PESONA

Tawar lebih 80 resipi kek keju

Tawar lebih 80 resipi kek keju



MATANYA meneliti barisan kek yang tersusun kemas di dalam ruang penyimpanan kaca tembus pandang di kedai kek dan pastri itu.

Tanpa berfikir panjang, Siti Fatimah Kamal, 28, menghalakan jarinya ke arah sepotong kek keju durian dan kemudian membuat bayaran.

Walaupun harga sepotong kek tersebut lebih tinggi berbanding variasi biasa, namun dia tidak kisah kerana raja buah itu bermusim dan tidak terdapat sepanjang tahun.

Saat garfu kecil berisi secebis kek singgah pada lidahnya, penggemar kek keju itu serta-merta dilanda perasaan kecewa kerana rasa kek tersebut tidak menepati jangkaannya.

“Saya berasa sangat teruja sewaktu membelinya kerana ia merupakan kali pertama saya mencuba kek keju durian iaitu gabungan kek keju dan durian. Malangnya, kombinasi rasa kek tersebut menghampakan saya.

“Ia seolah-olah kek keju biasa yang hanya berbau durian. Rasa kejunya pula sangat ringan,” luah anak kelahiran Kuantan, Pahang itu sewaktu ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Memahami rasa hampa yang sering dialami oleh penggemar kek keju apabila dihidangkan dengan kek yang tidak menepati jangkaan telah mendorong Huspalita Hussain Arif, 35, untuk belajar resipi membakar kek keju daripada seorang ibu saudaranya yang lama menetap di Britain.

Pada awalnya, anak kelahiran Kulim, Kedah itu hanya membawa kek ke pejabat untuk acara potluck bersama rakan-rakan. Namun, rasa kek keju yang enak membuatkan rakan-rakan sekerja mula menempah kek keju daripada Huspalita untuk pelbagai acara membuatkan dia tidak menang tangan untuk membakarnya.

“Saya sangat bertuah kerana memiliki seorang ketua yang sangat bertimbang rasa, memahami minat saya dalam bakeri dan menyokong perniagaan ini.

“Ketua yang berasal dari Jerman itu juga sanggup berunding dengan Jabatan Sumber Manusia untuk membenarkan saya hanya hadir ke pejabat tiga hari dalam seminggu,” ujarnya yang akhirnya terpaksa akur terhadap permintaan kek keju yang semakin bertambah sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai seorang juruprogram di sebuah syarikat sel solar multinasional di Cyberjaya pada bulan April 2016.


Kek keju black forest merupakan signatur Huspalita.


Secara kasar, Huspalita perlu menyediakan hampir 10 biji kek dalam sehari. Jumlah itu akan bertambah sekali ganda pada musim perayaan.

Selepas tekad untuk fokus pada perniagaan sepenuh masa, Huspalita mendapat motivasi untuk menyertai kelas bisnes daripada mentor-mentor bertauliah dalam industri kerana tidak mahu sekadar dikenali sebagai hero belakang ketuhar sahaja.

Kelas

Mula beroperasi secara rasmi pada bulan Julai 2016, studio kek didaftarkan di bawah nama Cheesylogy berfungsi sebagai tempat pembuatan kek serta dijadikan kelas fizikal bagi sesiapa yang berminat untuk mempelajari cara membuat kek keju.

“Saya seronok apabila orang ramai menghargai kek keju buatan saya. Jadi saya berfikir, tiada salahnya untuk berkongsi ilmu yang ada dengan orang lain, kebiasaannya pada hujung minggu memandangkan mereka juga tidak bekerja pada hari tersebut.

“Dalam masa yang sama, saya juga masih menghasilkan kek untuk jualan,” terangnya.

Bersyukur kerana usahanya mendapat sokongan penuh suami, Mohamed Airee Sulaiman, 35, dan ahli keluarga, Huspalita juga mengambil peluang untuk mengadakan siri jelajah kelas membakar kek keju ke negeri lain antaranya Johor, Pulau Pinang dan Kelantan supaya lebih ramai orang dapat belajar daripadanya.

“Permintaan yang semakin bertambah dan kekangan masa yang ada membuatkan saya mula mengadakan kelas secara online iaitu menerusi Facebook pada awal tahun ini.

“Saya juga menjual lebih 22 e-resipi merangkumi kek keju dan pastri berasaskan keju yang lengkap berserta penerangan jelas dan gambar sokongan bagi memudahkan pelajar mengikutnya. Sekiranya tidak jelas, mereka juga boleh menghubungi saya secara peribadi menerusi aplikasi WhatsApp.


Pemotongan kek keju dilakukan oleh pekerja terlatih kerana teksturnya sangat rapuh.


Resipi kek

“Kelas fizikal pula hanya diadakan pada hujung minggu di studio,” ujarnya yang kini mempunyai lebih 80 resipi kek keju untuk jualan. Setiap kek keju dijual antara RM70 hingga RM200 bergantung kepada jenis dan saiz.

Menyifatkan pembabitannya dalam dunia perniagaan masih mentah, namun Huspalita melihat cabaran tersebut sebagai peluang untuknya berkongsi ilmu dengan rakan industri yang lebih berpengalaman terutama daripada kumpulan sokongan Rangkaian Perniagaan Antarabangsa (BNI) yang disertainya.

Ditanya tentang pengalaman manis, anak bongsu daripada empat orang adik-beradik itu dengan riang memberitahu, sejak mengusahakan Cheesylogy, dia dapat berjumpa semula dengan ramai rakan sekolahnya yang telah lama terputus hubungan apabila mereka menempah kek buatannya.

Antara kek keju Cheesylogy yang mendapat banyak permintaan ialah kek keju signaturnya iaitu black forest, Nutella dan durian. Selain mengambil terus kek tempahan di studio, Cheesylogy turut menawarkan perkhidmatan penghantaran menggunakan peti sejuk beku kepada pelanggan di seluruh negara.

Tambahan lagi, Huspalita turut menjual kuih-muih tradisional seperti nona manis, risoles dan keria yang dijual di gerai berhampiran studio. Dia juga menyediakan bakeri mini secara berasingan bersebelahan studio bagi pelanggan yang ingin mendapatkan bekalan pastri secara terus tanpa membuat tempahan.

Tidak dilupakan, Huspalita turut menjadi pengedar kepada durian D24 sejuk beku pada harga RM39.90 setiap kilogram.

Sementara itu, bagi Siti Syairah Salleh, 34, peluang untuk mengikuti kelas membakar kek keju oleh Huspalita merupakan satu peluang yang dinanti-nantikan.

“Saya telah membeli e-resipi kek keju Nutella pada penghujung tahun lepas, namun tidak berkesempatan untuk mengikuti kelas fizikal bersama Huspalita sehinggalah pada awal tahun ini.

“Sejak kelas pertama tersebut, saya menjadi semakin seronok dan telah menyertai lima kelas berbeza. Dalam setiap kelas, Huspalita akan mengajar tiga resipi berbeza termasuk satu resipi percuma yang mudah untuk diikuti,” jelas anak kelahiran Sabah yang kini bertugas sebagai guru sains sukan dan geografi di sebuah sekolah di Shah Alam, Selangor.

Siti Syairah kini turut mengambil tempahan kek keju daripada rakan sekerjanya.

Process time in ms: 32