HIBURAN

Obsesi, keprihatinan Aizat Amdan

Obsesi, keprihatinan Aizat Amdan



Menyebut sepotong nama penyanyi berbakat besar, Aizat Amdan pasti terlintas untaian lagu popularnya suatu ketika dahulu seperti Hanya Engkau Yang Mampu, Lagu Kita dan Sahabat yang masih kembang mekar dalam ingatan peminat sehingga hari ini.

Ironi, sebelum diterima mesra dalam dakapan industri muzik tempatan, harapan Aizat pernah tersungkur dan ramai turut kecewa apabila lelaki yang kini berusia 28 tahun itu tersingkir sebelum sampai ke final program realiti popular, Akademi Fantasia musim kelima (AF5) sekitar tahun 2007.

Ketika itu, berat badannya mencecah 112 kilogram (kg) dan ramai berpendapat penyingkiran pada minggu ketujuh disebabkan saiz fizikalnya.

Setelah tamat program tersebut, Aizat membuktikan kepada peminat dunia hiburan dia berhak untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pelaku muzik lain asalkan semangat juang dan keyakinannya terhadap pilihan muzik yang dibawa tidak padam, apatah lagi disusuli kerja keras.

Komitmen

Tidak lagi menoleh belakang, Aizat kini antara bintang kelahiran AF yang paling menyerlah. Dia bukan sahaja seorang penyanyi, bahkan pencipta lagu dan selebriti yang sentiasa prihatin dengan keadaan serta individu sekeliling.

Sengaja persoalan mengapa dirinya tidak bertanding dengan program AF Megastar diutarakan, kata Aizat, dia ingin memberi fokus kepada perjalanan kerjayanya yang kini sudah bertukar bumbung ke syarikat rakaman baharu, Warner Music.

“Saya kini bernaung bawah Warner Music. Jadi sudah ada perancangan untuk hadir dengan single baharu dan album studio tidak lama lagi. Ramai yang bertanya mengapa saya tiada dalam AF Megastar, jawapannya mudah, saya tiada masa untuk memberikan komitmen.

“Seperkara lagi, saya rasa persaingan dalam industri pun sudah cukup kuat. Untuk bertanding dengan rakan-rakan lain dalam program tersebut, mungkin bukan untuk saya,” ujar pelantun lagu Sungai Lui itu.

Aizat bagaimanapun memuji kualiti program yang bersiaran secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (135) pada setiap hari Ahad pukul 9 malam tersebut.

“Saya menonton konsert minggu pertama tempoh hari dan sangat terpegun dengan kualiti susunan muzik, pencahayaan dan tentunya persembahan rakan-rakan yang terlibat.

“Kalau tanya siapa peserta yang menjadi kegemaran saya, semestinya Bob. Vokal Bob memang hebat. Bagi saya, dia perlukan sebuah lagu berhantu untuk menyerlah dalam industri. Kalau ada rezeki saya ingin bekerja dengannya,” luah pemenang Persembahan Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 2009 itu bangga.


Jika sebelum ini Aizat bersama dengan syarikat pengurusan dan rakaman milik keluarga Kasi Gegar Entertainment, kini penyanyi kelahiran AF5 itu berpindah bumbung pengurusan dan menjadi artis naungan Warner Music Malaysia.


Vlog

Diajak berbicara mengenai perkembangan seni terbaharunya, baru-baru ini Aizat selesai melancarkan klip video single Jangan Menangis. Mengakui pasaran seni tanah air agak lembap sejak kebelakangan ini, Aizat bagaimanapun ingin sentiasa mencuba sesuatu yang baharu dalam kariernya.

Sehubungan itu, dia kini aktif dalam dunia vlogging (blog video) bersama abangnya, Amar Amdan. Ujar Aizat, dia akan berkongsi dengan lebih dekat bersama peminat mengenai kehidupannya menerusi medium tersebut.

“Saya mula vlogging sejak dua tahun lepas, namun sudah berhenti selama setahun disebabkan kekangan tertentu. Jadi, sekarang saya ingin aktif semula dan mempromosikan diri bukan sahaja berkaitan muzik di laman YouTube, @officialAizatAmdan.

“Kalau dahulu saya rakam video menggunakan kamera Cannon G7X, sekarang saya rakam video dengan kamera yang lebih baik iaitu Sony A65V. Apa yang akan saya buat adalah rakam sahaja apa yang saya mahu. Bab suntingan diserahkan kepada Amar,” ujarnya yang mendedahkan sebanyak empat vlog akan dimuat naik setiap sebulan.

Dijentik soalan sama ada dia akan berkongsi tentang wanita istimewa dalam ‘misi’ vlog tersebut, Aizat tersipu malu dan tidak menafikan perkara tersebut.

“Itu antara salah satu kandungan yang sedang dibincangkan. Saya bersikap terbuka untuk berkongsi dengan orang ramai tentang hal peribadi. Insya-Allah,” jelasnya ringkas.

Prihatin

Berkongsi lanjut, Aizat mengakui masih aktif dengan pergerakan kemanusiaan One Moment For Them. Baru-baru ini, dia bersama rakan artis lain seperti Faizal Tahir, Mizz Nina, Noh Hujan dan Mu’adz Dzulkefly sempat mengunjungi wad sakit mental di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Katanya, idea untuk singgah ke lokasi tersebut tercetus setelah memikirkan semakin ramai masyarakat hari ini termasuk rakan-rakan terdekatnya mengalami tekanan perasaan.

“Masyarakat mudah berkata, orang yang mempunyai masalah mental tidak kuat iman dan tidak percaya kepada Tuhan. Sebenarnya, banyak perkara yang mereka tidak tahu. Masalah ini melibatkan penyakit otak dan perlukan keprihatinan ramai.

“Pertama kali saya masuk ke wad sakit mental dan bertemu dengan ramai pesakit, ada yang tidak nampak langsung mereka sedang menderita, namun sebenarnya mereka sangat memerlukan pertolongan,” ujar Aizat.

Aizat juga semakin sedar bahawa masalah mental bukan suatu perkara yang harus dipandang mudah kerana bukan sahaja di Malaysia, bahkan masalah berkenaan sedang berleluasa di seluruh dunia.

“Saya sangat terkesan apabila melihat satu persembahan pada majlis Video Music Awards baru-baru ini daripada seorang penyanyi rap bernama Logic. Dia menggunakan kuasa muzik untuk menyeru orang ramai supaya sedar bahawa masalah mental boleh dikawal menggunakan medium yang sebenar.

“Sebagai seorang selebriti, tugas kami lebih besar daripada sekadar menyanyi di atas pentas. Kami juga boleh mengubah dunia menggunakan ‘suara’ atas nama seni dan muzik,” ungkapnya.

Process time in ms: 47