PESONA

Haiwan rangsang emosi, koordinasi tubuh

Haiwan rangsang emosi, koordinasi tubuh

MENUNGGANG haiwan besar seperti kuda dapat membantu kanak-kanak istimewa mengawal postur tubuh dan meningkatkan motivasi mereka. – Gambar hiasan


DARI jauh, sepasang telinga arnab berwarna keperangan itu kelihatan bergerak-gerak. Kepalanya melingas ke kiri dan kanan sebelum menyusup masuk ke dalam sebuah terowong mainan.

Langkah si bulu baldu bernama Peter itu diekori seorang kanak-kanak lelaki yang turut merangkak memasuki ruang tersebut. Ia ternyata tidak kekok apabila didekati manusia.

Kanak-kanak yang hanya ingin dikenali sebagai Yong, 3, itu sebenarnya merupakan anak autisme.

Dia sebelum ini mempunyai masalah untuk memberi tumpuan, tidak menyahut apabila dipanggil, tiada hubungan mata dan turut melalui fasa meragam yang sukar dikawal.

Namun, selepas dihantar ke pusat intervensi awal kanak-kanak yang dikenali sebagai Animals For Young, keadaannya kian menunjukkan perubahan positif.

Tidak keterlaluan jika dikatakan haiwan adalah satu-satu makhluk yang dapat menenangkan dan menarik perhatian kanak-kanak itu.

Dalam hal ini, haiwan bersifat mesra seperti Peter berperanan sebagai ‘ahli terapi sosial’ di pusat yang beroperasi di premis persendirian setinggi tiga tingkat di Garden Residences, Cyberjaya, Selangor itu.

Pengasasnya, Dr. E.J. Khew menjelaskan, Animals For Young menggunakan modul Animal Assisted Theraphy (AAT) yang merupakan satu kaedah terapi menggunakan haiwan untuk memulih dan merangsang pembangunan fizikal, mental, emosi serta kemahiran sosial kanak-kanak.

“Di sini, kami mempunyai misi membantu kanak-kanak istimewa yang menghidap autisme, sindrom Down, masalah gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD), palsi selebrum, disleksia, kesukaran dalam pembelajaran dan masalah pertuturan.

“Ia bukan sahaja terhad kepada proses meningkatkan prestasi pergerakan, kekuatan, keseimbangan fizikal dan merangsang deria tetapi berusaha memberi faedah psikososial seperti membina hubungan, meningkatkan harga diri, motivasi serta mengurangkan tekanan mereka.

“Dalam hal ini, kami melihat bagaimana haiwan boleh mengubah atau memperbaiki kehidupan manusia ke arah yang lebih baik,” ujar pencinta haiwan itu kepada Kosmo! ketika di temui di Cyberjaya baru-baru ini.

Bidang zoologi

Beliau yang merupakan pengasas kafe kucing pertama di negara ini sehingga pernah diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR) pada tahun 2014 turut mempunyai latar belakang dalam bidang zoologi menjurus kepada kajian tingkah laku haiwan.

Katanya, modul dan pemilihan haiwan disesuaikan bergantung kepada keadaan individu kerana setiap kanak-kanak istimewa biarpun mempunyai klasifikasi kes yang sama, karakter setiap orang adalah unik dan tidak serupa antara satu sama lain.

“Sebagai contoh, anak autisme mempunyai cabaran dan spektrum isu yang pelbagai. Tidak semestinya, pendekatan yang digunakan kepada individu A boleh diaplikasi ke atas individu B.

“Dalam hal ini, jika kanak-kanak itu merupakan seorang yang hiperaktif, haiwan bersifat aktif dan lincah tidak sesuai untuk mereka. Justeru, penilaian awal amat penting dalam merangka dan merancang kaedah pemulihan untuk mereka,”ujarnya.

Pusat itu menerima kemasukan lima orang kanak-kanak sejak beroperasi bulan lalu. Ada antara mereka yang dihantar secara harian dari pukul 8 pagi hingga 6 petang. Ada juga yang menjalani modul terapi seminggu sekali.

Dalam hal ini, pusat itu mempunyai lebih 20 spesies haiwan seperti pelbagai jenis ikan, kucing, landak, katak, hamster dan cicak jenis bearded dragon.

Haiwan kecil

Khew berkata, haiwan yang digunakan kebanyakannya bersaiz kecil dan mudah dikendalikan kanak-kanak.

Ia juga mempunyai sifat yang tidak ganas dan senang bergaul dengan individu yang baru dikenali.

“Kucing yang terdapat di sini mempunyai karakter manja dan suka bersosial dengan manusia. Ia akan menggolekkan tubuhnya untuk menarik perhatian dan suka jika bulunya digosok serta dibelai.

“Sifat seperti ini penting untuk menggalakkan interaksi dua hala kerana kanak-kanak istimewa sukar bergaul.

“Saya perhatikan, kanak-kanak akan lebih terbuka untuk berbual selain kehadiran haiwan menjadikan proses bermain mereka lebih bermakna,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai haiwan tersebut, sepasang landak bernama Ms. White dan Mr. Brown memainkan peranan sebagai ahli terapi deria.

Menerusi sentuhan, anak-anak istimewa akan lebih peka terhadap permukaan yang berbeza, sekali gus meningkatkan deria rasa mereka.

Ia adalah alternatif kepada terapi audiovisual dan cahaya lampu yang lazimnya diguna pakai bagi memberi rangsangan terhadap sensor primer pada penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau serta sensor internal seperti sendi dan sistem vestibular (kawalan pergerakan tubuh).

“Saya sebenarnya turut mempunyai rakan kongsi yang mengusahakan ladang burung unta di Port Dickson, Negeri Sembilan. Ladang itu turut memelihara keldai dan angsa yang jinak.

“Kesemua haiwan itu turut terlibat dalam modul AAT. Kami juga bekerjasama dengan pihak pengurusan sekolah dan tadika kanak-kanak istimewa untuk tujuan tersebut,” katanya.

Sementara itu, jurupulih cara kerja di Animals For Young, Shazini Ahmad berkata, selain terapi permainan, penggunaan haiwan hidup menjadikan proses pembelajaran lebih menarik dengan tindak balas spontan.

“Ia dapat dilihat daripada aktiviti seperti memberi haiwan makan menggunakan penyepit kecil di samping mengusap atau membelainya. Ia dapat membantu meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak.

“Selain itu, hidupan air seperti ikan hiasan dapat membantu kanak-kanak lebih fokus dan bertenang. Mereka juga belajar supaya lebih bertanggungjawab, bersabar dan menyayangi makhluk ciptaan Tuhan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi petugas, Yong Har Leng, yang mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam pendidikan awal kanak-kanak berkata, mereka turut diajar asas mengira dan perbendaharaan kata.

“Ia penting supaya mereka memahami apa yang ingin diperkatakan, sekali gus memudahkan proses penyampaian atau penerimaan sesuatu mesej serta maklumat kepada mereka.

“Saya sendiri juga belajar sesuatu daripada kanak-kanak ini. Suatu masa dahulu, masyarakat kurang peka mengenai kesulitan yang dihadapi golongan ini,” ujar wanita berusia 67 tahun itu.

Process time in ms: 47