RENCANA UTAMA

Kebimbangan isu haruan makan anak

Kebimbangan isu haruan makan anak


Hukuman penjara sahaja tidak memadai malah psikologi pesalah jenayah seksual juga perlu dirawat.


Sewaktu usia masih kecil, acap kali kita mengadu kepada kedua-dua orang tua terutamanya kepada si ayah sebaik dilanda sebarang musibah.

Sama ada terjatuh basikal, dibuli rakan sekolah hatta kehabisan wang saku sekali pun, ayahlah tempat kita mengadu domba.

Tidak dinafikan, kasih sayang seorang ibu juga tiada tolok bandingnya, namun kehadiran figura seorang ayah itu nyata mempunyai aura yang tersendiri.

Meskipun begitu, terdapat segelintir individu yang meragut sepenuhnya kepercayaan si anak dengan melakukan perkara tidak bertanggungjawab terhadap mereka.

Bayangkan susuk tubuh individu yang menjadi tunjang kepercayaan dalam sesebuah keluarga itu, tergamak menjadikan si anak tempat melempias hawa nafsu serakah.

Lebih menyedihkan, mangsa kebanyakannya terdiri dalam lingkungan bawah umur malah, ada mangsa yang dirogol sejak usia mereka bayi lagi.

Jijik. Hanya itu sahaja perkataan yang terungkap di bibir penulis saat terbaca di dada akhbar-akhbar tempatan mutakhir ini.

Baru-baru ini, seorang petani dijatuhi hukuman penjara 22 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Majistret Betong, Pahang selepas merogol anak kandungnya sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh berusia 49 tahun mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan mengikut Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram terhadap anak tunggalnya itu.

Lelaki itu menjadikan anaknya sebagai hamba seks dengan merogolnya beberapa kali di Kampung Empelam, Kabong sejak September 2014 hingga Julai lalu.

Perbuatan keji tertuduh akhirnya terbongkar apabila mangsa mendedahkan perkara itu kepada guru kaunselingnya di sebuah sekolah menengah agama pada 17 Ogos lalu.

Susulan itu, guru kaunseling tersebut kemudian membuat laporan polis bagi tindakan selanjutnya.

Boleh dikekang

Menurut Penganalisis Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Meor Roslan Meor Mohd. Jaafar, jenayah seksual yang berlaku dalam keluarga seperti sumbang mahram dan rogol boleh dikekang sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan efektif.

“Ibu bapa atau penjaga boleh memainkan peranan mereka dengan menjadi individu yang memantau setiap pergerakan anak-anak.

“Kita harus sentiasa peka dengan perubahan tingkah laku dan perkembangan yang ditunjukkan oleh mereka.

“Sekiranya anak-anak menunjukkan sebarang tingkah laku yang mencurigakan, usah berlengah sebaliknya dekatilah dan tanya kepada mereka jika mereka menghadapi sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, jika terdapat ahli keluarga terdekat yang menjadi mangsa jenayah seksual, usah malu untuk tampil ke hadapan dan melaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan undang-undang boleh diambil secepat mungkin.

Tidak cukup dengan itu, baru-baru ini seorang datuk ditahan bersama anak lelakinya kerana disyaki memperkosa seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang juga merupakan cucunya.

Dia yang berusia 53 tahun sanggup bersubahat bersama anak lelakinya berusia 25 tahun untuk melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa di sebuah rumah panjang di Sungai Durin, Sarawak.

Kes terbongkar pada pagi 2 September lalu selepas mangsa menceritakan kejadian dia dirogol beberapa kali oleh dua lelaki berkenaan kepada ibunya.

Ketika kejadian, mangsa tinggal bersama datuknya di rumah panjang manakala ibunya difahamkan tinggal berasingan di Mukah.

Datuk mangsa sebelum ini pernah dipenjarakan kerana merogol anak perempuannya pada tahun 2008 dan dibebaskan Ogos tahun lalu.

Jenayah seksual seperti haruan makan anak itu berlaku disebabkan oleh kelemahan institusi kekeluargaan selain faktor kemanusiaan individu itu sendiri.

“Kebanyakan kes datangnya daripada keluarga bermasalah seperti penceraian sehingga menyumbang kepada masalah sosial seperti itu.

“Selain itu, kurangnya penerapan adab dalam keluarga sedikit sebanyak mendorong kepada jenayah tersebut.

“Anak-anak perlu dididik dari kecil untuk mengamalkan adab seperti berpakaian sopan di dalam rumah walaupun di hadapan bapa sendiri,” terangnya.

Ujarnya lagi, anak perempuan juga perlu menghindari daripada berdua-duaan di dalam rumah bersama bapa sendiri supaya dapat menutup peluang berlakunya jenayah itu.

Meor Roslan menambah, pendidikan seks dan juga keselamatan diri seharusnya diperkasa sejak dari sekolah lagi dalam modul pendidikan.

Hal ini supaya kanak-kanak tahu tindakan yang perlu di lakukan sekiranya terdapat cubaan jenayah sedemikian kelak.

Sementara itu, Pakar Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Hazli Zakaria berkata, denda atas hukuman jenayah yang telah dilakukan tidak mencukupi untuk membimbing pesalah jenayah.

Katanya, pihak bertanggungjawab perlu mempergiatkan lagi tindakan progresif bagi memantau perkembangan pelaku dan menghalang desakan untuk berlaku sumbang lagi.

Hal ini supaya selepas keluar dari penjara kelak, mereka tidak akan mengulangi kegiatan itu.

“Hukuman penjara atau sebatan atas jenayah yang telah dilakukan hanya relevan sebagai hukuman atas jenayah yang telah dilakukan namun psikologi pesalah juga perlu dirawat.

“Pelaku jenayah seksual seperti sumbang mahram perlu menjalani terapi psikologi secara berterusan untuk memperbaiki perspektif dan pertimbangan mereka sekali gus menjauhkan daripada keinginan pelik itu pada masa akan datang.

“Justeru, semua pihak khususnya ibu bapa serta orang terdekat memainkan peranan yang sangat penting dalam menangani ancaman jenayah seksual tersebut,” ujarnya.

Process time in ms: 47