INFINITI

Pencari belerang Gunung Ijen tempah maut

Pencari belerang Gunung Ijen tempah maut


Kebanyakan penduduk di Banyuwangi, Jawa Timur, Indonesia bekerja sebagai pencari belerang untuk menyara keluarga.


RATUSAN pencari belerang di kawasan Gunung Ijen di Banyuwangi, Jawa Timur, Indonesia menempuh bahaya setiap hari berikutan berisiko menghidu asap beracun.

Setiap hari pencari belerang itu akan mendaki ke puncak Gunung Ijen yang memiliki ketinggian 2,443 meter dengan hanya menyarung penutup kepala serta jaket nipis dan bersarung tangan.

Perjalanan menuju ke puncak gunung itu mengambil masa sekitar dua jam dan setelah sampai mereka akan menuruni ke kawasan kawah untuk mencari belerang tersebut.

Yatim salah seorang pencari belerang yang kebiasaannya akan memulakan pekerjaannya lebih awal daripada biasa.

Dia memilih untuk bergerak awal ke kawasan itu untuk mengelak panas tengah hari.

Tugas utamanya selama tujuh jam adalah untuk mengeluarkan belerang kuning yang terbentuk di bawah kawah gunung berapi itu.

Asap belerang yang ada di sekitar kawasan kawah itu menjadi musuh utama kepada Yatim dan pencari belerang yang lain kerana ia mampu memberi kesan kepada kesihatan mereka.

“Jika terdapat asap tebal, angin dan hujan proses untuk mengambil belerang ini begitu sukar.


Belerang dibentuk menjadi cenderamata untuk dijual kepada pelancong.


“Ia menyakitkan mata dan hidung saya. Adakalanya saya akan batuk buat seketika. Sekiranya ia menyakitkan, anda boleh muntah dan dada akan terasa sakit.

“Perkara-perkara sebegini yang membuat kerja ini menjadi sangat sukar,” jelasnya.

Yatim juga turut menggunakan topeng muka plastik bagi mencuba mengurangkan kesan menghidu asap tersebut.

Kebanyakan pelombong belerang di situ lebih gemar menggunakan kain untuk menutup mulut dan hidung mereka ketika bekerja.

Sebaik sahaja potongan belerang itu dipotong mereka akan menariknya keluar dari tanah dan kemudiannya akan dimasukkan ke dalam bakul kayu untuk diangkat ke puncak gunung.

Kebiasaannya mereka akan membawa belerang seberat 80 kilogram (kg) yang diletakkan dalam bakul itu.

“Ia amat menyakitkan terutamanya di bahagian bahu kerana bakul ini begitu berat. Jika ada tempat untuk berhenti, saya akan berehat seketika.

“Saya tidak tergesa-gesa untuk membawa belerang ini naik. Saya akan berhenti seketika hingga letih ini hilang,” jelas Yatim.


Setiap hari pekerja akan memikul belerang seberat 80kg untuk dibawa naik ke punca gunung.


Yatim berkata, kebiasaannya dia memperoleh pendapatan sekitar AS$58 (RM240) seminggu dan ia bergantung kepada berat belerang yang berjaya dibawa.

Dia bergantung kepada pekerjaan itu untuk menyara keluarganya untuk masa depan mereka yang lebih selesa.

“Saya tidak mahu anak-anak menjadi seperti saya dengan melakukan pekerjaan ini,” katanya.

Dari puncak gunung, pencari belerang itu harus menuruni gunung sekitar tiga kilometer dengan berjalan kaki untuk menjualnya kepada pemborong.

Selain itu, mereka turut membentuk belerang itu untuk dijadikan cenderamata dan kemudiannya dijual kepada pelancong yang melawat kawasan berkenaan.

Process time in ms: 31