HORIZON

Menjejak warisan Melayu di Pulau Lingga

Menjejak warisan Melayu di Pulau Lingga

SERAMAI 40 peserta mengikuti Cabaran Gunung Daik 2017 di Pulau Lingga, Riau, Indonesia baru-baru ini.


PULAU Pandan dan Gunung Daik cukup sinonim dalam kalangan masyarakat Melayu terutamanya di kepulauan Nusantara.

Ini kerana kedua-dua lokasi itu sering menjadi pelambang dan pembayang dalam pantun-pantun lama.

Kita mungkin terfikir bahawa ia sekadar cerita-cerita dongeng atau mitos yang berlegar dalam pemikiran masyarakat zaman dahulu.

Pada hakikatnya, Pulau Pandan dan Gunung Daik benar-benar wujud dan boleh dilihat dengan mata kasar jika kita berkunjung ke Pulau Lingga di Riau, Indonesia.

Bagi menjejaki warisan masyarakat Melayu itu, seramai 44 peserta mengikuti program Cabaran Gunung Daik dan Menjejaki Warisan Melayu 2017 yang diadakan sempena sambutan Hari Malaysia serta menyemarakkan bulan kemerdekaan negara yang ke-60 baru-baru ini.

Program yang diilhamkan oleh Kelab Media Pahang itu mendapat sokongan penuh daripada Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Pahang.

Antara objektif utama program itu ialah membina kerjasama, disiplin, kecergasan dan jati diri dalam kalangan pengamal media serta Pemuda UMNO.

Ketua Ekspedisi, Datuk Shahruddin Ahmad berkata, peserta turut terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang.

“Pada awalnya, kesemua 44 orang peserta dijadualkan mendaki ke Gunung Daik.

“Bagaimanapun, jadual pendakian terpaksa diubah pada saat-saat akhir atas nasihat pihak berkuasa tempatan.

“Hanya 10 orang dibenarkan untuk mendaki Gunung Daik disebabkan oleh faktor keselamatan.

Jalur Gemilang


Hujan menyukarkan pendakian ke puncak Gunung Sepincan.


“Laluan yang berbahaya, faktor cuaca yang tidak menentu dan tapak perkhemahan yang sempit menghalang kesemua peserta cabaran ini daripada mendaki Gunung Daik.

“Namun, saya tetap menganggap misi ini berjaya kerana seramai 10 orang peserta telah sampai ke titik terakhir pendakian, sekali gus mengibarkan Jalur Gemilang,” kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Pahang itu.

Turut serta ialah Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Husin dan Pengarah JBPM Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

Shahruddin menambah, peserta cabaran turut mendapat faedah di sebalik larangan mendaki Gunung Daik dengan jumlah pendaki yang ramai.

Ini kerana seramai 30 peserta yang tidak dibenarkan ke Gunung Daik berjaya menawan dua puncak gunung serentak iaitu Gunung Sepincan dan Bukit Permata yang masing-masing berketinggian 767m serta 1,002m dari aras laut tersebut.

Malah, satu pasukan yang ditugaskan untuk menjejaki warisan Melayu di Pulau Lingga mendapati kehidupan masyarakat tempatan sangat dekat dengan penduduk di Semenanjung Malaysia terutamanya Pahang.

“Selain menggunakan bahasa Melayu yang seakan-akan sama dengan kita dalam pertuturan harian mereka, terdapat banyak lagi persamaan yang berjaya dikesan.

“Antaranya makanan seperti nasi dagang yang terkenal di Terengganu dan nama-nama jalan yang turut terdapat di Pahang seperti Pekan.

“Kami juga mendapati penduduk tempatan menjadikan filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai tontonan harian mereka,” katanya.

Salah seorang peserta, Mohammad Altaf Abdul Wahab, 40, menganggap cabaran itu sebagai satu program yang baik.

“Semangat kerjasama dalam kumpulan atau organisasi dapat dibentuk menerusi program ini.

“Para peserta tidak mementingkan diri sendiri untuk mencapai matlamat sampai ke puncak gunung meskipun berbeza latar belakang,” kata Pembantu Muzium Pahang yang berasal dari Pekan itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Timbalan Penguasa Bomba, Kamerul Bieza Mohamed Kassim berkata, banyak ilmu yang dipelajari sepanjang mengikuti program ini.

Belajar sejarah


Pendaki bergambar kenang-kenangan di puncak Bukit Permata.


“Ia tidak hanya berkisar kepada aktiviti pendakian semata-mata tetapi meliputi pelbagai aspek.

“Sepanjang berada di pulau ini, kami dapat mempelajari sejarah dan warisan masyarakat Melayu.

“Banyak persamaan antara orang Melayu di pulau ini dan masyarakat kita di Malaysia,” katanya.

Ketua Jurupandu Gunung Daik, Junaidi Mohamad Yusof, 45, pula berkata, pendaki perlu mematuhi beberapa pantang larang jika mahu mendaki Gunung Daik.

“Pendaki dilarang bercakap besar atau mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak baik, merosakkan pokok-pokok, membuang air kecil atau besar sesuka hati dan mengambil apa-apa untuk dibawa pulang.

“Namun, perkara yang paling dilarang ialah bersiul,” katanya yang sudah 20 tahun menetap di Desa Panggak Darat, Pulau Lingga.

Junaidi adalah antara penduduk kampung yang bertanggungjawab merintis jalan ke Gunung Daik.

Rencana Utama!»

LOST in KL cabar adrenalin peserta

SAAT sedang cuba menyelesaikan misteri permainan, kedua-dua pengunjung ini terkejut apabila melihat kelibat hantu yang dipenuhi darah dan sedang menjerit dengan kuat.

Process time in ms: 47