GENK

Mahasiswa UM ajar penduduk Pantai Dalam membaca al-Quran

Mahasiswa UM ajar penduduk Pantai Dalam membaca al-Quran


KUMPULAN kanak-kanak dan remaja yang menyertai kem solat bergambar bersama sukarelawan dari Universiti Malaya.


SEMUA umat Islam ingin memiliki kemampuan membaca dan memahami kandungan kitab suci al-Quran dengan kaedah yang betul untuk dijadikan sebagai pedoman dan panduan hidup.

Namun, perkara itu bukanlah mudah untuk dilakukan dalam masa yang singkat. Ini kerana, terdapat pelbagai faktor yang mengekang seseorang individu untuk memperuntukkan masa yang panjang bagi mempelajarinya terutama faktor kerjaya.

Menyedari hakikat tersebut, sekumpulan 26 mahasiswa tahun pertama dariJabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya (UM) telah menganjurkan siri kuliah membaca al-Quran di Surau An-Nurhidayah, Jalan Pantai Permai, Pantai Dalam, Kuala Lumpur yang berlangsung baru-baru ini.

Ia turut disertai oleh pelajar tahun dua jabatan yang sama sebagai kumpulan sukarelawan bagi membantu melancarkan perjalanan program tersebut.

Program tersebut dilaksanakan bagi membantu penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dari sekitar kawasan Pantai Dalam untuk mempelajari kaedah yang betul untuk membaca al-Quran di samping cara yang mudah untuk memahami kandungannya.

Sambutan baik

Program yang diadakan pada setiap hujung minggu untuk tempoh selama lapan minggu itu mendapat sambutan baik daripada kalangan penduduk sekitar,

Seramai 40 peserta yang terdiri daripada warga emas, dewasa dan kanak-kanak telah mendaftarkan diri.

Selain menyertai kelas intensif pembelajaran tajwid, peserta kanak-kanak turut didedahkan dengan cara betul mendirikan solat menerusi kem solat yang dikendalikan oleh para sukarelawan.

Seorang sukarelawan, Nik Nur Fatini Abdul Halim, 20, berkata, dia teruja untuk berkongsi kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Arab dengan para peserta.

“Saya sangat seronok apabila melihat kanak-kanak yang menyertai program ini begitu bersemangat untuk menghadiri kuliah.

“Boleh dikatakan kesemua mereka gembira melaksanakan aktiviti yang kami aturkan. Secara tidak langsung, ia telah mengimarahkan surau dengan cara yang sihat dan menghiburkan,” katanya yang merupakan pelajar tahun dua jurusan Pengajian Bahasa Arab.


SEKUMPULAN peserta tekun mempelajari kaedah bacaan al-Quran dengan betul daripada sukarelawan Universiti Malaya.


Bagi Nurul Atirah Abdul Rahim, 20, pula, dia bersyukur kerana diberi peluang untuk mendekati anggota masyarakat untuk berkongsi ilmu pengetahuan.

“Semoga usaha yang sedikit ini mampu menjadi pencetus kepada perubahan yang dikehendaki dalam masyarakat,” katanya yang juga pelajar tahun dua jurusan Pengajian Bahasa Arab.

Para peserta yang terlibat berpendapat, ia merupakan satu aktiviti yang sangat membantu mereka dalam mendalami ilmu berkaitan al-Quran.

Ia diakui oleh seorang peserta, Fudin Budin, 62, dengan memberitahu, selepas menyertai program tersebut, dia dapat menguasai bacaan dengan baik berbanding sebelum ini.

“Saya sangat berterima kasih kepada UM khususnya para pelajar dan sukarelawan yang terlibat kerana telah menganjurkan kelas membaca al-Quran kepada penduduk di sini.

“Kelas seperti ini amat membantu saya dalam usaha mendalami ilmu agama selain memperbaiki ibadat supaya lebih sempurna,” katanya.

Dalam pada itu, Penasihat Program, Zazmin Abu Bakar berkata, selain membantu anggota masyarakat mempelajari al-Quran, ia juga dilaksanakan sebagai menzahirkan rasa tanggungjawab golongan muda khususnya mahasiswa bagi memenuhi keperluan komuniti dalam pelbagai aspek.

“Program ini diharapkan dapat membentuk sahsiah mahasiswa sebagai persediaan mereka menjadi bakal pemimpin negara yang berpengetahuan, berdisiplin, mempunyai jati diri dan nilai murni yang tinggi terhadap komuniti.

Kesedaran

“Ia juga diharapkan dapat meningkatkan kesedaran mahasiswa tentang kehidupan golongan yang kurang bernasib baik menerusi penganjuran pelbagai program luar kampus bagi mengeratkan kebersamaan dan tolong-menolong melalui gerak kerja berkumpulan yang dijalankan,” katanya yang juga merupakan pensyarah bahasa Arab di Fakulti Bahasa dan Linguistik.

Katanya lagi, beliau mengharapkan agar penganjuran program tersebut dapat membantu warga emas dan kanak-kanak agar dapat membaca al-Quran dengan lebih baik dengan cara yang betul.

Tambahnya, pihaknya bercadang untuk melaksanakan program seumpama itu pada skala yang lebih besar pada masa akan datang dengan menumpukan kawasan-kawasan perumahan lain.

Rencana Utama!»

LOST in KL cabar adrenalin peserta

SAAT sedang cuba menyelesaikan misteri permainan, kedua-dua pengunjung ini terkejut apabila melihat kelibat hantu yang dipenuhi darah dan sedang menjerit dengan kuat.

Process time in ms: 47