VARIA

Ambil iktibar kejadian kebakaran pusat tahfiz

Ambil iktibar kejadian kebakaran pusat tahfiz

KEJADIAN kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung bulan lalu telah mengorbankan 23 nyawa.


KEJADIAN kebakaran yang berlaku di sekolah tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat Hujung, Kuala Lumpur pada bulan lepas masih lagi menjadi perbualan masyarakat dan pembuat dasar.

Umumnya, dalam kebanyakan kes tragedi di Malaysia, turun naik perbualan ini bergantung kepada berlaku atau tidaknya peristiwa. Ia kemudiannya akan dilupakan buat seketika. Ia akan muncul semula apabila berlakunya peristiwa yang tidak diingini.

Semua ini adalah sebahagian daripada petunjuk betapa budaya selamat masyarakat kita masih lagi pada tahap yang rendah. Sarjana secara umumnya mengaitkan dua konsep utama apabila berlakunya kemalangan iaitu exposure (pendedahan) dan propensity (kecenderungan).

Exposure ialah faktor-faktor yang mendedahkan seseorang pekerja atau individu dengan bahaya kemalangan. Misalnya, seseorang yang memandu di jalan yang bengkang-bengkok adalah lebih terdedah dengan risiko dibandingkan dengan memandu di jalan yang lurus.

Propensity pula merujuk kepada kebarangkalian berlakunya kemalangan tadi. Misalnya, memandu di kawasan yang padat dengan kereta atau dalam keadaan yang mengantuk akan menyebabkan peluang untuk terlibat dengan kemalangan adalah lebih besar.

Jadi, secara umumnya kemalangan adalah sesuatu yang melibatkan kombinasi di antara kedua-dua faktor ini. Dalam banyak kes kemalangan jiwa yang berlaku, sekiranya kita mampu mengurangkan salah satu daripada punca ini, maka secara tidak langsung kita boleh juga mengurangkan potensi kemalangan.

Walaupun banyak daripada kemalangan manusia ini berlaku daripada hal-hal yang di ‘luar jangkaan’, tetapi pada akhirnya hal-hal yang di luar jangkaan itu sendiri sebenarnya adalah sesuatu yang boleh dijangkakan.

Terdapat kemalangan yang berlaku disebabkan oleh kelalaian manusia untuk memberikan perhatian terhadap aspek keselamatan itu sendiri. Misalnya, seorang suri rumah terlupa menutup api dapur memasak dan kemudian membiarkan api dapur terus bernyala.

Kesilapan seumpama ini adalah sesuatu yang bersifat psikologikal yang dinamakan sebagai cognitive errors. Bagaimanapun, kebakaran mungkin berlaku bukan hanya disebabkan oleh faktor kelalaian tadi.

Pengetahuan

Besar kemungkinan dapur gas tadi berada terlalu dekat dengan bahan mudah terbakar yang lain seperti kain langsir atau perabot kayu yang mempercepatkan lagi proses kebakaran tadi.

Jadi, walaupun secara umumnya kelalaian itu adalah sesuatu yang berlaku secara tidak sengaja, tetapi besar kemungkinan ia dapat dikurangkan sekiranya aspek pengetahuan lain berkaitan dengan keselamatan dan bahaya diambil kira.

Dalam kebanyakan kes kebakaran sekolah agama swasta misalnya, tentulah pelbagai langkah yang telah diambil oleh pihak pengusaha sekolah tersebut bagi memastikan pelajar-pelajar di dalamnya berada dalam keadaan yang selamat.

Bagaimanapun, adakalanya ada aspek lain yang mungkin tidak begitu diambil kira. Misalnya, adakah sekolah tadi terlalu dekat dengan kawasan kediaman atau ditempatkan di bangunan kedai di kawasan komersial.

Kemalangan seperti kebakaran boleh sahaja berlaku sekiranya pihak lain tidak mengambil langkah keselamatan yang sama. Dalam kes kebakaran sekolah tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Keramat Hujung itu, ia berlaku disebabkan oleh faktor khianat.

Walaupun ia adalah sesuatu yang di luar jangkaan, sekurang-kurangnya ia mengajar kita sesuatu. Ia memberitahu kita betapa risiko kemalangan mungkin dapat dikurangkan jika kawalan keselamatan ditempatkan di sekolah terbabit.

Ia juga mungkin lebih selamat jika berada dalam kawasan yang lebih jauh dari kawasan lalu lalang orang ramai atau mempunyai kawasan kampus yang lebih luas.

Oleh itu, pada masa hadapan, pihak berkuasa sewajarnya melihat kedua-dua aspek exposure dan propensity ini.

Memberikan perhatian terhadap prosedur dan pematuhan peraturan yang berkaitan dengan aspek keselamatan mungkin adalah syarat asas bagi memastikan kemalangan dapat dikurangkan.

Bagaimanapun, penilaian terhadap aspek kebarangkalian berlakunya risiko kemalangan juga patut dipertingkatkan. Apatah lagi apabila ia melibatkan anak-anak yang biasanya lebih mudah terdedah dengan pelbagai bentuk risiko jika dibandingkan dengan orang dewasa.

Ibu bapa sepatutnya memberikan keutamaan terhadap aspek keselamatan anak-anak sebelum memilih mendaftarkan mereka di sesebuah sekolah, dan bukan hanya sekadar melihat bentuk pengajaran atau silibus sekolah agama berkaitan.

Kita bukan sekadar hanya ingin melihat anak-anak kita berjaya menjadi manusia, tetapi kita juga ingin memastikan mereka tidak berada dalam situasi yang berisiko.

Kita mungkin tak mampu mengelak semua risiko kemalangan. Bagaimanapun, kita mampu melakukan sesuatu yang lebih baik bagi mengelak kejadian buruk daripada berulang.

Process time in ms: 47