STAILO

Gaya tatarias Asma Izah

Gaya tatarias Asma Izah


BAKAT Asma Izah dalam solekan membuatkan dia diberi kepercayaan untuk terlibat dalam menjayakan sesi fotografi.


MINAT yang mendalam terhadap bidang solekan dan kecantikan membuatkan Asma Izah Ab. Kadir, 26, atau lebih dikenali sebagai Asma Kadir tekad menjadikannya sebagai kerjaya walaupun tidak mempunyai asas sebagai jurusolek.

Dia yang merupakan pemegang Diploma Sistem Maklumat, Universiti Teknologi Mara, Dungun, Terengganu, yakin dengan pilihan itu dan sanggup belajar dari bawah.

Keputusan tersebut ditentang oleh ibunya kerana risau dengan masa hadapan Asma Izah tetapi terpaksa akur apabila melihatkan kesungguhan yang ditunjukkan oleh anak bongsu daripada enam beradik itu.

Sejak berkecimpung sebagai jurusolek empat tahun lalu, Asma Izah aktif mengadakan bengkel kecantikan bagi berkongsi tip solekan serta kecantikan.

Pada peringkat awal dia menawarkan solekan untuk pengantin yang dijalankan sepenuh masa di Kelantan sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun lalu.

Gadis genit berketinggian 154 sentimeter itu bukan sahaja berkebolehan dalam solekan tetapi turut menawarkan perkhidmatan dandanan rambut dan gubahan jambangan bunga.

Asma Izah sering dipanggil untuk menyolek model bagi menjayakan sesi fotografi pelbagai jenama fesyen terkemuka tanah air seperti Rico Rinaldi.

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu juga sentiasa mengikuti perkembangan semasa sama ada dengan menghadiri kursus solekan mahupun melayari internet kerana baginya proses pembelajaran tidak pernah berakhir.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Asma Izah yang berkongsi pengalaman sepanjang melibatkan diri dalam bidang solekan dan kecantikan.

KOSMO!: Bagaimana boleh berputik minat dalam bidang solekan dan kecantikan?

ASMA IZAH: Semasa belajar di UiTM, Dungun, Terengganu, saya merupakan penari kebudayaan. Sebelum melakukan persembahan, kami perlu bersolek dan berdandan cantik. Semua itu dilakukan sendiri.

Saya berasa sangat seronok ketika bersolek dan turut membantu kawan-kawan berdandan sehingga mereka mencadangkan agar saya mencuba bidang ini.

Menyahut cadangan itu, saya menawarkan khidmat solekan kepada pelajar-pelajar untuk ke majlis makan malam ataupun menghadiri apa sahaja acara.

Bermula dari situ, saya membuat keputusan untuk menjadi jurusolek sepenuh masa dan menerima pelbagai undangan terutamanya solekan pengantin.

Apakah keseronokan bergelar seorang jurusolek?

Saya dapat berjumpa dengan pelbagai lapisan masyarakat daripada kelas sederhana sehingga golongan kenamaan. Selain itu, saya sering berjumpa orang baharu dan berasa puas apabila mereka gembira dengan hasil solekan saya.

Apakah cabaran yang perlu anda tempuhi?

Bergelar jurusolek tidaklah semudah disangka kerana perlu melayani pelbagai kerenah pelanggan. Antaranya, ada yang membatalkan tempahan pada saat-saat akhir dan terlalu cerewet.

Bagaimanapun, saya melihatnya dari sudut positif dan menanam sikap sabar kerana pelanggan adalah aset.

Bolehkan anda kongsikan tip solekan ringkas untuk gaya seharian?

Bagi saya, solekan hanya mengindahkan kecantikan tetapi yang paling penting adalah menjaga kulit wajah agar sentiasa sihat.

Jika kondisi kulit berada pada tahap terbaik maka, sentuhan sedikit solekan sudah memadai.

Solekan ringkas yang boleh diaplikasikan adalah menggunakan gincu terang bagi menyerlahkan wajah, maskara, melukis bentuk alis dan pemerah pipi.

Apakah perancangan masa depan anda?

Saya ingin mencipta nama sebagai jurusolek di dalam dan luar negara. Selain itu, melebarkan sayap dalam bidang perniagaan.

Rencana Utama!»

LOST in KL cabar adrenalin peserta

SAAT sedang cuba menyelesaikan misteri permainan, kedua-dua pengunjung ini terkejut apabila melihat kelibat hantu yang dipenuhi darah dan sedang menjerit dengan kuat.

Process time in ms: 47