DUNIA

Halimah angkat sumpah hari ini

Halimah angkat sumpah hari ini

HALIMAH menunjukkan isyarat bagus semasa menghadiri satu majlis di Singapura baru-baru ini. - AFP


SINGAPURA – Bekas Speaker Parlimen berumur 63 tahun, Halimah Yacob akan dicalonkan sebagai Presiden Singapura kelapan pada hari ini.

Halimah akan diisytiharkan sebagai ketua negara Singapura yang baharu sejurus selepas proses penamaan calon ditutup tengah hari ini.

Singapura telah memutuskan untuk menetapkan calon daripada masyarakat Melayu bagi mengisi jawatan tersebut kali ini dalam ­usaha mengukuhkan perpaduan di negara berbilang bangsa itu.

Pengalaman luas Halimah sebagai Speaker Parlimen secara automatik melayakkan beliau untuk jawatan tersebut di bawah peraturan pencalonan pilihan raya.

Jabatan Pilihan Raya Singapura semalam mengumumkan bahawa hanya seorang sahaja pemohon (Halimah) akan diberikan kedua-dua Sijil Kelayakan dan Sijil Komuniti yang dikhaskan untuk masyarakat Melayu bagi pilihan raya Presiden pada September ini.

Menurut jabatan itu, untuk seseorang individu layak sebagai calon, mereka perlu mendapatkan Sijil Kelayakan daripada Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden (PEC) dan Sijil Komuniti daripada Jawatankuasa Komuniti (CC) yang menyatakan bahawa pemohon adalah daripada masyarakat Melayu.

“Empat individu lain gagal mendapatkan sijil kelayakan sebagai calon,” kata jabatan pilihan raya pulau itu.

Dua pemohon tersebut hilang kelayakan disebabkan mereka bukan berbangsa Melayu, manakala dua ahli perniagaan Melayu pula didapati tidak layak menjadi calon disebabkan syarikat yang mereka miliki terlalu kecil.

Situasi itu melayakkan Halimah menyandang jawatan tersebut tanpa perlu bertanding. Pilihan raya Pre­siden Singapura sepatutnya diadakan pada 23 September ini.

Sekiranya proses pencalonan berjalan lancar hari ini, Halimah akan menjadi wanita Melayu pertama menyandang jawatan Presiden Singa­pura.

Orang Melayu terakhir menjawat jawatan itu ialah Yusof Ishak. Wajah pemimpin tersebut tertera pada wang kertas Singapura.

Yusof menjadi Presiden antara tahun 1965 hingga 1970, tahun-tahun pertama kemerdekaan Singapura susulan penyatuan pendek dengan jirannya, Malaysia.

Kuasa eksekutif bagaimanapun, dipegang oleh Perdana Menteri pertama pulau itu, mendiang Lee Kuan Yew.

Penggal enam tahun bekas Pre­siden Singapura, Tony Tan tamat pada 31 Ogos lalu, manakala jawatan tersebut dipangku oleh Pengerusi Majlis Penasihat Presiden, J Y Pillay sejak 1 September lepas.

Halimah pula dijadualkan me­ngangkat sumpah sebagai Presiden Singapura yang baharu esok.

Dalam pada itu, terdapat kritikan terhadap Halimah dalam kalangan pengguna media sosial Singapura berikutan keputusan menang tanpa bertanding tersebut.

“Jangan memanggilnya pilihan raya jika kami rakyat Singapura tidak boleh mengundi,” kata seorang pengguna Facebook, Fazly Jijio Din. – Bernama/ AFP/ Reuters

Process time in ms: 46