PESONA

Pesta Makanan Korea Gyeonggi diserbu orang ramai

Pesta Makanan Korea Gyeonggi diserbu orang ramai


MI segera berperisa pedas menjadi antara makanan yang paling digemari ramai.


TANGAN kanannya diletak kemas pada tetikus sambil jari telunjuknya menekan butang kiri bagi membuka mana-mana pautan di laman Facebook itu yang dirasakan menarik.

Selang beberapa minit kemudian, Alex Wong Chee Khang, 18, menjumpai satu acara yang menarik minatnya iaitu Pesta Makanan Korea Gyeonggi. Ia berlangsung pada 19 hingga 24 September lalu di pusat beli-belah MyTown, Jalan Cochrane, Cheras, Kuala Lumpur.

Lantas, pada cuti hujung minggu lalu, dia mengajak rakannya ke MyTown untuk mendapatkan barangan makanan dari Korea.

“Saya sememangnya mengikuti arus gelombang K-Pop terutama muzik dan dramanya.

“Justeru, saya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan beberapa barangan makanan yang sebelum ini banyak dilihat di dalam drama Korea seperti mi segera dan makanan ringan,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur yang menggemari kumpulan muzik BTS dan drama Goblin itu sewaktu ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Berbeza halnya dengan Rafidah Mat Yasin, 35, kehadirannya ke MyTown pada hari itu sekadar untuk bersiar-siar dan membeli-belah bersama keluarga.


Teh sitron ini merupakan minuman signatur Korea dan mendapat sambutan hangat daripada pengunjung.


“Sewaktu menghampiri ruang legar, saya terdengar pengacara majlis sedang mempromosikan beberapa barangan makanan menerusi corong pembesar suara. Lantas, saya mengajak suami dan anak-anak untuk menghampiri kawasan tersebut,” kata ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.

Tambah wanita yang menetap di Ampang, Selangor itu, harga barangan yang ditawarkan pada pesta tersebut seperti aneka minuman, mi segera, kerepek kentang, kek beras dan aiskrim juga lebih murah berbanding biasa.

Pesta berkenaan kali pertama diadakan di MyTown dan kedua pada tahun ini selepas Sunway Velocity Mall tiga bulan lalu.

Menurut pengacara majlis Pesta Makanan Korea Gyeonggi, Sean Lee, sambutan yang diterima daripada orang ramai adalah sangat menggalakkan.

“Pengaruh kesenian Korea di negara ini ternyata menarik kunjungan orang ramai yang datang bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Jualan barangan seperti mi segera perisa pedas, teh hijau, rumpai laut panggang dan teh sitron Korea antara yang mendapat sambutan hangat. Sudah tentu, rasanya juga enak,” kongsinya.

Selain jualan makanan, pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan menarik beridentitikan Korea seperti muzikal tradisional dan seni bela diri taekwondo.

“Menerusi penganjuran acara seumpama ini, kami berharap orang ramai akan lebih mengenali makanan terkenal dari Korea Selatan,” ujarnya.

Process time in ms: 32