PESONA

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.


SETIAP hari sebelum melangkah keluar dari rumah untuk ke Sekolah Kebangsaan La Salle, Petaling Jaya, Selangor, murid darjah satu itu pasti tidak lupa untuk menyembur bongkah semaian cendawannya dengan air.

Affi Farhan Mohamad Fahmi, 7, teruja menekan picu botol semburan setinggi 10 sentimeter (cm) itu beberapa kali pada lubang berbentuk X yang ditoreh pada bongkah semaian cendawan miliknya.

Masakan tidak, ibunya, Nor Amiza Abd. Kadir, 36, baru sahaja membuat lubang tersebut dua hari lalu dan dia sudah dapat melihat tunas cendawan terjengul keluar.

“Saya seronok apabila melihat cendawan telah mula tumbuh pada lubang yang ibu tebuk.

“Setiap hari, saya pasti tidak sabar untuk pulang ke rumah selepas waktu persekolahan kerana ingin melihat saiz cendawan yang semakin membesar.

“Setelah tiba di rumah, saya akan menyembur beberapa kali lagi pada lubang di bongkah tersebut,” ujar anak sulung daripada tiga orang adik-beradik itu yang nyata teruja sewaktu pertama kali diperkenalkan dengan Dr. Mushroom oleh ibunya.

Lumrah kanak-kanak yang kaya dengan sifat ingin tahu yang tinggi, Affi Farhan juga tidak terkecuali.

“Saya terkejut sebelum ke sekolah pada waktu pagi, cendawan masih kecil dan berwarna putih, tetapi mekar dengan warnanya bertukar coklat kekelabuan pada petangnya,” ceritanya.

Sebagai ibu, Nor Amiza melihat perubahan sikap anak sulungnya itu sebagai suatu anjakan yang positif.

“Sebelum ini dia agak nakal dan liat apabila diminta berbuat sesuatu. Malah, masanya juga lebih banyak dihabiskan dengan bermain permainan digital menggunakan peranti mudah alih milik saya pada masa lapang.

Sains asas


FAUZIAH ZIE (tengah) bersama Mohd. Fariz (dua dari kanan) dan ahli UPSM UKM yang merupakan penggerak utama program prasekolah Dr. Mushroom.


“Namun, saya perhatikan sejak Affi Farhan mula didedahkan terhadap kaedah pembelajaran sains asas dengan menjadikan tanaman cendawan sebagai subjek, saya dapat merasakan dia kini lebih responsif,” akui ibu muda tersebut.

Jelasnya, mereka juga berjaya menuai cendawan yang ditanam itu sebanyak dua kali.

Memandangkan keluarganya tinggal di pangsapuri, maka Nor Amiza memilih untuk meletakkan kotak berisi bongkah cendawan tersebut di atas kabinet dapur agar ia dapat menerima cahaya matahari dengan lebih baik, bongkah sentiasa kering dan kotak mudah dicapai.

Mula diperkenalkan secara rasmi sejak 1 Januari tahun ini, Dr. Mushroom tampil selangkah ke hadapan dalam pembangunan pendidikan kanak-kanak prasekolah terutama dalam memupuk minat terhadap sains dan alam sekitar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif DRM Mushroom Resources, Fauziah Zie Yahaya, pihaknya tidak menunggu lama untuk mendekati golongan sasar iaitu kanak-kanak berumur tiga hingga 12 tahun sebaik ia mula dilancarkan.

“Kami mula bergiat aktif turun padang untuk mengadakan pertemuan dengan pihak prasekolah di sekitar Lembah Kelang bagi berbincang mengenai pengisian aktiviti di pusat jagaan kanak-kanak terbabit sejak bulan April lalu.

“Kami percaya penglibatan awal kanak-kanak dalam aktiviti yang menggabungkan elemen sains dan alam sekitar dalam memberi perspektif berbeza kepada mereka,” katanya sewaktu ditemui di bangsal semaian cendawan di Semenyih, Selangor baru-baru ini.

