GENK

Sukan uji kemahiran baling, tangkap cakera

Sukan uji kemahiran baling, tangkap cakera

PARA pemain bergambar bersama cakera yang digunakan dalam sukan ultimate frisbee.


PETANG itu, suasana di sekitar padang Kolej Mawar yang terletak di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor sedikit sesak dengan kehadiran para pelajar.

Bagaimanapun, ia tidak menghairankan kerana padang itu sering menjadi lokasi latihan pelbagai acara sukan sejak sekian lama.

Sejak pukul 5 petang, Helmy Adnan Zainal Abidin, 22, dan rakan-rakannya dalam pasukan All Ultimate Roar (AUR) gigih berlatih di salah satu sudut padang.

Menariknya, mereka bukan bermain acara sukan umum seperti bola sepak, ragbi atau hoki, sebaliknya ultimate frisbee yang turut dikenali sebagai piring terbang.

Piring atau cakera yang lazim digunakan bagi sukan ini diperbuat daripada plastik dan mempunyai berat standard 175 gram (g) serta diameter keseluruhan 10.75 sentimeter (sm).

“Sukan ini sangat popular di luar negara tetapi masih lagi asing dalam masyarakat di negara ini. Ramai orang menyangkakan ia hanyalah permainan berbentuk riadah sedangkan ia merupakan sejenis sukan yang mempunyai pertandingan dan peraturan tersendiri seperti yang ditetapkan oleh World Flying Disk Federation (WFDF),” kata Helmy Adnan ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan Matematik itu berkata, dia mula mengenali sukan tersebut ketika mengambil diploma dalam jurusan sama di UiTM, Jengka, Pahang pada tahun 2013.

Unik


SELAIN stamina tinggi, kreativiti juga penting untuk memastikan setiap lemparan mampu mengumpul mata yang diharapkan.


Dia yang sebelum itu meminati sukan futsal dan bola sepak beralih arah kepada ultimate frisbee kerana keunikan yang ditawarkan.

“Semasa belajar di Jengka, saya hanya mempelajari asas sukan ini untuk mengisi masa lapang dan mengeluarkan peluh.

“Hanya selepas memasuki kampus induk di Shah Alam pada tahun 2015, barulah saya mula serius dalam sukan ini sebelum terpilih menyertai kelab AUR.

“Di kelab ini, saya berpeluang menjalani latihan secara intensif di bawah jurulatih profesional dan sering menyertai pelbagai pertandingan yang diadakan di dalam serta di luar negara.

“Jika tiada aral, saya bakal mewakili Malaysia ke pertandingan World Under-24 Ultimate Championship di Perth, Australia tahun depan,” ujar pelajar yang berasal dari Meru, Klang itu.

Mula dipopularkan di Amerika Syarikat sekitar lewat tahun 1960-an, ultimate frisbee agak unik kerana menggabungkan beberapa disiplin sukan seperti American football, bola keranjang dan bola sepak sebagai asas permainan.

Lebih menarik, ia juga tidak memerlukan kehadiran pengadil perlawanan, sebaliknya bergantung pada keputusan yang dibuat para pemain di atas padang.

Bercerita lebih lanjut mengenai permainan itu, jurulatih ARC, Norkhadijah Md. Isa berkata, asas kepada sukan ini adalah kemahiran balingan dan menangkap cakera.

“Terdapat empat teknik balingan yang sering digunakan iaitu teknik backhand, forehand, hammer dan blade sebelum mempelajari peraturan serta teknikal ultimate frisbee.

“Sukan ini dimainkan seramai tujuh pemain dalam tempoh satu jam 20 minit dan terbahagi kepada tiga kategori iaitu lelaki, wanita serta campuran.

“Selain ultimate frisbee, terdapat juga indoor frisbee yang dimainkan di dalam gelanggang futsal atau di tepi pantai tetapi jumlah pemain dan tempoh permainan adalah berbeza,” katanya.

