SUKAN

Cabaran sengit skuad olahraga

Cabaran sengit skuad olahraga


JAGANATHAN (dua dari kanan) bersama skuad olahraga para optimis mampu raih sasaran 40 pingat emas biarpun sedar cabaran sengit daripada Thailand, Indonesia dan Vietnam.


KETUA jurulatih skuad olahraga para negara, R. Jaganathan mendedahkan, barisan atletnya bakal berdepan cabaran sengit daripada tiga negara Asia Tenggara pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bermula 17 hingga 23 September ini.

Jaganathan mengakui Thailand dan Indonesia sentiasa menjadi pencabar utama buat Malaysia, namun kini mereka perlu berwaspada dengan ancaman Vietnam yang muncul kuasa baharu selepas mempamerkan peningkatan mendadak sejak kebelakangan ini.

“Kita selalu mendapat No. 3 di belakang Thailand dan Indonesia tetapi sekarang ada pencabar baharu iaitu Vietnam. Kemajuan mereka meningkat dengan cepat.

“Malah, mereka turut berlatih di luar negara iaitu di China. Atlet-atlet Thailand berlatih sepenuh masa dan Indonesia pula semuanya berlatih di Solo. Ia menyaksikan peningkatan mereka mendadak dengan cepat.

“Sebagai contoh, saya membawa lima atlet ke Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 (di London). Saya terkejut kerana 26 atlet Thailand layak ke kejohanan itu,” katanya sewaktu sesi latihan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil kelmarin.

Begitupun, Jaganathan tetap optimis anak-anak buahnya mempunyai kemampuan untuk mencapai sasaran 40 pingat emas pada edisi ke­sembilan ini, sekali gus menjadi pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan Malaysia dalam temasya tersebut.

“Standard para sekarang tidak seperti dahulu, makin meningkat setiap tahun. Semua tidak ambil sambil lewa kerana membawa nama negara ma­sing-masing.

“Begitupun, berdasarkan statistik di Singapura (Sukan Para ASEAN 2015) dengan bantuan 25 jurulatih, saya ya­kin kita boleh mencapai sasaran 40 pingat emas itu,” jelasnya.

Skuad negara akan mengambil bahagian dalam 98 daripada 133 acara olahraga yang akan dipertandingkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil dari 18 hingga 22 September ini.

Antara yang menjadi pertaruhan skuad negara tentunya pemenang pingat emas 100 meter (m) T36 (cerebral palsy) Sukan Paralimpik 2016, Mohamad Ridzuan Moha­mad Puzi yang akan berentap dalam tiga acara iaitu 100m, 200m dan 400m.

Tidak ketinggalan ialah pemenang pingat gangsa lontar peluru Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) baru-baru ini iaitu Muhammad Ziyad Zolkefli yang turut memenangi pingat emas Sukan Paralimpik 2016 kategori T20 (masalah pembelajaran).

Seorang lagi pemenang pi­ngat emas Sukan Paralimpik 2016 iaitu Abdul Latif Romly juga mengambil bahagian dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) pada Sukan Para ASEAN minggu depan.

Process time in ms: 31