DUNIA

Gempa bumi kuat gegar Mexico

Gempa bumi kuat gegar Mexico

AFP - ANGGOTA penyelamat mencari mangsa yang masih hidup di bawah runtuhan sebuah bangunan selepas gempa bumi kuat menggegarkan Bandar Raya Mexico kelmarin.


BANDAR RAYA MEXICO – Sekurang-kurangnya 248 orang terkorban apabila gempa bumi kuat bermagnitud 7.1 menggegarkan Mexico kelmarin termasuk 21 kanak-kanak yang tertimbus di bawah runtuhan sebuah sekolah rendah.

Senario paling dahsyat berlaku di Sekolah Rendah Enrique Rebsamen, selatan Bandar Raya Mexico. Bangunan sekolah se­tinggi tiga tingkat itu runtuh dan mengakibatkan ramai pelajar serta guru terperangkap.

“Seramai 21 kanak-kanak dan lima orang dewasa terbunuh,” kata Datuk Bandar, Jose Luis Vergara. Beliau menyelaraskan operasi bantuan yang melibatkan beratus-ratus anggota tentera, polis, sukarelawan awam dan anjing pengesan.

Vergara berkata, terdapat antara 30 hingga 40 mangsa lain terperangkap di bawah runtuhan, manakala 11 kanak-kanak berjaya diselamatkan kelmarin.

“Pekerja-pekerja kecemasan menemui seorang guru dan pelajar yang masih hidup di dalam runtuhan itu dan cuba mengeluarkan mereka,” katanya.


REUTERS - PEKERJA kecemasan berada di lokasi sebuah bangunan runtuh di Bandar Raya Mexico semalam.


Namun, situasi di lokasi runtuhan masih lagi berbahaya. Sebahagian daripada serpihan bangunan itu runtuh lewat malam kelmarin ketika pasukan penyelamat meneruskan usaha pencarian.

Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto yang bergegas ke lokasi kejadian berkata, angka korban dijangka meningkat.

“Malangnya, ramai orang kehilangan nyawa mereka termasuk kanak-kanak yang berada di dalam sekolah, bangunan dan kediaman,” katanya dalam ucapan kepada rakyat Mexico.

Kemusnahan akibat bencana itu melibatkan kawasan luas meliputi beberapa negeri di tengah Mexico, manakala angka korban setakat awal semalam ialah 248 orang.

Selain Bandar Raya Mexico, ramai penduduk turut terkorban di Puebla, Morelos dan Guerrero, kata Menteri Dalam Negeri, Miguel Osorio Chong.

Gempa itu berlaku hanya 12 hari selepas gegaran lain yang meragut hampir 100 nyawa dan mencederakan 200 mangsa, kebanyakannya di negeri Oaxaca dan Chiapas, selatan Mexico.

– AFP

Rencana Utama!»

LOST in KL cabar adrenalin peserta

SAAT sedang cuba menyelesaikan misteri permainan, kedua-dua pengunjung ini terkejut apabila melihat kelibat hantu yang dipenuhi darah dan sedang menjerit dengan kuat.

Process time in ms: 47