HORIZON

X Park kini di Bandar Sri Sendayan

X Park kini di Bandar Sri Sendayan


PERMAINAN go-kart merupakan salah satu tarikan utama di X Park BSS.


PUSAT aktiviti keluarga dan sukan lasak terkemuka negara, Extreme Park (X Park) melebarkan sayapnya ke Bandar Sri Sendayan (BSS), Negeri Sembilan.

Mula dibuka secara rasmi pada hujung tahun lalu, X Park BSS masih mengekalkan ciri-ciri X Park yang terdapat di tempat lain.

Sebelum ini, X Park beroperasi di Sunway South Quay dan Sunway Lagoon di Selangor, Sunway City Ipoh (Perak) serta Port Dickson (Negeri Sembilan).

Pengurus X Park BSS, Joshua Singham, 32, berkata, pihaknya sangat berbangga kerana dapat membuka sebuah lagi cawangan X Park di negara ini.

Jelasnya, pusat itu merupakan cawangan kedua jenama tersebut di Negeri Sembilan selepas mendapat sambutan yang menggalakkan di X Park Port Dickson.

“X Park BSS masih mempertaruhkan kemudahan aktiviti rekreasi yang sesuai buat semua lapisan masyarakat. Kami juga mempunyai kemudahan buat penggemar sukan lasak.


PERMAINAN ATV bakal ditawarkan oleh X Park kepada pengunjung tidak lama lagi.


“Buat masa ini, hanya empat aktiviti rekreasi telah beroperasi di sini iaitu golf, badminton, futsal dan go-kart,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di X Park BSS baru-baru ini.

Menurut Joshua, X Park seluas 13 hektar itu dijangka dilengkapi dengan 18 jenis aktiviti rekreasi termasuk sukan lasak.

Dalam masa terdekat, pihaknya bakal membuka beberapa lagi kemudahan seperti trek basikal BMX, motocross, all-terrain vehicle (ATV) dan mendaki tebing batu (rock climbing).

“Apabila dibuka secara rasmi pada awal tahun depan, kami akan menjadi salah satu pusat aktiviti sukan terbesar di Negeri Sembilan.

“Dengan adanya pusat rekreasi ini, kami berharap ia dapat menjadi pendorong kepada masyarakat sekitar untuk aktif bersukan,” katanya.

Mengulas mengenai kemudahan sedia ada ketika ini, Joshua memaklumkan, pihaknya menyediakan lapangan sasar (driving range) yang boleh memuatkan sehingga 80 orang pemain pada satu-satu masa.

Tambahnya, X Park BSS turut mempunyai 10 gelanggang badminton, enam gelanggang futsal yang dilengkapi rumput tiruan dan trek go-kart sepanjang 650 meter.

“Di sini juga menempatkan Akademi Badminton Zakri Latif dan asrama untuk para pelatihnya. Kami juga menyediakan kafeteria, ruang parkir dan tandas untuk kemudahan pelawat,” katanya.

Process time in ms: 31