RENCANA UTAMA

Berakhirnya kereta api

Berakhirnya kereta api

buluh di Kemboja


Pelancong teruja mencuba kereta api buluh di Kemboja.


BERADA di bawah sinaran matahari tropika dengan menaiki kenderaan berlantaikan buluh dikenali sebagai kereta api buluh satu pengalaman unik di Kemboja.

Kereta api buluh menjadi bukti keupayaan dan kreativiti rakyat di negara itu sehingga berjaya menghasilkan pengangkutan menggunakan bahan semula jadi.

Laluannya yang melintasi kawasan luar bandar itu ternyata memberi pengalaman menarik kepada pelancong untuk mendekati alam secara langsung.

Penciptaan kereta api buluh itu merupakan sebahagian daripada sistem pengangkutan awam yang tidak rasmi dan menggunakan landasan kereta api terbengkalai zaman penjajah.

“Saya rasa sangat seronok dan nyaman apabila angin membelai wajah sepanjang perjalanan menaiki kereta api ini.

“Saya juga berasa teruja kerana ia bukan kereta api biasa malah diperbuat daripada buluh tanpa dinding atau bumbung.

“Kami juga merasai perjalanan yang mencabar kerana keadaan jalannya yang bengkang-bengkok,” cerita Josefin Strang, 25, yang merupakan pelancong dari Sweden.

Bagaimanapun, tidak lama lagi landasan kereta api itu yang terletak di barat laut wilayah Battambang akan diambil alih oleh kerajaan untuk memperbaharui sistem kereta api di negara itu.

Berita tersebut membimbangkan komuniti pemandu kereta api buluh, penjual tiket dan makanan ringan kerana ia akan mengganggu sumber pendapatan mereka.

“Kami sangat risau sekiranya kereta api ini dihapuskan kerana pekerjaan ini memberikan pendapatan yang sangat lumayan,” kata Soy Savuth, 49 tahun.

Dia yang merupakan salah seorang pemandu kereta api buluh itu menghabiskan masa seharian dengan membawa penumpang sejauh 7 kilometer (km) dengan bayaran sebanyak AS$5 (RM20.95) bagi pelancong asing.

Landasan kereta api tersebut dibina semasa pemerintahan kolonial Perancis dan pernah beroperasi di pelabuhan barat daya Sihanoukville (kini dikenali sebagai Kompong Som) yang menuju sehingga ke bahagian utara sempadan Thailand.

Namun, selepas beberapa dekad perang saudara dan pengabaian menyebabkan landasan kereta api itu rosak dan ditumbuhi rumpai.

Versi awal


Kereta api buluh diangkat ke atas landasan untuk memulakan operasi membawa penumpang.


Pada tahun 1980, kereta hanya mampu dimiliki oleh golongan kaya maka, rakyat Kemboja yang miskin telah membina troli buluh untuk mengangkut barang dan dijadikan pengangkutan utama di kawasan luar bandar.

Versi terawal troli itu hanya dipasang pada rel kereta api dan ditolak menggunakan batang buluh.

Kemudian, mereka menaik taraf dengan menggunakan enjin berbekalkan kuasa petrol yang disambungkan pada kipas untuk dengan kelajuan kira-kira 15km/sejam.

Apabila jalan di Kemboja semakin baik, penduduk tempatan bergerak menggunakan gerabak buluh yang dikenali sebagai khmer untuk pengangkutan barang.

Ekoran hasil kreativiti rakyat Kemboja itu telah memberi peluang kepada pelancong untuk merasai pengalaman menaiki pengangkutan tersebut di samping menyaksikan keunikan budaya penduduk tempatan.

Baru-baru ini kereta api buluh itu telah dibanjiri oleh pelancong tempatan dan asing untuk merasai perjalanan menaiki pengangkutan tersebut dengan hembusan angin yang dingin dan melalui sawah padi serta anak sungai.

Menurut Pengarah Jabatan Jalan Kereta Api Kemboja, Chan Samleng, pengendali kereta api buluh itu perlu mengosongkan kawasan tersebut secepat mungkin bagi memberi ruang kepada operasi perkhidmatan kereta api moden yang bakal beroperasi tidak lama lagi.

“Mereka tidak mempunyai hak untuk menjalankan operasi kereta api buluh di sini dan perlu mencari pekerjaan lain,” katanya.

Walaupun, Kemboja kekal sebagai negara termiskin di Asia, tetapi ia juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di benua itu.

Tahun kebelakangan ini, kerajaan telah memberi perhatian kepada pengendalian kereta api.

Pada April 2016, stesen kereta api dari Phnom Penh ke Sihanoukville telah dibuka semula kepada orang ramai bagi menggantikan berpuluh-puluh operasi troli buluh itu.

Perkara itu telah menamatkan pengangkutan tradisi rakyat negara tersebut, sekali gus menutup pintu rezeki penduduk tempatan.

“Saya sukar mencari pekerjaan lain kerana ini satu-satunya kemahiran yang dimiliki,” ujar Soy Savuth.

– AFP

Process time in ms: 47