Berbicara lanjut, Fauziah memberitahu, idea untuk mewujudkan pendekatan seumpama itu tercetus pada tahun lepas berdasarkan pengalaman peribadinya membesarkan anak dalam zaman teknologi kini.

“Anak sulung saya berumur lima tahun pada masa itu. Boleh dikatakan tumbesarannya banyak ditemani gajet dalam kehidupan seharian dan itu sangat menggusarkan saya.

“Benar, kanak-kanak bandar hari ini mungkin tidak dapat merasai pengalaman membesar sama seperti generasi terdahulu yang betah bersalut lumpur dan berlumur pasir, namun itu bukanlah alasan untuk tidak mendekatkan diri dengan aktiviti alami dan semula jadi.

“Justeru, setelah membuat beberapa kajian, saya merasakan penggunaan subjek tanaman cendawan dapat menjadi alternatif untuk mendekatkan kanak-kanak dengan alam semula jadi,” ujarnya.

Masa singkat


Kanak-kanak teruja untuk menyembur air apabila melihat pertumbuhan cendawan berlaku dengan cepat dalam tempoh kurang 10 hari.


Tambah Fauziah Zie, kanak-kanak bukan sahaja dapat memahami kejadian pertumbuhan cendawan dengan lebih jelas, malah mereka juga berpeluang mendapatkan hasil segera kerana cendawan tidak mengambil masa yang panjang untuk dituai iaitu kurang daripada 10 hari.

Dalam setiap slot perkongsian yang dijalankan di tadika, program Dr. Mushroom akan dikendalikan oleh sekumpulan pelajar daripada Urusetia Pembangunan Sumber Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UPSM UKM).

Pengerusinya, Mohd. Fariz Ikhwan Anuar, 21, memberitahu, UPSM UKM telah bekerjasama dengan Dr. Mushroom sejak dua bulan lepas untuk membuat perkongsian komponen cendawan dan demonstrasi penjagaan bongkah semaian terhadap kanak-kanak tadika.

“Terdapat tiga sesi dalam setiap slot. Pada sesi pertama iaitu Mushroom of the Day, kami akan memperkenalkan komponen yang terdapat pada sebatang cendawan menggunakan bahasa yang mudah difahami dan memberikan kanta pembesar kepada mereka agar dapat melihat dengan lebih jelas. Kami melabelkan bahagian atas sebagai topi, bahagian insang dipanggil gigi dan bawahnya pula ialah batang.

Dikukus


Bongkah cendawan tiram kelabu yang telah dikukus selama lapan jam akan disimpan di dalam bangsal selama 45 hari sehingga matang.


“Sesi kedua ialah permainan membina keyakinan diri. Kanak-kanak akan diberikan sebiji belon untuk ditiup dan mereka perlu duduk di atasnya sehingga pecah. Sesi ketiga pula ialah menjelaskan khasiat cendawan menerusi permainan suai padan kad dengan keterangan yang sesuai.

“Kami menggunakan pendekatan belajar sambil bermain. Usai sesi interaktif, kami akan menunjukkan cara-cara menggunakan kit cendawan untuk dilaksanakan sama ada di tadika atau di rumah mengikut keperluan pembelajaran mereka,” kongsi anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu yang juga merupakan pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer.

Kotak kit cendawan

Dr. Mushroom menyediakan sebuah bongkah semaian cendawan seberat lebih kurang 900 gram yang telah dikukus selama lapan jam dan disimpan selama 45 hari di dalam bangsal sehingga matang.

Sebotol penyembur plastik putih setinggi 10cm juga disertakan bersama di dalam kit tersebut yang berharga RM30 setiap satu.

Rencana Utama!»

LOST in KL cabar adrenalin peserta

SAAT sedang cuba menyelesaikan misteri permainan, kedua-dua pengunjung ini terkejut apabila melihat kelibat hantu yang dipenuhi darah dan sedang menjerit dengan kuat.

Process time in ms: 78