INFINITI

Aktiviti gotong-royong bersih pantai Teluk Senangin

Aktiviti gotong-royong bersih pantai Teluk Senangin


PERSEKITARAN bersih membolehkan manusia menyedut udara yang segar.


KEPENTINGAN menjaga alam sekitar sangat penting kepada manusia terutamanya terhadap sistem pernafasan. Persekitaran yang bersih membolehkan manusia menyedut udara yang segar.

Melalui persekitaran yang segar dan nyaman juga, orang ramai boleh melakukan aktiviti luar dan beriadah tanpa gangguan yang mampu mencetuskan perasaan rimas serta tidak selesa.

Alam sekitar yang bersih juga dapat mengelakkan pembiakan serangga yang mampu membawa penyakit.

Persekitaran yang bersih dapat menghalang haiwan seperti lalat, nyamuk dan tikus daripada membiak serta menyebarkan penyakit kepada manusia seperti malaria, denggi dan taun.

Baru-baru ini, seramai 40 orang pelajar dari Kelab Kembara, Politeknik Ungku Omar (PUO) Ipoh, Perak telah mengadakan program Cintai dan Sayangi Alam Sekitar di Teluk Senangin Lumut, Perak.

Program itu membawakan tema Antikutu Sampah untuk mengubah minda pelajar dan masyarakat supaya melihat isu alam sekitar melalui mata serta hati bagi menghargai kepentingan menjaga alam sekitar.

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PUO, Norida Mohammad Noor berkata, objektif program itu adalah untuk menyemai sikap, etika, semangat profesional dan meningkatkan lagi tanggungjawab ahli Kelab Kembara PUO.

Slot motivasi


MEMASAK beramai-ramai juga merupakan salah satu aktiviti yang perlu dilakukan pelajar ini.


“Ia bagi membentuk dan menghasilkan kepimpinan pelajar melalui sistem yang tepat dan platform yang betul.

“Selain itu, secara tidak langsung program ini membuka ruang dan peluang kepada pelajar politeknik untuk meningkatkan lagi keyakinan mereka bagi berdepan dengan orang ramai,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Program Cintai dan Sayangi Alam Sekitar itu telah dijalankan selama dua hari satu malam bermula 26 Ogos lalu.

Pada hari pertama, mereka diajar cara-cara memasang khemah dan memasak. Pada sebelah malamnya pula diadakan slot motivasi yang dikendalikan oleh dua orang wakil daripada Persatuan Mata Hati Malaysia (MHM).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Media Sosial MHM, Mohd. Aswadi Muhamad, slot motivasi itu berkisar tentang matlamat kehidupan.

“Selaras dengan program yang dianjurkan, motif nasihat dan motivasi yang diberikan adalah untuk meningkatkan kesedaran sivik pelajar-pelajar bahawa menjaga kebersihan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama.

“Sebagai pelajar, mereka boleh menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat luar dan menjadi bukti bahawa semua peringkat umur tidak terlepas bagi memastikan persekitaran bebas daripada sampah,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, MHM sendiri menganjurkan pelbagai program dan aktiviti melibatkan alam sekitar supaya dapat memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Kami berharap agar masyarakat menyokong setiap program yang dilaksana bagi memastikan ia mencapai matlamat.

“Sesungguhnya, kita perlu memelihara alam sekitar daripada pencemaran. Alam sekitar yang terpelihara merupakan hadiah yang tidak ternilai kepada generasi akan datang,” ujarnya sambil memaklumkan, semua pelajar ditugas membersihkan pesisiran pantai pada hari kedua.

Process time in ms: 31