HORIZON

Menikmati kedamaian burung terbang bebas

Menikmati kedamaian burung terbang bebas

Salah seorang petugas Taman Burung KL memberi arahan kepada dua ekor burung untuk melakukan pertunjukan burung di hadapan pengunjung.


KEGEMBIRAAN jelas terpancar pada wajah kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu sebaik tiba di Taman Burung Kuala Lumpur (KL), Taman Tasik Perdana di ibu kota.

Harraz Rizqi Hairizan sangat teruja selepas melihat kelibat beberapa ekor burung nuri di ruangan lobi taman burung itu.

Sebagai peminat filem animasi Rio, dia sangat mengenali burung nuri tersebut meskipun ia berwarna kemerahan.

Harraz Rizqi kemudian dipimpin oleh bapanya masuk ke dalam taman seluas 8.5 hektar itu.

Alangkah gembiranya Harraz Rizqi apabila melihat seekor merak biru yang turut jinak berjalan bersebelahan dengannya.

Itu adalah sebahagian daripada momen menarik yang dialami pengunjung di Taman Burung KL. Biarpun taman itu sudah wujud di Kuala Lumpur sejak hampir tiga dekad lalu, namun ia terus menjadi antara destinasi menarik yang dikunjungi ramai termasuk pelancong luar negara.

Seorang pengunjung, Mazidah Jamil, 34, yang datang bersama ahli keluarganya baru-baru ini turut teruja dengan keunikan Taman Burung KL.

“Ini merupakan kali pertama saya berkunjung ke sini. Pada pendapat saya, taman burung ini sangat menarik kerana para pengunjung berpeluang untuk bergambar dengan pelbagai spesies burung.

“Jika saya yang dewasa ini pun teruja, saya yakin kanak-kanak pasti lebih gembira. Tambahan pula, harga tiket untuk memasuki taman ini juga amat berpatutan berdasarkan kemudahan serta perkhidmatan yang diberikan,” kata wanita yang berasal dari Banting, Selangor itu.

Tambah Mazidah, para pengunjung juga dapat merasai suasana yang kondusif sambil bersantai bersama ahli keluarga kerana kebanyakan kemudahan di Taman Burung KL itu amat mesra pengguna khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

“Secara jujurnya saya amat berpuas hati dengan taman ini. Staf yang bekerja juga sangat mesra dan baik. Malah, mereka turut membantu jika ada para pengunjung yang bertanyakan arah,” tutur ibu kepada empat orang cahaya mata itu.

Tanpa sangkar


Salah seorang petugas di Taman Burung KL memberi penerangan tentang keistimewaan burung merak.


Mula dibuka kepada umum sejak tahun 1991 lagi, Taman Burung KL yang terletak berdekatan Masjid Negara itu memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat secara lebih dekat hampir 3,000 ekor burung daripada 200 spesies.

Menurut Eksekutif Pemasaran dan Promosinya, Taufik Mohd. Sharif, taman ini bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung melihat pelbagai spesies burung berwarna-warni tetapi boleh mengenalinya dengan lebih dekat.

Katanya lagi, Taman Burung KL itu juga mendapat jolokan sebagai sangkar burung terbang bebas terbesar di dunia. Kebanyakan burung yang terdapat di taman itu tidak dikurung, sebaliknya dibiarkan bebas berterbangan.

“Tanpa sangkar yang menjadi sempadan, pengunjung bukan saja boleh mengamati unggas ini dengan lebih dekat, bahkan boleh bersiar-siar bersamanya di dalam taman ini.

“Pengunjung juga tidak perlu memandu jauh atau meneroka hutan belantara dengan teropong untuk melihat kecantikan pelbagai spesies burung kerana di sini, anda boleh melihatnya dengan jelas,” katanya.

Terbahagi kepada empat zon, Taufik memberitahu, zon satu dan dua adalah kawasan penerbangan bebas di mana burung dibiarkan terbang berkeliaran.

