PESONA

Abdillah pembuat piza terpantas Domino’s Pizza negara

Abdillah pembuat piza terpantas Domino’s Pizza negara


Kesemua 16 peserta pertandingan peringkat akhir dan barisan kepimpinan tertinggi Domino’s Pizza Malaysia bergambar bersama replika cek kemenangan.


PIZA merupakan antara makanan kegemaran ramai termasuk rakyat Malaysia. Sebagai antara peneraju francais piza di negara ini, Domino’s Pizza Malaysia berjaya mencatat pertumbuhan paling pesat di Asia Tenggara dan kelima di Asia Pasifik.

Komited untuk terus menyediakan piza berkualiti terbaik kepada penggemar makanan berasal dari negara Itali itu, Domino’s Pizza telah menganjurkan Pertandingan Pembuat Piza Terpantas 2017 bagi mengiktiraf kepakaran dan kemahiran pengurusan masa para pembuat piza Domino’s di peringkat global. Pemenang tempat pertama dan kedua di peringkat nasional akan bertanding di peringkat Asia Pasifik melibatkan 14 negara pada awal tahun depan.

Di peringkat nasional baru-baru ini, seramai 16 orang pembuat piza terpantas daripada lebih 200 cawangan seluruh Malaysia telah layak bertanding ke peringkat akhir yang diadakan di The Weld, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Pada pertandingan itu, semua peserta perlu menyediakan tiga jenis piza iaitu peperoni daging, cendawan dan keju bersaiz besar.

Tidak menjangkakan kemenangan akan berpihak kepadanya dengan catatan masa seminit 33 saat, Abdillah Abdul Shukor, 36, menyifatkan penyertaan semula dalam pertandingan tersebut selepas enam tahun bertugas di bahagian pengurusan sebagai suatu kejutan yang tidak terduga.

“Pada awalnya saya memilih untuk menyertai pertandingan ini sebagai pembakar semangat dan galakan kepada kesemua 49 cawangan di bawah jagaan saya agar mempunyai semangat juang untuk melakukan yang terbaik.


Abdillah dinobatkan sebagai juara selepas berjaya menyediakan tiga piza besar dengan kepantasan seminit 33 saat.


“Justeru, sebaik diumumkan sebagai juara, perasaan saya menjadi bercampur baur. Saya gembira kerana objektif awal penyertaan tercapai. Pada masa yang sama saya juga sedih kerana tiga orang pekerja daripada 49 cawangan di bawah jagaan saya tidak mendapat sebarang tempat dalam pertandingan hari ini,” ujar anak kelahiran Batu Pahat, Johor yang kini merupakan salah seorang Pengurus Operasi Negara Domino’s Pizza Malaysia sejak enam tahun lalu.

Berkongsi kejutan yang sama ialah Fadzwanli Mohd., 24, atau terkenal dengan nama gelaran Wan Speedy Jantan dalam kalangan teman-teman di Domino’s Pizza cawangan Kota Laksamana, Melaka yang berjaya menyediakan tiga piza besar dalam tempoh seminit 36 saat.

“Saya tidak sangka dapat mara sehingga ke tahap ini, apatah lagi untuk pulang dengan tempat kedua dalam pertandingan yang disertai ramai peserta handal daripada seluruh negara seterusnya mewakili negara ke pertandingan peringkat antarabangsa tidak lama lagi,” katanya yang telah berkhidmat sebagai pembuat piza sejak hampir tujuh tahun lalu itu.

Wadah

Sepanjang tempoh itu, Fadzwanli mengakui dia paling suka menyediakan piza peperoni daging kerana ia lebih mudah dan cepat untuk disediakan.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Operasi Domino’s Pizza Malaysia dan Singapura, Shamsul Amree Abdul Rahman memberitahu, pertandingan yang diadakan dua tahun sekali sejak 1998 itu merupakan wadah untuk menyerlahkan bakat pembuat piza Domino’s yang lazimnya hanya bekerja di belakang tabir menyediakan piza kualiti terbaik kepada pelanggan.

“Semua pembuat piza kami mesti menguasai dua kemahiran utama iaitu kepantasan dan kualiti agar ia mampu mencapai standard Domino’s bermula daripada proses menguli doh dengan tangan lagi.

“Dalam pertandingan kepantasan ini, mereka dinilai berdasarkan tiga elemen utama iaitu doh dan sos, kadar ramuan dan susunan toping,” katanya.

Process time in ms: 31