DUNIA

Bantuan Rohingya terhalang

Bantuan Rohingya terhalang

SITTWE, Myanmar – Agensi-agensi bantuan sukar untuk sampai kepada ratusan ribu pelarian Islam Rohingya di barat laut Myanmar kerana sikap permusuhan etnik beragama Buddha di negeri Rakhine yang menuduh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan bantuan asing hanya membantu orang Islam.

Setakat ini, kerajaan Myanmar hanya membenarkan Pertubuhan Palang Merah memasuki Rakhine.

PBB pula menghentikan aktivitinya dan memindahkan kakitangan bukan kritikal selepas Yangon menuduh ia menyokong pemberontak Rohingya.

Selain mengharungi cuaca buruk, bentuk muka bumi sukar dan kerenah birokrasi, Palang Merah juga berdepan konfrontasi daripada penduduk bukan Islam yang percaya bahawa agensi bantuan asing tidak menghiraukan penderitaan etnik beragama Buddha di Rakhine, negeri paling miskin di Myanmar.

Pada Rabu lepas, sekumpulan penduduk di ibu negeri Rakhine, Sittwe cuba menyekat sebuah bot bantuan Komuniti Palang Merah Antarabangsa (ICRC) daripada bergerak ke utara Rakhine di mana serangan pemberontak Rohingya pada 25 Ogos lalu mendorong tentera Myanmar melancarkan operasi pembersihan.

Kumpulan itu yang bersenjatakan kayu, pisau dan bom petrol hanya bersurai selepas polis menembak peluru getah.

Empat hari sebelumnya, sebuah trak Palang Merah Myanmar digeledah oleh penduduk Sittwe.

“Ketegangan yang memuncak di Negeri Rakhine mengakibatkan pekerja kemanusiaan dan kontraktor swasta berdepan cabaran serius dalam tugas mereka untuk menyelamatkan nyawa manusia,” kata jurucakap Pejabat Penyelarasan dan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB di Myanmar, Pierre Peron.

Sejak sebulan lalu, seramai 420,000 etnik Rohingya telah melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh bagi mengelak penghapusan etnik di Rakhine.

Di utara Rakhine pula, puluhan ribu orang, kebanyakannya penduduk Rohingya menjadi pelarian di tanah air sendiri tetapi tidak menyeberang ke Bangladesh.

Di kawasan sekitar Sittwe pula, seramai 140,000 pelarian Rohingya tinggal berasak di kem-kem daif dan bergantung kepada bantuan asing yang disekat sejak 25 Ogos lalu.

Etnik Rakhine sudah lama mengadu bahawa agensi-agensi bantuan asing memberikan banyak bantuan kepada orang Islam.

“Semua orang di Rakhine menderita tetapi hanya orang Islam diberikan bantuan,” kata pemimpin Parti Nasional Arakan, Htun Aung Kyaw.

Usaha bantuan ke Rakhine juga sukar ekoran desas-desus bahawa ia digunakan untuk menyeludup senjata kumpulan pemberontak. – Reuters

Rencana Utama!»

LOST in KL cabar adrenalin peserta

SAAT sedang cuba menyelesaikan misteri permainan, kedua-dua pengunjung ini terkejut apabila melihat kelibat hantu yang dipenuhi darah dan sedang menjerit dengan kuat.

Process time in ms: 31