DUNIA

‘Saya Presiden untuk semua’ - Halimah

‘Saya Presiden untuk semua’ - Halimah

HALIMAH melambai tangan kepada penyokongnya selepas diisytiharkan sebagai Presiden Singapura semalam. Beliau ditemani suaminya, Mohammed Abdullah Alhabshee (tiga dari kiri). - REUTERS


SINGAPURA – Halimah Yacob yang merupakan bekas ahli Parlimen parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) selama hampir 20 tahun dinamakan sebagai Presiden Singapura semalam.

Beliau mencipta sejarah sebagai wanita pertama menjawat jawatan tersebut.

Halimah, 63, yang merupakan bekas speaker Parlimen berbangsa Melayu, tidak perlu bertanding dalam pilihan raya Presiden pada bulan ini selepas pihak berkuasa memutuskan bahawa empat pesaingnya tidak memenuhi syarat ketat sebagai calon.

Dalam ucapan di hadapan penyokongnya semalam, beliau cuba meredakan kesangsian orang ramai berhubung proses pemilihan tersebut.

“Saya ialah Presiden untuk semua. Walaupun tanpa pilihan raya, komitmen saya kepada anda semua (rakyat Singapura) adalah tidak berbelah bahagi,” katanya.

Pihak berkuasa memutuskan supaya calon-calon daripada masyarakat Melayu tampil bertanding untuk jawatan Presiden Singapura kali ini dalam usaha memupuk keharmonian di pulau berpopulasi 5.5 juta orang itu yang didominasi etnik Cina.

Presiden Singapura mempunyai kuasa terhad termasuk kuasa veto untuk menolak pelantikan pegawai tinggi kerajaan dan melindungi rizab negara tetapi memainkan peranan penting sebagai simbol penyatuan. – AFP

Process time in ms: 47