INFINITI

Pupuk budaya kreatif dalam kalangan pelajar

Pupuk budaya kreatif dalam kalangan pelajar



“DENGAN hanya menggunakan straw, ahli kumpulan kami perlu bekerjasama antara satu sama lain untuk menyiapkan replika pelantar minyak.

“Pada mulanya agak sukar untuk kami mencipta replika pelantar minyak menggunakan straw ini tetapi hasil kerjasama dan idea yang dikongsi bersama ahli kumpulan lain, kami berjaya melaksanakan tugas ini,” jelas Mohamad Aiman Zachery, 16.

Menurut anak kelahiran Sabah itu, apa yang penting dalam pembinaan replika pelantar minyak tersebut ialah ia perlu mempunyai kestabilan yang baik.

Jelasnya, sebelum menyiapkan replika itu, dia bersama ahli kumpulan yang lain berbincang terlebih dahulu tentang bentuk model yang hendak dilakukan.

“Kami melakukan kajian di internet dan kemudiannya melakar bentuk di atas kertas terlebih dahulu sebelum membinanya,” jelas pelajar Sekolah Menengah Teknik (SMT) Kuala Lumpur di Cheras itu baru-baru ini.

Bakat

Program yang dinamakan sebagai Minggu Inovasi itu telah disertai oleh pelajar-pelajar tingkatan empat.

Pelajar diberi peluang untuk mereka cipta inovasi mengikut kreativiti masing-masing.

Menurut, Mohamad Aiman dia berasa teruja dan gembira apabila berpeluang menyertai program itu.

“Melalui program ini, saya bersama rakan-rakan lain boleh menonjolkan bakat masing-masing dalam mereka cipta,” jelasnya.

Dalam pada itu, bagi seorang lagi pelajar, Fathul Fahmy Mohd. Nizam, 16, berkata, program tersebut memberi pendedahan dan motivasi untuk serius dalam mereka cipta sesuatu inovasi.

Menurutnya, dia bersama ahli kumpulan yang lain telah melakukan inovasi untuk menghasilkan produk yang diberi nama Simply Hang.

“Simply Hang ini merupakan satu tempat menyangkut baju serba guna. Sepertimana yang diketahui, idea untuk menghasilkan produk ini tercetus daripada permasalahan kami sebagai pelajar.


BAKAT tersembunyi yang ada dalam diri pelajar berjaya dicungkil menerusi program Minggu Inovasi ini.


“Kami tinggal di asrama dan tidak mempunyai ruang yang cukup untuk menyangkut baju. Jadi, di situ timbul idea untuk menghasilkan produk tersebut,” katanya.

Tambahnya, untuk menghasilkan Simply Hang itu, medium yang digunakan hanyalah batang paip PVC.

Mereka kemudiannya menyambung paip itu untuk dijadikan tempat menyangkut baju serba guna yang mudah dialihkan.

Fathul Fahmy berkata, kos untuk menghasilkan produk itu tidak melebihi RM25 dan ia mampu disiapkan dalam masa kurang satu jam.

“Apa yang penting, kami mendapat maklum balas yang berguna daripada para juri. Mereka memberi pendapat tentang apa yang boleh dilakukan untuk menambah baik produk yang kami dihasilkan,”ujarnya.

Perkembangan serta peralihan teknologi yang semakin pantas bergerak sememangnya memerlukan pelbagai produk inovasi dihasilkan bagi memudahkan tugas harian manusia.

Para pengguna kini sentiasa mencari produk-produk baharu berasaskan teknologi terkini bagi memenuhi keperluan mereka.

Ia bertujuan untuk melaksanakan tugas masing-masing dengan lebih mudah dan pantas, sekali gus membuka peluang besar terhadap bidang inovatif.

Selari dengan peluang yang tercipta daripada kehendak pengguna teknologi dan pemain industri masa kini, golongan berfikiran kreatif serta berdaya inovatif wajar dilahirkan dengan lebih ramai bermula pada awal usia persekolahan.

Harta intelek

Hari ini, banyak sekolah di seluruh negara memainkan peranan secara lebih serius untuk memupuk budaya kreatif dan inovatif dalam kalangan para pelajar supaya mereka menjadi pemilik harta intelek pada masa hadapan.


Juri luar turut dijemput untuk menilai hasil inovasi yang dicipta pelajar.


Guru Penasihat Kelab Reka Cipta dan Inovasi SMT Kuala Lumpur, Mohd. Syazwan Mohd. Nor berkata, budaya kreatif dalam melakukan inovasi perlu dipupuk sejak di bangku persekolahan lagi bagi menarik minat pelajar untuk menceburi bidang itu pada masa hadapan.

Menurutnya, objektif utama penganjuran program itu adalah untuk memberi rangsangan dan motivasi bagi melahirkan pelajar yang berketrampilan, kreatif serta inovatif.

“Program ini merupakan acara tahunan di sekolah ini dan ia sudah masuk tahun ketiga penganjuran. Kebanyakan pelajar amat teruja untuk menyertai program ini.

“Kesemua pelajar sekolah ini adalah pelajar teknikal dan program ini dapat mencungkil kemahiran tersembunyi yang ada dalam diri mereka.

“Melalui pertandingan seperti ini, kami dapat melihat setakat mana mereka mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam kelas untuk menghasilkan sesuatu inovasi,” jelasnya.

Tambah Mohd. Syazwan, pihaknya turut menjemput juri luar untuk menilai produk-produk inovasi yang dihasilkan oleh para pelajar yang menyertai program itu.

Dalam pada itu, Mohd Syazwan berkata, melalui program sedemikian, dia juga boleh mengesan pelajar-pelajar yang berpotensi untuk diserap menjadi ahli elit kumpulan reka cipta dan inovasi sekolah tersebut.

“Sekolah kami banyak juga menyertai pertandingan inovasi di luar sana.

“Jadi, melalui program ini, ia boleh menjadi satu platform bagi mengesan pelajar yang berpotensi untuk menghasilkan sesuatu inovasi yang boleh dipertandingkan ke peringkat lebih tinggi,” jelasnya.

Pada masa sama, sekolah itu turut menjalinkan kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk membantu pelajar mengembangkan ilmu mereka dalam bidang tersebut.

Melalui kerjasama itu, pelajar sekolah tersebut mendapat bimbingan daripada pensyarah manakala mahasiswa UKM memainkan peranan sebagai mentor.

Mereka akan membimbing pelajar membina peralatan berinovatif dan memupuk budaya pemikiran kreatif.

Process time in ms: 47