VARIA

Keimanan kriteria dalam memilih pemimpin

Keimanan kriteria dalam memilih pemimpin


Mengundi pada pilihan hari raya menjadi tanggungjawab rakyat dalam memilih pemimpin. – Gambar hiasan


CAKAP-CAKAP mengenai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan diadakan pada akhir tahun ini atau awal tahun depan semakin kedengaran.

Pilihan raya merupakan detik penting bagi rakyat di sesebuah negara demokrasi kerana ia adalah peluang untuk memilih kerajaan dan pemimpin.

Pada umumnya pemilihan dibuat oleh pengundi berdasarkan kepercayaan terhadap kewibawaan seseorang calon untuk memimpin ke arah perubahan yang lebih baik.

Lazimnya faktor kepartian amat mempengaruhi pola pemilihan kerana di bawah sistem demokrasi, perubahan yang dijanjikan hanya boleh dilaksanakan secara berorganisasi atas nama gagasan politik.

Di Malaysia yang berbilang kaum dan agama, faktor ini juga mencorakkan penilaian.

Namun bagi orang Islam, ada lagi satu faktor yang wajib diperhitung dalam memilih calon yang akan mewakili mereka sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri atau Parlimen.

Dengan mengambil kira bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan pemimpin negara adalah orang Islam, maka faktor keimanan orang yang mahu dipilih amat perlu diambil kira.

Orang yang zahirnya Islam pada nama dan keturunan tidak semestinya beriman. Boleh jadi dia munafik atau fasik, iaitu orang yang tidak mentaati Allah.

Sifat beriman amat dituntut kepada seorang pemimpin kerana dia perlu memimpin negaranya ke arah yang diredai Allah, di dunia dan akhirat.

Allah menuntut manusia mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat. Maka jika kemajuan dunia sahaja menjadi ukuran kejayaan, itu bukanlah kejayaan di sisi Allah.

Ciri-ciri orang beriman

Bagaimana mahu menilai seseorang itu beriman? Apakah memadai sekadar melihat pada zahirnya, sama ada dia berserban, bersongkok atau berkopiah serta berjanggut dan sebagainya.

Di dalam ayat 1 hingga 9 surah al-Mukminun (orang yang beriman), Allah menggariskan sifat-sifat mereka:

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya; Dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta serta bersedekah); Dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isteri atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain daripada yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; Dan mereka yang tetap memelihara solatnya.”

Boleh disimpulkan, ciri yang pertama ialah orang yang menunaikan solat dan memelihara solatnya. Bagi mereka, solat amat penting dalam kehidupan seharian.

Bukan sahaja tidak boleh ditinggalkan, malah solat akan dipastikan sentiasa dilakukan dengan khusyuk.

Orang yang memperoleh khusyuk dalam solatnya pasti banyak mengingati Allah di luar solatnya. Dia insaf bahawa Allah bukan sahaja sentiasa melihat gerak-gerinya, malah mengetahui apa yang tersirat di dalam hatinya.

Orang yang khusyuk dalam solat sentiasa berusaha menjauhi dosa. Dia sendiri dapat menilai tahap imannya pada kekhusyukan solatnya.

Jika dia melakukan dosa walaupun kecil, dia akan berasa bersalah sehingga mengganggu kekhusyukan solatnya.

Sebab itulah mereka sangat menjaga akhlak dan tutur kata dalam kehidupan seharian bagi memelihara kekhusyukan solat.

Selain menjauhi dosa, mereka juga sangat menjaga amanah dan janji, satu hakikat yang semakin kurang dipedulikan pada hari ini.

Amanah dan janji bukan sahaja terhadap diri, tetapi juga terhadap orang lain.

Ibn Umar r.a berkata: Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: setiap orang adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang pemimpin negara akan bertanggungjawab ke atas rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri yang memelihara rumah tangga suaminya akan ditanya perihal tanggungjawab dan tugasnya. Bahkan, seorang pembantu atau pekerja rumah tangga yang bertugas memelihara barang milik majikannya juga akan ditanya mengenai apa yang dipimpinnya. Dan setiap daripada kamu adalah pemimpin yang akan ditanya atas apa yang dipimpinnya. (HR Bukhari, Muslim)

Memimpin bukanlah perkara mudah bagi orang beriman kerana dia takut tidak dapat melaksanakan amanah dan janjinya.

Sebab itulah orang yang beriman lekas menolak tawaran untuk memimpin jika dia berpendapat ada orang lain yang lebih layak daripadanya.

Malangnya pada hari ini ramai yang berebut untuk menjadi pemimpin, sehingga sanggup mengetepikan soal dosa dan pahala.

Rencana Utama!»

LOST in KL cabar adrenalin peserta

SAAT sedang cuba menyelesaikan misteri permainan, kedua-dua pengunjung ini terkejut apabila melihat kelibat hantu yang dipenuhi darah dan sedang menjerit dengan kuat.

Process time in ms: 63