SUKAN

‘Bukan tugasan mudah buat JDT’

‘Bukan tugasan mudah buat JDT’

MORAIS (tengah) tidak mahu para pemain JDT memandang mudah aksi menentang Melaka United pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat esok.- FOTO FACEBOOK JOHOR SOUTHERN TIGERS


SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) enggan memandang mudah tentangan Melaka United dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia 2017 di Stadium Hang Jebat, Melaka esok.

Ketua jurulatihnya, Ulisses Morais berkata, semua perlawanan adalah penting buat skuad Harimau Selatan dalam usaha melakar sejarah me­rangkul Piala Malaysia selepas misi mengungguli Liga Super buat kali keempat berturut-turut tercapai.

“Kami tidak menjangka perlawanan menentang Me­laka United nanti merupakan tugasan yang mudah. Seperti sedia maklum, setiap pasukan yang menentang kami akan melakukan sehabis baik untuk mengalahkan JDT.

“Apa yang penting ialah kita cuba memperoleh gol pendahuluan dan berusaha memastikan JDT ti­dak bolos.

“Pada masa sama, saya juga tidak mahu pemain hilang fo­kus dengan kejayaan yang dikecapi sebelum ini dan berharap mereka dapat menterjemahkan kesunggu­han dalam setiap perla­wanan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Johor Bahru semalam.

Saingan Piala Malaysia menyaksikan JDT sebagai pendahulu Kumpulan D dijadualkan berdepan Melaka United pada suku akhir pertama di Stadium Hang Jebat esok sebelum menanti kunjungan skuad Sang Kancil yang berada di tempat kedua Kumpulan C di Larkin pada 24 September ini.

Mengulas mengenai pemain yang akan beraksi esok, Morais memberitahu, pemilihan pemain dilakukan mengikut tahap kesediaan dan prestasi mereka untuk menghadapi perlawanan tersebut.

“Pemain yang menunjukkan prestasi terbaik akan bermain Jumaat ini. Buat masa sekarang pemain yang mengalami kecederaan ialah Marcos Antonio.

“Bagaimanapun, kami ti­dak risau kerana mempu­nyai ramai pemain pilihan lain yang mampu beraksi nanti,” katanya.

Process time in ms: 31