INFINITI

Pelajar tahfiz menyantuni kehidupan haiwan di FITC

Pelajar tahfiz menyantuni kehidupan haiwan di FITC


BURUNG antara haiwan yang ditempatkan di FITC.


“MELENTUR buluh biarlah dari rebungnya,” kata-kata itu menjadi amalan syarikat pengeluar tandas elektronik dari Jepun, TOTO Malaysia Sdn. Bhd. (TMS) untuk memberikan ilmu yang berguna kepada anak-anak.

Dalam usaha mewujudkan kesedaran dalam mengekalkan kepelbagaian alam semula jadi, syarikat itu sering mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama masyarakat daripada pelbagai lapisan usia.

Baru-baru ini, syarikat itu menganjurkan satu program CSR yang bertujuan untuk mendidik anak-anak mengenali dan menyayangi haiwan di Farm In The City (FITC) dekat Seri Kembangan, Selangor.

Seramai 70 anak-anak yatim dan tahfiz dari pusat tahfiz Ar-Rayyan serta Baitul Qiran Wal Hadith dari Seremban, Negeri Sembilan menyertai program itu.

Seorang pelajar tahfiz, Muhammad Aliff Najmi Md. Saidi, 13, meluahkan rasa gembira kerana berpeluang menyertai program itu.

“Program ini menarik kerana ia dapat mendekatkan diri saya bersama rakan yang lain bersama haiwan.

“Kami dapat mengenali pelbagai spesies haiwan dan membelainya untuk diberi makan. Ini merupakan pengalaman baharu bagi saya,” jelasnya.

Tambah Muhammad, program sedemikian juga memberi peluang kepadanya untuk berhibur dan merehatkan minda buat seketika.

Kesemua peserta yang menyertai program itu diberi peluang untuk menerokai kehidupan haiwan yang terdapat di sekitar FITC.

Mereka juga diberi penerangan tentang sejarah dan jenis-jenis haiwan yang ada serta berpeluang menyentuh dan memberi makan kepada haiwan tersebut.

Kanak-kanak diajar mengenali jenis-jenis haiwan yang selamat disentuh oleh manusia dan yang tidak selamat untuk didekati.

Dalam pada itu, penyelia pusat tahfiz Ar-Rayyan, Mohd. Raimi Che [email protected] Nordin berkata, pendidikan sebegitu sememangnya diperlukan bagi anak-anak di pusat tahfiz tersebut secara berterusan selain daripada ilmu pembelajaran di sekolah.

Objektif


PESERTA program merakamkan gambar sebagai kenang-kenangan di Farm In The City dekat Seri Kembangan, Selangor.


“Program ini merupakan aktiviti pendidikan yang sangat baik kepada anak-anak dalam mengenali spesies haiwan yang ada, malah mereka dapat mengenali jenis makanan dan buah-buahan yang boleh dijadikan makanan kepada haiwan.

“Kami sentiasa menyambut baik program seperti ini kerana ia memberikan pengalaman baharu kepada para pelajar,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan CSR TMS, Siti Tan berkata, objektif program itu adalah untuk memupuk rasa sayang kepada haiwan dalam kalangan para peserta.

Menurutnya, mereka sentiasa komited untuk menganjurkan program CSR bersama masyarakat dalam usaha mengekalkan kepelbagaian alam semula jadi.

Pelbagai program CSR telah dilaksanakan oleh syarikat itu antaranya penanaman pokok bakau dan pembersihan pantai.

“Kami berharap masyarakat di luar sana tidak mengira lapisan umur, bangsa dan status bersama-sama kami untuk tujuan ini.

“Kami juga akan terus melindungi kesejahteraan dan ekosistem spesies haiwan sedia ada agar ia selamat dipelihara, disayangi dan dihormati,” jelasnya.

Process time in ms: 32