VARIA

Menyingkap simbolik sirih dalam adat Melayu

Menyingkap simbolik sirih dalam adat Melayu

ZAINAL ABIDIN berpendapat sirih memiliki simbolik kesantunan dan kehalusan budi pekerti.


Demikian petikan pantun lama yang menggambarkan amalan masyarakat Melayu yang menggunakan sirih sebagai medium untuk memulakan perbualan pada masa dahulu.

Pakar Budaya Melayu dan Sastera Tradisional, Dr. Noriah Mohamed berkata, ia turut menggambarkan betapa seseorang itu begitu sabar mengambil sedikit masa dan mendahulukan kehalusan budi sebelum berkomunikasi.

“Gambaran sedemikian sebenarnya masih dapat dilihat sekitar tahun 50-an dan 60-an. Pada waktu itu apabila orang bertamu, perkara utama yang dilakukan selain membentang tikar ialah menghulurkan tepak sirih yang turut dikenali sebagai cerana atau puan.

“Sikap itu turut didorong dengan sifat berhati-hati sebelum menyusun bicara kerana menjaga hati orang. Ia dianggap sebagai tingkah laku yang harus dipegang dalam budaya pergaulan masyarakat Melayu.

“Elemen sebegini yang harus diambil perhatian generasi muda kita,” ujarnya pada Seminar Sirih Simbolik Kesantunan Adat Melayu di Muzium Sultan Alam Shah, Selangor baru-baru ini.

Seminar tersebut diadakan bagi melestarikan peranan sirih sebagai lambang kebudayaan dan kesantunan adat Melayu untuk perhatian masyarakat umum.

Begitupun, penggunaan tepak sirih kian suram seiring dengan kurangnya penggunaan sirih dalam kalangan masyarakat Melayu moden.

Tambah Noriah, pada masa kini, ia hanya dijadikan sebagai sirih junjung pada acara tertentu. Selain itu, bahan-bahan seperti pinang dan kapur berfungsi sebagai hiasan dan tidak pula dijadikan pemanis mulut.

Menyokong pendapat tersebut, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, cabaran globalisasi dan kemodenan boleh menggugat kelangsungan makna dan perlambangan yang dibawa oleh sirih.

Menurutnya, satu lagi aspek yang boleh diperhatikan ialah pokok sirih memiliki sifat semula jadi tumbuh menjalar tanpa merosakkan tiang atau junjung yang menyokongnya. Ia tidak menikam atau menujah.

“Sifat itu secara simbolik menggambarkan kesantunan, rasa rendah diri dan kehalusan budi pekerti,” katanya.

Tindih bayang


Dari kiri Zainal Abidin, Harun, Noriah, Abdul Latif dan Norhuda yang menjadi ahli panel pembentang kertas kerja pada Seminar Sirih Simbolik Kesantunan Adat Melayu di Muzium Sultan Alam Shah, Selangor baru-baru ini.


Berkongsi sisi lain sirih, Tokoh Pengkaji Manuskrip dan Penterjemah Kitab Perubatan Melayu, Dr. Harun Mat Piah pula menjelaskan, sirih atau nama saintifiknya Piper spp merupakan tumbuhan yang amat rapat dengan kehidupan masyarakat pelbagai budaya termasuk Melayu.

Menurutnya, terdapat aneka sirih yang disebut dalam kitab-kitab tib iaitu naskhah mengenai ubat-ubatan lama sesuai dengan penyakit tertentu. Contohnya, dalam Manuskrip Muzium Terengganu, tumbuhan itu digunakan untuk mengukuhkan gigi.

“Jenis atau sifat sirih juga dinyatakan seperti sirih bertemu urat, sirih air, sirih hantu, suru kerakap (sirih keras dan tebal), sirih Melayu, sirih Cina, sirih murai dan sirih rimau.

“Turut disebut ialah syarat memetik sirih misalnya jangan tindih bayang dan perlu menghadap matahari terbit,” tuturnya yang pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Michigan Ann Arbor, Amerika Syarikat.

Jelasnya, daun sirih mempunyai zat yang bersifat antifungi dan antioksidan. Sebagai contoh, daun sirih yang direbus dikatakan dapat menghilangkan bau badan, jerawat dan keputihan.

Turut hadir membentangkan kertas kerja dalam seminar sehari tersebut ialah Ketua Sekolah Warisan dan Peradaban Universiti Islam Malaysia, Tan Sri Prof. Dr. Abdul Latif Abu Bakar dan pensyarah dari Fakulti Kemanusiaan, Sastera dan Warisan Universiti Malaysia Sabah, Norhuda Salleh.

Process time in ms: 62