil atau besar, sebaiknya carilah posisi yang jauh dari laluan orang ramai. Sekiranya tidak dapat dielakkan, maka pasanglah penyekat atau penutup bagi menghalang pandangan umum.

Pastikan kita tidak mengangkat penutup aurat sebelum dan selepas memenuhi hajat dalam posisi duduk.

Selain itu, elak menghadap atau membelakangi arah kiblat serta tidak menghadap ke arah matahari atau bulan kecuali jika berada di dalam bangunan.

Membuang hajat di dalam bangunan yang disediakan ruangan khusus (tandas) adalah sangat dianjurkan.

Sekiranya tidak dapat dielakkan untuk membuang hajat di tempat terbuka, pastikan jangan melakukannya pada genangan air yang tidak mengalir, di bawah pohon yang berbuah atau lubang yang mungkin terdapat haiwan di dalamnya.

Hindarkan juga perbuatan membuang hajat di tempat yang tidak diresapi air atau angin bertiup sangat kencang kerana dikhuatiri kita akan terkena percikannya.

Jauhkan perbuatan membuang air kecil dalam posisi berdiri dan jangan lakukannya di tempat-tempat mencuci pakaian atau mandi.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda,

“Janganlah kamu buang air kecil di tempat-tempat yang biasa kamu gunakan untuk mandi (mencuci), kemudian kamu berwuduk di sana (di tempat yang sama) kerana sesungguhnya, sebahagian besar rasa was-was berasal (berpunca) dari tempat-tempat seperti itu.” Hadis riwayat Ibnu Majah, Abu Dawud, at-Tirmizi, al-Hakim, an-Nasa’i dalam kitab al-Mughni’an Hamli al-Asfar, juz satu halaman 124 karya al-Hafiz al-’Iraqi.

Sebaliknya jika berkehendakkan untuk membuang hajat di tempat tertutup, kita disunatkan untuk mendahulukan kaki kiri ketika hendak memasuki ruangan tersebut dan keluar dengan kaki kanan.

Hindarkan membawa sesuatu yang bertuliskan nama Allah atau Rasul-Nya ke dalam ruangan membuang hajat serta jangan memasuki tempat tersebut dengan kepala tidak bertutup.

Paling utama, ketika hendak melangkah masuk ke tempat membuang hajat, bacalah doa berikut.

“Dengan menyebut nama Allah. Aku berlindung kepada Allah daripada gangguan syaitan lelaki mahupun syaitan perempuan; atau gangguan syaitan yang terkutuk.”

Akhir sekali, setelah keluar dari tempat membuang hajat hendaklah membaca doa berikut.

“Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan dariku sesuatu yang boleh menyakitiku dan yang meninggalkan dalam diriku sesuatu yang bermanfaat bagiku.”

Process time in ms: 31