Jelasnya, terdapat tiga posisi utama dalam ultimate frisbee iaitu handler (pembawa), mid (pemain tengah) dan dipper (penyerang).

“Pungutan satu mata akan dikira apabila pemain berjaya menangkap cakera yang dilemparkan ahli pasukan di bahagian zon akhir (pintu gol) pasukan lawan.

“Selain itu, terdapat banyak larangan dalam sukan ini seperti pemain tidak dibenarkan bergerak ketika membawa atau melempar cakera, tidak boleh bersentuhan dengan pemain lawan dan memegang cakera lebih daripada 10 saat.

“Tidak hairanlah, selain kemahiran di atas padang, setiap pemain perlu memahami peraturan dan disiplin yang ditetapkan kerana sukan ini tidak mempunyai pengadil,” ujarnya.

Ditanya mengenai AUR, Norkhadijah berkata, ia diasaskan pada tahun 2010 oleh bekas-bekas pelajar di UiTM Shah Alam.

Katanya, dia yang berjinak-jinak dengan ultimate frisbie sejak 2007 telah menjadi jurulatih kelab itu sehingga ke hari ini.

“Ahli kelab ketika ini dianggarkan seramai 40 hingga 50 orang yang terdiri daripada pelajar dan bekas pelajar UiTM.

“Setakat ini, AUR berjaya mencatat kejayaan membanggakan dalam pelbagai pertandingan yang disertai, malah turut diiktiraf antara pasukan terbaik di negara ini.

“Ia hasil dedikasi dan komitmen tinggi semua pihak untuk memastikan AUR menjadi pasukan yang disegani di Malaysia dan di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, seorang pemain AUR, Siti Natasha Amira Abdul Kahar, 20, berkata, dia menyertai sukan tersebut kerana mengalami kesukaran bersaing dalam sukan-sukan lain di universiti.

Katanya, ketika peringkat sekolah dahulu, dia cenderung bermain bola jaring tetapi beralih kepada ultimate frisbee selepas mendapat persaingan yang sengit.

“Seperti pemain lain, saya juga bermula dari bawah dan selepas mencuba, saya dapati ia mempunyai sedikit persamaan dengan bola jaring serta seronok bermain.

Stamina


KEMAHIRAN membuat balingan penting dalam ultimate frisbee untuk memastikan cakera sampai tepat kepada sasaran.


“Mungkin jurulatih dapat melihat potensi dalam diri saya sebelum saya diserap ke dalam kelab ini,” katanya.

Jelasnya, biarpun nampak santai, sukan itu turut menuntut stamina yang tinggi di samping kekuatan mental untuk bertahan sepanjang perlawanan.

“Menariknya, sukan ini memerlukan semangat berpasukan dan tanpanya, mungkin sukar untuk mencari kemenangan yang diharapkan.

“Biarpun bermain dalam kategori campuran, pemain lelaki dan wanita tidak bersentuhan antara satu sama lain, sekali gus memberi keselesaan kepada golongan Muslimah untuk bersukan,” katanya.

Sementara itu, rakannya, Amir Haqeem Nor Hisham, 19, berkata, dia menyertai sukan itu sebagai tambahan kepada sukan bola sepak yang menjadi kegemarannya.

Pemain bola sepak pasukan Felda United Jr. itu memberitahu, ultimate frisbee merupakan kaedah terbaik untuk meningkatkan kecergasan secara berterusan.

“Saya akui lebih cenderung kepada sukan bola sepak tetapi pada masa sama, saya turut menyukai sukan ini kerana ia lebih menekankan kepada kepantasan, kemahiran serta aksi,” katanya.

Rencana Utama!»

LOST in KL cabar adrenalin peserta

SAAT sedang cuba menyelesaikan misteri permainan, kedua-dua pengunjung ini terkejut apabila melihat kelibat hantu yang dipenuhi darah dan sedang menjerit dengan kuat.

Process time in ms: 47