SUKAN

Klopp pertahan rayuan penggantungan Mane

Klopp pertahan rayuan penggantungan Mane


MANE ditenangkan oleh Mohamed Salah selepas dilayangkan kad merah pada perlawanan antara Manchester City dan Liverpool di Stadium Etihad minggu lalu.


LIVERPOOL – Jurgen Klopp mempertahankan keputusan Liverpool untuk mengemukakan rayuan terhadap penggantu­ngan Sadio Mane atas insiden kad merah ketika menentang Manchester City pada Sabtu lalu.

Pun begitu, Klopp mendedahkan, beliau sebenarnya tidak terkejut dengan keputusan Persatuan Bola Sepak England (FA) bertindak memberikan hukuman penggantungan tiga perlawanan itu.

Mane diarahkan keluar padang pada minit ke-37 apabila kaki penye­rang Senegal itu bertembung dengan muka penjaga gol City, Ederson Moraes dalam kekalahan 0-5 The Reds kepada City.

Klopp dan rakan sejawatnya, Pep Guardiola masing-masing melahirkan rasa simpati terhadap Mane dan bekas pemain Southampton itu sudah melakukan permohonan maaf secara terbuka kepada Moraes di laman sosial dengan menyifatkan kejadian itu tidak disengajakan.

“Saya tidak pasti jika saya kecewa, saya tidak menjangkakan apa-apa perbezaan. Saya fikir permohonan rayuan kami adalah langkah tepat.

“Kami tidak pernah membuat rayuan untuk kad merah tetapi rayuan tersebut berhubung tempoh penggantungan perlawanan sahaja. Bagaimanapun, saya tidak fikir ia akan berlaku kerana saya sudah biasa dengan perkara-perkara sebegini,” kata Klopp.

Tambah Klopp, ia bukan me­ngenai situasi di England semata-mata, namun banyak situasi yang sama berlaku dalam liga ini sejak beberapa minggu ini.

“Jika kamu lihat, ramai pemain lain agak bertuah. Hanya Mane yang malang dan Moraes tidak bernasib baik.

“Kami tidak mahu memandang rendah dalam hal ini, ia agak teruk dan Moraes sangat beruntung kerana tiada kecederaan serius berlaku dalam situasi tersebut,” ujar Klopp.– Agensi

Process time in ms: 31