KESIHATAN

Rasa makanan melalui perkataan

Rasa makanan melalui perkataan

JACKSON dapat merasai tekstur, aroma dan rasa lobak merah apabila mendengar nama ‘Rory’.


RASA manis lolipop berperisa buah-buahan mengalir pada deria rasa Dave Evans apabila mendengar nama bosnya, Alice.

Anehnya, lelaki berusia 29 tahun itu tidak menghisap gula-gula tersebut di dalam mulutnya tetapi merasai sensasi manis buah setiap kali nama Alice kedengaran di telinganya.

Keadaan itu sebenarnya disebabkan oleh penyakit ganjil digelar leksikal-gustatori sinestesia yang dihidapinya. Penyakit berkenaan menyebabkan Evans dapat merasa dan menghidu makanan setiap kali perkataan-perkataan tertentu disebut.

Evans dari Willesden Green, London, England memberitahu, dia merasai emping jagung setiap kali seseorang menyebut perkataan ‘timur’.

Rasa pasir

“Seingat saya, kali pertama keadaan ini berlaku ketika saya berumur sembilan tahun. Setiap kali nama kawan saya Cai dipanggil, saya akan merasai daging mentah.

“Ia sangat pelik pada awalnya. Saya masih kecil dan perkara ini membuatkan saya jadi keliru kerana tidak tahu mengapa saya merasai makanan berbeza apabila mendengar perkataan tertentu.

“Kini, saya sudah terbiasa walaupun ramai menganggap saya gila. Ibu bapa saya juga fikir saya seorang yang aneh,” ceritanya kepada Mail Online.

Menurut Evans, dia jarang menceritakan tentang keadaan dirinya kepada individu tidak dikenali kerana bimbang dianggap pelik atau sengaja mengada-adakan cerita.

“Saya pernah bertanya kepada orang jika mereka dapat merasai makanan apabila mendengar perkataan tertentu seperti yang saya alami.

“Rata-rata bingung, mentertawakan saya malah ada yang menganggap saya berimaginasi atau khayal dadah,” tuturnya.

Evans memberitahu, selain rasa lolipop dan daging mentah, dia juga dapat merasai rasa pasir apabila mendengar perkataan ‘konglomerat’ dan sos coklat jika terdengar perkataan ‘marmar’.

“Perkataan ‘London’ membuatkan saya merasai stu kentang manakala ‘menara gereja’ memberi rasa buah-buahan masam,” ujarnya.

Sifat ingin tahu mendorong Evans membuat penyelidikan tentang simptom penyakit yang dihidapinya di laman web.

“Saya terjumpa seorang pesakit leksikal-gustatori sinestesia yang menceritakan pengalamannya di laman MySpace.

“Saya tahu kami menghidap penyakit serupa,” kata Evans yang bagaimanapun tidak mendapatkan diagnosis di hospital kerana berasa penyakit berkenaan tidak mengganggu kesihatannya.


RANSANGAN sesuatu rasa akan menyebabkan tindak balas luar kawalan pada satu atau lebih deria lain pada otak.


Pengaktifan bersilang

Sementara itu, seorang lagi pesakit leksikal-gustatori sinestesia, Kathryn Jackson, 22, berkata dia akan merasai rasa lolipop apabila mendengar nama Lola dan rasa lobak merah setiap kali nama Rory disebut.

“Penyakit ini tidak mengganggu kesihatan saya, namun ia sedikit sebanyak menjejaskan konsentrasi semasa di kelas kerana perkataan berlainan akan memberi rasa berbeza secara serentak pada lidah saya,” ujarnya.

Presiden Persatuan Sinestesia United Kingdom, James Wannerton, 58, berkata, tiada diagnosis rasmi untuk leksikal-gustatori sinestesia kerana penyakit itu sangat luar biasa dan terdiri daripada pelbagai jenis.

Wannerton yang turut menghidap leksikal-gustatori sinestesia memberitahu, pihaknya berusaha keras supaya Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) dapat mengiktiraf penyakit berkenaan.

“Pihak pengamal perubatan boleh menyampaikan wakil mereka kepada kami supaya dapat dirujuk ke Universiti Sussex, England untuk mengambil bahagian dalam penyelidikan di sana,” katanya.

Menurut Wannerton, sinestesia berpunca daripada pengaktifan bersilang di antara dua bahagian berasingan pada otak.

“Individu dengan sinestesia memiliki sambungan neural atau saraf tambahan yang menghubungkan kawasan yang berasingan ini.

“Rangsangan sesuatu rasa akan menyebabkan tindak balas luar kawalan pada satu atau lebih deria lain pada otak. Sebagai contoh, pesakit berupaya mendengar warna atau melihat bunyi yang menjadikan ini kelebihan buat diri mereka,” katanya.

Process time in ms: 32