SUKAN

‘Usah pandang mudah Myanmar’

‘Usah pandang mudah Myanmar’


HODAK


JURULATIH skuad bawah 18 tahun (B-18) negara, Bojan Hodak menggesa barisan pemain agar melupakan prestasi ce­merlang apabila muncul juara Kumpulan A dengan memberikan fokus sepenuh­nya kepada Myanmar dalam aksi separuh akhir Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-18 di Yangon, Myanmar esok.

Semalam, Indonesia mengesahkan tiket ke separuh akhir setelah membelasah Brunei 8-0 sebagai pendahulu Kumpulan B, manakala mengiringi kejayaan mereka adalah pasukan tuan rumah, Myanmar yang menewas­kan Vietnam 2-1 di Stadium Thuwunna.

Perjalanan skuad negara pula mempamerkan prestasi cemerlang apabila merekodkan lima per­lawanan tanpa kalah, sekali gus berkongsi 13 mata dengan pencabar terdekat, Thailand.

Namun, apa yang membimbangkan Hodak adalah sikap men­dabik dada anak-anak buah­nya bakal me­ngundang impak buruk jika skuad remaja meman­dang rendah saingan Myanmar.

Justeru, beliau memberi amaran kepada para pemain sentiasa se­rius dan menuntut komitmen sepanjang 90 minit agar ti­dak me­la­kukan kesilapan mudah yang me­rugikan kem negara apatah lagi bertemu pasukan tuan rumah yang memiliki kele­bihan bermain di laman sendiri.

“Myanmar salah sebuah pasukan yang bermain cukup baik di sini (Yangon). Mereka telah membuat persiapan sebagai pasukan tuan rumah kejohanan lebih enam bulan dan bersedia dari sudut fizi­kal selain memiliki pemain-pemain terbaik di setiap posisi.

“Jadi, ia akan menjadi satu perlawanan sukar buat kami dan saya berharap para pemain akan terus kekal fokus. Lupakan kejayaan lalu (muncul sebagai pendahulu Kumpulan A) dengan memberikan perhatian serius kepada Myanmar.

“Ini kerana ia bukan menjadi satu tugas yang mudah menentang pasukan tuan rumah, sudah pasti mereka memiliki sokong­an daripada para peminat. Bagai­ma­napun, kami akan berusaha keras untuk mencatatkan keputusan positif,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Yangon, semalam.

Dalam perkembangan sama, Ho­dak tidak menganggap pertembungan dengan Myanmar akan menjadi aksi penuh dramatik selepas menilai persembahan anak-anak buahnya me­nentang Singapura dan Thailand.

“Saya percaya perlawanan ini akan menyaksikan pertemuan yang sihat dan sengit. Pada aksi menentang Singapura dan Thailand, para pemain beraksi de­ngan baik.

“Jadi, saya percaya perlawanan separuh akhir AFF B-18 ini berjalan dengan penuh semangat kesukanan dan tiada sebarang in­siden tidak diingini berlaku,” ujarnya.

Process time in ms: 31