STAILO

Pencarian wajah baharu dunia peragaan tanah air

Pencarian wajah baharu dunia peragaan tanah air

Tinie dan Ahya merupakan nama yang disegani dalam dunia peragaan tanah air.


SELEPAS gah berjalan di hadapan lensa kamera dan pentas peragaan selama hampir sembilan tahun, Ahya Ulumuddin Rosli, 30, mengakui langkahnya sebagai seorang peragawan wajar disambung oleh tunas baharu.

Peragawan yang disegani dalam industri fesyen tempatan itu pernah memperagakan banyak jenama besar dan pereka antarabangsa termasuk Alexander McQueen, Gucci, Louis Vuitton, Prada dan H&M.

Selain itu, Ahya turut aktif melibatkan diri dalam pelbagai pertandingan pencarian model di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Pernah mendapat tempat kedua pada pertandingan model Mr. Asia 2011 manakala memenangi hadiah utama pada Asia Star Model Korea 2014 di Korea Selatan.

Pencapaian termanis pula ialah mendapat pengiktirafan daripada organisasi pembangunan fesyen, STYLO sebagai Supermodel of The Year 2013 dan Celebrity of The Year 2017 oleh The Face of Malaysia.

Memiliki sosok tubuh setinggi 189 sentimeter, Ahya berpendapat, usia yang semakin meningkat mendorong dia mencari perintis baharu dalam legasi industri peragaan tanah air.

“Usia yang relevan sebagai seorang peragawan bermula daripada 14 hingga 35 tahun.

“Mengenangkan faktor itu, saya perlu mencari pelapis baharu yang benar-benar berpotensi untuk dipilih memperagakan busana pereka terkemuka bagi menepati cita rasa klien.

“Dengan pengalaman yang dimiliki dalam industri ini, saya mahu kongsikan kepada generasi muda tentang bagaimana untuk menjadi seorang model yang baik,” ujarnya.

Selain menempa nama sebagai peragawan bertaraf antarabangsa, Ahya juga aktif dengan kerjaya sampingan seperti pelakon, penyanyi, jurulatih seni mempertahankan diri Muay Thai termasuk mengusahakan restoran Molek Cafe.

Baru-baru ini, Ahya tampil dengan idea baharu untuk memperluaskan lagi kerjayanya iaitu dengan mencari pelapis dalam dunia peragaan secara online.

Radius peragaan


Selain aktif dalam bidang peragaan, Ahya turut mengusahakan restoran Molek Cafe.


“Model Valet atau Modval merupakan agensi peragaan online yang saya asaskan sendiri sekitar bulan April lalu.

“Ia ditubuhkan sebagai platform untuk mengetengahkan bakat-bakat baharu dalam radius peragaan menerusi saluran yang betul.

“Hal ini kerana kami percaya banyak bakat baharu yang masih belum lagi dicungkil. Maka, ia menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kami untuk membimbing mereka menjadi model yang memiliki personaliti berdaya saing,” jelasnya.

Modval bukan sahaja merekrut bakat peragawan tempatan tetapi ia menyediakan ruang bagi tujuan pengiklanan peragawan sebagai rujukan pereka mahupun penganjur program.

Individu yang berminat dapat menghubungi para model menerusi paparan dalam laman itu, sekali gus memudahkan kedua-dua belah pihak.

Bagi menyerikan lagi arena peragaan ini, Modval akan berkolaborasi dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk mengadakan pertandingan pencarian model Mr. & Ms. ONE SSM Melaka 2017.

Ia dianjurkan sempena karnival Online Networking Entrepreneurs SSM (ONE SSM) yang akan berlangsung di Mydin Mall, MITC Ayer Keroh, Melaka pada 7 hingga 8 Oktober ini.

Pertandingan pencarian model itu disifatkan sebagai serampang dua mata kerana objektifnya bukan sahaja mencari bakat baharu dalam bidang peragaan tetapi menjadi wajah utama atau ikon bagi karnival ONE SSM.

Karnival ONE SSM bertujuan untuk memberi kesedaran kepada peniaga online supaya berdaftar dengan SSM dan ia akan diadakan di semua negeri pada setiap bulan sepanjang tahun ini.

Pada 7 Oktober ini, sesi uji bakat akan diadakan manakala lapan peserta teratas bakal berentap pada keesokan harinya menerusi acara pertunjukan fesyen yang akan dinilai oleh juri jemputan

Juri jemputan ialah gandingan Ahya bersama supermodel terkemuka tanah air, Tinie selain Pengarah Bahagian Strategi dan Komunikasi Korporat SSM, Mohamad Shahren Mohamad Yusri.

Pemilihan Ahya sebagai salah seorang juri adalah kerana dia merupakan ikon peragawan lelaki berjaya yang telah menggondol beberapa anugerah di peringkat antarabangsa.

Tinie atau nama sebenarnya Hartini Mat Jasin, 40, pula disunting sebagai juri jemputan berdasarkan pengalamannya di pentas peragaan antarabangsa lebih 17 tahun.

Terkenal dengan ekspresi wajah garang di atas pentas, anak jati kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu menyambut baik usaha yang diketengahkan Ahya, sekali gus menyokong penuh inisiatif tersebut.

Kekal relevan


AHYA telah memperagakan banyak jenama besar seperti Gucci, Prada termasuk H&M.


“Sebenarnya, terdapat banyak bakat yang selama ini ada tetapi kita tidak jumpa kerana kurangnya platform untuk mereka tampil.

“Menerusi program seperti ini, kami dapat pergi ke kawasan pedalaman. Siapa tahu, mungkin di sana ada bakat tersembunyi.

“Kami mahu melahirkan model-model baharu yang mampu bertahan dan kekal relevan sehingga lebih 15 tahun, bukan hanya model bermusim,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai senario peragaan tempatan pada masa ini, Tinie jelik melihat aksi generasi muda yang mengaku diri mereka model profesional dalam media sosial seperti Facebook dan Instagram.

Sedangkan hakikatnya, tidak mudah untuk menjadi seorang model profesional kerana mereka perlu menjalani proses uji bakat agensi model terlebih dahulu.

Kekeliruan masyarakat mengenal pasti antara model profesional dan bakat secara tidak langsung menjejaskan nilai seorang model.

“Penyalahgunaan media sosial oleh golongan muda kini menjadi salah satu masalah dalam industri peragaan tanah air.

“Memiliki wajah yang cantik dan kemudian dimuat naik ke dalam media sosial tidak memadai untuk diiktiraf sebagai model profesional.

“Usah mengaku sebagai seorang model profesional kerana persepsi bercanggah yang semakin meluas itu menjejaskan industri ini,” ujarnya.

Rencana Utama!»

LOST in KL cabar adrenalin peserta

SAAT sedang cuba menyelesaikan misteri permainan, kedua-dua pengunjung ini terkejut apabila melihat kelibat hantu yang dipenuhi darah dan sedang menjerit dengan kuat.

Process time in ms: 78