RENCANA UTAMA

Tekad dalami bahasa al-Quran

Tekad dalami bahasa al-Quran

AMIRUL bersama gurunya yang dipanggil Abla Ibtisam.


MENYOROTI kisah perjalanan hidup anak ketiga daripada empat beradik kepada pasangan pendakwah dan penulis terkenal, Prof. Muhd. Kamil Ibrahim dan Raudzah Roslan dalam karya bertajuk Amirul Budak Sudan membangkitkan 1,001 rasa dalam diri.

Nukilan istimewa daripada seorang ibu terhadap anak yang pernah menghuni rahimnya itu mampu membuatkan pembaca menginsafi betapa hebatnya perancangan Allah terhadap hamba-Nya.

Ia bukan kisah kejayaan akademik, tetapi ia ceritera kehidupan seorang anak bernama Ahmad Amirul Imran, 19, yang sanggup berkelana jauh ke bumi Sudan untuk menimba ilmu.

Membulatkan keputusan untuk berhijrah ke sebuah negara bergolak di benua Afrika pada usia 15 tahun semata-mata untuk mempelajari bahasa Arab, bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan.

Bagaimanapun, pergantungan yang tinggi terhadap Allah menjadi faktor utama Amirul nekad mengikut guru yang dipanggil Abla Ibtisam pulang ke Sudan bagi mencapai cita-citanya mendalami bahasa al-Quran.

Abla merupakan guru yang mengajar Amirul bahasa Arab ketika dia dan adiknya, Farah Sofea mengikut ayah mereka yang ditawarkan bekerja sebagai pensyarah di Universiti Taibah, Madinah pada tahun 2011.

Menurut Amirul sebelum keluarganya bermukim di Madinah, dia pernah bersekolah di Maahad Lughatul Quran yang terletak di Kesang Laut, Muar, Johor selama beberapa bulan lantaran keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diperoleh kurang memuaskan dengan pencapaian 4B 1C.

“Keputusan tersebut sangat teruk bagi anak seorang profesor. Saya rasa amat sedih kerana mengecewakan ayah dan mama. Apa yang membuatkan saya terharu apabila ayah bersikap tenang sebaik melihat slip keputusan. Wajahnya tidak berubah bahkan memeluk saya sambil memberikan kata-kata semangat.

“Jauh di lubuk hati, saya rasa sayu kerana tahu ayah pulang dengan perasaan hampa. Disebabkan itu, ketika ayah mencari sekolah agama untuk saya teruskan pelajaran sesuai dengan keputusan UPSR, saya terima seadanya,” ujar Amirul ketika ditemui Kosmo! di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Halaqah Quran


KELUARGA sentiasa memberi sokongan dalam setiap perkara yang ingin dilakukan Amirul.


Tambah Amirul, di sanalah dia mula mempelajari asas bahasa Arab yang sangat berguna untuknya sebaik berpindah ke Madinah selain merasai pengalaman berjauhan dengan kedua-dua ibu bapa kerana duduk di asrama.

Menetap di kawasan perumahan berhampiran kaki Bukit Uhud, Amirul mula menyertai kelas halaqah al-Quran di Masjid Nabawi pada setiap hari sehinggalah memasuki sebuah sekolah Arab persendirian dengan silibus sukatan pelajarannya dari Sudan.

“Bermula dari situlah saya mengenali Abla, seorang guru yang sangat baik dan tidak mengenal erti letih. Beliau bersungguh mengajar saya semua subjek. Malah, beliau jugalah yang mendaftarkan saya untuk menduduki Sijil Peperiksaan Sudan yang diadakan di Kedutaan Sudan di Riyadh, Arab Saudi.

“Alhamdulillah, saya berjaya lulus dengan cemerlang hingga diwawancara oleh wartawan televisyen dari Sudan kerana menjadi satu-satunya pelajar Melayu yang mengambil peperiksaan tersebut.

“Disebabkan itu, saya nekad mahu mengikut Abla pulang ke sana untuk terus mendalami bahasa Arab sebaik beliau memberitahu akan menutup sekolah di Madinah tidak lama kemudian,” ungkap Amirul.

Ketika menceritakan hal itu kepada ibunya, Amirul memberitahu, kisah sejarah peperangan Sudan, cerita tentang Sungai Nil Putih dan Biru yang mengalir di sepanjang benua Afrika membuatnya tertarik untuk menerokai bumi tersebut.

Ternyata hasrat hati Amirul disambut positif oleh ibu dan bapanya. Akhirnya pada bulan Jun 2013, Amirul tiba di Sudan dan meneruskan persekolahan di Madrasah Tahnoon Banin, sebuah sekolah milik kerajaan yang agak daif di Khartoum.

“Keadaan infrastruktur sekolah memang menyedihkan. Namun, saya teringat kata-kata mama bahawa ilmu usah diukur pada bangunan, tetapi di dada cendiakawan. Ilmu Allah ada di mana-mana. Ia diajar kepada manusia dengan pelbagai cara. Itulah azimat yang menjadi bekal untuk saya menguatkan hati belajar di sana,” tutur Amirul lagi.