“Menjelajah di dua zon terbang bebas ini, ia membawa pengunjung persis menjelajah di hutan menghijau yang dipenuhi burung-burung cantik.

“Selain itu pengunjung juga dapat melihat kelibat burung sekendi merah yang unik dengan keseluruhan badannya berwarna merah. Ia hanya seekor di dalam taman ini,” ujarnya.

Tambah Taufik lagi, kicauan burung merbah iaitu burung yang bersaiz sederhana yang hidup di atas pokok cukup mengasyikkan bagi sesiapa sahaja yang mendengarnya.

“Antara tarikan lain ialah burung flamingo, burung undan putih, undan paruh titik dan bangau kendi yang menjadi tarikan di kolam flamingo,” katanya.

Puas bersiar-siar ditemani burung berwarna-warni daripada spesies berlainan, memasuki zon tiga iaitu taman enggang cukup mengujakan.

Terdapat empat spesies enggang yang menghuni taman burung antaranya enggang badak (rhinoceros hornbill), kelingking (oriental pied hornbill), papan (great hornbill) dan gatal birah (black hornbill).

Namun, enggang ini ditempatkan di dalam sangkar bagi menjaga spesies burung yang cukup unik ini.

Zon empat pula menawarkan pelbagai tarikan menarik. Antara yang boleh dikunjungi adalah World of Parrots yang memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri pengalaman memberi susu kepada pelbagai spesies nuri seperti bayan pelangi dan merah.

“Kebiasaannya, pengunjung akan menggunakan peluang yang disediakan sebaik mungkin, seperti cuba memberi makanan kepada burung,” ulasnya lagi.

Keseronokan pengunjung bertambah apabila berpeluang menyaksikan acara yang dinanti-nantikan iaitu pertunjukan burung jinak dua kali sehari di Amphitheatre selama 30 minit.

Pencinta haiwan


SPESIES burung seperti enggang badak antara yang menjadi tarikan pengunjung di Taman Burung KL.


Acara dimulakan dengan gelagat menghiburkan daripada si burung kakak tua seperti mengayuh basikal, berdiri di atas kereta mainan dan menjawab soalan yang diajukan oleh pengacara.

Zon ini juga menempatkan galeri burung, stesen pendidikan dan sekolah burung (bird school) yang menawarkan pengunjung pelbagai maklumat dan pengetahuan berkaitan burung.

Selain itu, tambah Taufik, antara tarikan baharu di taman berkenaan adalah sebuah restoran yang diberi nama Restoran & Kafe Hornbill di pintu keluar taman tersebut.

“Restoran ini menawarkan pelbagai menu pilihan tempatan dan Barat. Setiap hidangan disediakan pula oleh cef yang berpengalaman,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pelancong dari Belanda, Jordy Clasie, 25, mengakui, Taman Burung KL mempunyai tarikan yang tersendiri sehingga mendorong dia dan rakan-rakannya untuk berada lebih lama di taman itu.

“Saya merupakan seorang penggemar aktiviti luar dan pencinta haiwan serta alam semula jadi.

“Disebabkan faktor keterbatasan waktu akibat kekangan kerja, aktiviti luar ini tidak dapat dibuat sekerap dahulu,” ujarnya sambil tersenyum.

Katanya lagi, peluang untuk dia melawat kawasan sekitar Taman Burung KL sudah cukup melepaskan rindunya terhadap kedamaian alam semula jadi.

“Selesai menjelajah di taman burung yang unik ini juga, kami sempat menjamu selera di Restoran & Kafe Hornbill.

“Ternyata, dengan keenakan pelbagai jenis makanan tempatan dan Barat yang dihidangkan membuatkan kami kekenyangan,” katanya yang pertama kali menjejakkan kaki di Malaysia.

Rencana Utama!»

LOST in KL cabar adrenalin peserta

SAAT sedang cuba menyelesaikan misteri permainan, kedua-dua pengunjung ini terkejut apabila melihat kelibat hantu yang dipenuhi darah dan sedang menjerit dengan kuat.

Process time in ms: 63