VARIA

Berbangga menjadi rakyat Malaysia

Berbangga menjadi rakyat Malaysia

Rakyat Malaysia perlu mengekalkan perpaduan dan keharmonian sesama bangsa demi masa depan generasi akan datang. Gambar hiasan


TAHUN ini genap 60 tahun negara kita mencapai kemerdekaan. Ini bermakna, sudah 60 tahun negara kita bebas daripada belenggu penjajah.

Sejak tahun keramat 1957 ini, kerajaan mula memerintah dan rakyat bebas untuk mencorakkan negara ini mengikut acuan sendiri tanpa perlu meminta kebenaran daripada mana-mana pihak sepertimana yang pernah dilakukan sebelum mencapai kemerdekaan.

Kebebasan memerintah dan membuat keputusan untuk kebaikan rakyat serta negara ini merupakan satu kenikmatan yang wajar disyukuri.

Dengan kebijaksanaan kerajaan yang memerintah sejak negara mencapai kemerdekaan, Malaysia telah berjaya muncul sebagai sebuah negara yang maju dan membangun, sekali gus mendahului beberapa buah negara lain yang mencapai kemerdekaan pada tahun yang sama.

Segala kemajuan dan pembangunan yang dikecapi bukan datang bergolek. Semuanya terhasil daripada pengorbanan dan komitmen pelbagai pihak terutamanya kerajaan yang memerintah serta sokongan padu rakyat kepada kerajaan untuk memastikan segala perancangan direalisasikan sepertimana yang dilihat pada hari ini.

Justeru, sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya bersyukur dan berbangga menjadi rakyat di negara ini.

Ini kerana kita dapat menjalani kehidupan seharian dengan penuh ketenangan, keharmonian dan kedamaian tanpa menghadapi sebarang masalah sama ada keselamatan serta kesihatan.

Sepertimana yang dinyatakan, semua ini berlaku di atas usaha dan komitmen daripada pelbagai pihak sama ada kerajaan serta rakyat untuk memastikan kemajuan, pembangunan serta keharmonian negara dapat dicapai, sekali gus dikekalkan seperti yang dinikmati pada hari ini.

Tanpa kerjasama dan komitmen semua, negara ini pasti menghadapi nasib yang sama sepertimana yang dapat dilihat di beberapa buah negara di dunia walaupun mereka mencapai kemerdekaan lebih awal daripada Malaysia.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia perlu sedar bahawa segala kemajuan, pembangunan dan keharmonian yang dibina selama 60 tahun ini akan lenyap dengan sekelip mata.

Ia akan berlaku jika kerajaan dan rakyat leka serta alpa dengan tindakan atau usaha jahat sama ada daripada dalam atau luar negara yang mahu melihat Malaysia hancur dan rosak seperti yang berlaku di beberapa buah negara di dunia.

Untuk mengelak situasi seperti ini daripada berlaku, rakyat Malaysia perlu menyemai perasaan rasa bangga dan bermegah menjadi rakyat di negara ini.

Perasaan itu mampu menjadi benteng utama daripada diceroboh oleh semua pihak yang berniat jahat. Tiga sebab utama mengapa kita perlu berbangga sebagai rakyat Malaysia ialah:-

Malaysia sebuah negara yang teristimewa

Tidak ada sebuah negara pun yang lebih istimewa daripada Malaysia. Kenyataan ini bukan dibuat berdasarkan kepada mimpi tetapi ia berpandukan pengalaman penulis sendiri yang telah merantau dan menjejakkan kaki ke lebih daripada 20 buah negara di dunia.

Tidak ada sebuah negara pun yang lebih istimewa daripada Malaysia. Sekadar dijadikan contoh, warga emas di negara ini tidak perlu risau untuk mendapatkan rawatan kerana Klinik 1Malaysia hanya memerlukan RM1 bagi membolehkan mereka mendapatkan rawatan itu.

Begitu juga dengan pendidikan iaitu setiap rakyat Malaysia tidak perlu risau untuk melanjutkan pengajian setinggi mana pun kerana bantuan kewangan akan disediakan oleh pihak kerajaan melalui pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.

Justeru, amat beruntunglah menjadi rakyat Malaysia dengan segala kemudahan dan nikmat yang disediakan untuk kemudahan semua. Janganlah kita terlalu mudah untuk percaya kepada cerita-cerita indah yang kononnya berlaku di negara lain kerana mereka yang menceritakan keindahan itu seringkali tidak pernah tinggal atau pergi ke negara yang terlibat.

Malaysia negara contoh

Kejayaan negara mengekalkan dan mengurus pelbagai kaum selama 60 tahun dalam keadaan harmoni serta damai amat dikagumi oleh ramai pihak di dunia. Kehebatan pihak kerajaan dan rakyat memastikan keharmonian negara seharusnya menjadi kebanggaan rakyat di negara ini.

Selain itu, kejayaan negara mengurus dan mengendalikan pelbagai projek mega yang menjadi ikutan pelbagai negara di dunia ini juga harus dibanggakan seperti projek Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan, Lebuh Raya Utara-Selatan dan tidak ketinggalan Tabung Haji yang menguruskan puluhan ribu jemaah setiap tahun secara sistematik.

Sewajarnya, kita sebagai rakyat Malaysia patut berbangga apabila negara ini dijadikan contoh oleh banyak negara di dunia ini dalam pelbagai aspek.

Malaysia negara toleransi

Rakyat di negara ini juga patut berasa bangga menjadi warganegara Malaysia kerana sikap toleransi yang diamalkan tanpa mengira fahaman agama dan ideologi. Setiap ahli masyarakat bebas melakukan apa yang dituntut oleh budaya dan agama masing-masing selagi mana ia tidak bercanggah dengan undang-undang negara serta mengganggu keselamatan dan keselesaan orang lain.

Masyarakat perlu sedar tidak semua negara di dunia mempunyai sikap toleransi seperti yang diamalkan oleh negara yang bertuah ini. Justeru, sayangi dan cintailah negara bertuah ini.

Kesimpulannya, menzahirkan kesyukuran adalah menjadi satu kewajipan kepada semua rakyat di negara ini. Pelbagai kaedah dan cara boleh dilakukan untuk menzahirkan rasa kesyukuran itu.

Mengekalkan perpaduan dan keharmonian sesama bangsa serta agama merupakan salah satu daripada tiang seri yang perlu diberikan perhatian serius.

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Selagi mana perpaduan dan keharmonian dapat dipelihara serta dikekalkan sesama bangsa serta agama di negara ini, selagi itulah keharmonian dan kedamaian dapat dikekalkan

Ini kerana tidak mungkin musuh negara mampu melakukan sebarang perkara yang buruk di negara ini. Negaraku sehati sejiwa.

Process time in ms: 32