Walaupun berdepan cabaran sebagai pelajar asing di sekolah tersebut, Amirul berjaya membuktikan dengan menunjukkan keperibadian yang baik dalam pergaulan, dia disenangi ramai termasuk oleh guru-guru dan rakan-rakan.

“Apa yang lucu, pada hari pertama persekolahan disebabkan bermata sepet, kebanyakan pelajar menegur saya dengan soalan, Ni hao? kerana menyangka saya anak orang Cina,” imbau anak muda ini lagi.

Sementara itu, sebagai bapa, Muhd. Kamil telah pun menyediakan sejumlah wang bernilai 13,000 riyal (RM14,514) bagi tujuan pembayaran yuran persekolahan di Sudan, namun pihak sekolah memaklumkan kejayaan Amirul dalam Sijil Peperiksaan Sudan membolehkan dia belajar secara percuma di mana-mana sekolah kerajaan.

Akhirnya beliau berkata kepada Abla: “Saya bawa duit ini untuk membayar yuran Amirul, tetapi Allah beri percuma. Saya tidak mahu wang ini. Ia rezeki sekolah. Ibu dan nenek Amirul juga mahu menyumbang. Justeru, saya mahu Abla gunakan duit tersebut untuk pembangunan sekolah.”

Sumbangan


MADRASAH Tahnoon Banin telah dicat dan dinaikkan papan tanda hasil sumbangan bapa Amirul.


Antara perkara yang dilakukan daripada duit tersebut adalah menukar papan tanda nama di pintu gerbang sekolah. Bangunan luar sekolah turut dicat semula selain menghijaukan kawasan dengan menanam pokok-pokok.

Sumbangan tersebut ternyata meningkatkan lagi populariti Amirul di sekolah berkenaan sehingga guru besar di sana menggelarnya sebagai anak ‘tok sheikh’ dari Malaysia yang bermukim di Madinah.

Sepanjang tiga tahun di Sudan, Amirul turut melanjutkan pelajaran peringkat menengah di Madrasah Khair Wa Barakah Banin, sebuah sekolah swasta dan pernah mengikut Abla pulang ke kampung halamannya di Kosti, selatan Sudan kira-kira 320 kilometer dari Khartoum.

Dia juga berpeluang mendalami budaya dan cara hidup masyarakat di sana. Malah di negara itulah, dia mula menanam minat, memerhati dan menghadam proses bagaimana sejenis makanan itu terhasil bermula dari bahan mentah, ramuan dan kaedah sajian hidangan.

Menurut Abla, kehadiran Amirul merupakan anugerah Allah buat keluarganya. Beliau juga menyifatkan Amirul sebagai seorang anak yang baik atas didikan ibu bapanya lantaran tidak pernah meninggalkan solat dan sering berpuasa sunat.

“Pada mulanya, tiada ahli keluarga yang bersetuju untuk saya membawa Amirul pulang ke Sudan kerana perbezaan darjat antara kami. Suami berkata saya gila kerana mahu menjaga Amirul yang hidup dalam kemewahan sedangkan kami pula miskin hingga rumah pun tiada.

“Namun, ia gerak hati luar biasa daripada Allah. Alhamdulillah, akhirnya seisi keluarga, guru dan rakan-rakan di Sudan menyanjungi anak muda dari Malaysia ini. Amirul mempunyai aroma mudah didampingi dan bersikap terpuji.

“Melalui sumbangan ibu bapanya, kami dapat menyewa rumah dan mampu menghantar anak sehingga ke universiti. Saya membandingkan bagaimana Nabi Muhammad SAW dihantar menyusu kepada Halimatul Saadiah dan ia memberi keberkatan kepada beliau dan keluarga. Ia rahmat yang besar buat saya,” tutur Abla ketika berkunjung ke Malaysia sempena pelancaran buku Amirul Budak Sudan baru-baru ini.

Sementara itu, Muhd. Kamil memberitahu, impiannya adalah untuk melihat Amirul berjaya menjadi pakar bahasa Arab selepas mengambil keputusan berhijrah ke Sudan. Namun, siapa sangka minat akhirnya tidak ke arah itu. Sebaliknya, Amirul bersungguh mahu menjadi seorang cef.

Minat cef


AMIRUL menunjukkan minat mendalami ilmu seni kulinari sekali gus ingin bergelar seorang cef.


“Pada mulanya, saya marah. Apabila bertenang seketika, saya nyatakan kepadanya, kalau Amirul hendak menjadi cef, maka jadilah seorang cef yang soleh. Kita belajar bahasa Arab tidak semestinya menjadi profesor Arab.

“Akhirnya, saya mula memahami bagaimana hebatnya perancangan Allah. Sebaik sahaja Amirul menamatkan pengajian di Akademi Seni Kulinari selepas pulang dari Sudan, dia mendapat tawaran untuk menjalani latihan praktikal di sebuah hotel enam bintang di Dubai. Ternyata, pengetahuan bahasa Arabnya menjadi satu kelebihan,” katanya.

Rencana Utama!»

LOST in KL cabar adrenalin peserta

SAAT sedang cuba menyelesaikan misteri permainan, kedua-dua pengunjung ini terkejut apabila melihat kelibat hantu yang dipenuhi darah dan sedang menjerit dengan kuat.

Process time in ms: 16