VARIA

Naratif kampung baharu Kim Chiew

Naratif kampung baharu Kim Chiew


KIM CHIEW bersama karyanya yang bertemakan Isolation House.


Istilah ‘kampung baharu’ bukanlah suatu yang asing di negara ini. Ia merupakan kawasan penempatan yang diwujudkan oleh kerajaan ketika zaman darurat pada tahun 1950-an bagi mengekang ancaman komunis terhadap perkampungan yang terletak di kawasan pinggir hutan.

Kampung baharu juga merupakan sebahagian daripada Rancangan Briggs yang dilancarkan oleh Sir Henry Gurney untuk melemahkan gerakan Min Yuen yang ketika itu membekalkan senjata, maklumat, ubat-ubatan, wang dan makanan kepada komunis.

Sebanyak 400,000 penduduk setinggan Cina telah dipindahkan ke lebih kurang 400 buah kampung baharu di seluruh Tanah Melayu dengan majoriti penduduk kampung baharu yang dipindahkan asalnya tinggal di pinggir hutan.

Setelah tertubuhnya kampung baharu, penduduk di kawasan penempatan tersebut telah dilindungi oleh pasukan mata-mata khas yang juga dikenali sebagai special constable dan tentera.

Walaupun penduduk dibenarkan keluar masuk ke kawasan penempatan tersebut tetapi pergerakan mereka agak terbatas selain turut dikawal dan dipantau bagi mengelak berlakunya perhubungan dengan pihak komunis.

Kini, seorang artis seni tempatan, Chong Kim Chiew mengambil inisiatif untuk menggambarkan semula suasana yang pernah berlaku di kampung baharu suatu masa dahulu untuk dikongsi dengan masyarakat pada hari ini menerusi pameran.

“Kita semua tahu bahawa kehidupan di kampung baharu suatu ketika dahulu bukanlah seperti yang ada di kampung baharu pada hari ini.

“Dahulu, pergerakan mereka sangat terbatas dan semua itu dilakukan demi keselamatan penduduk dan juga negara daripada ancaman komunis.

“Oleh itu, saya ingin mengajak orang ramai khususnya golongan muda pada hari ini untuk merasai sendiri situasi kehidupan di kampung baharu menerusi hasil karya saya,” katanya.

Menurut Kim Chiew, pameran bertajuk Isolation House yang akan berlangsung di Galeri Seni A+ Works of Art di Jalan Sentul, Kuala Lumpur itu akan melibatkan pameran 44 keping papan tanda nama kampung baharu yang ada di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Kata beliau, dia menggunakan nama-nama kampung baharu sebagai bahan pameran bagi membolehkan pengunjung berimaginasi tentang suasana kehidupan di setiap penempatan tersebut.

Malah jelas Kim Chiew, dia turut mewujudkan tiga akses laluan yang boleh digunakan oleh pengunjung untuk ke ruang pamerannya sebagai simbolik kesulitan kehidupan di kampung itu.

“Akses pertama membolehkan pengunjung melihat ruang pameran tetapi pada sudut yang minimum kerana ruangnya yang agak sempit sehingga membataskan pergerakan, manakala akses kedua lebih luas dan pengunjung boleh melihat ruang pameran dengan lebih jelas tetapi tidak boleh menyentuhnya.

“Menerusi akses ketiga pula, pengunjung dapat masuk ke dalam setiap sudut pameran dengan lebih dekat dan menyentuh setiap bahan yang ada,” katanya.

Jelasnya lagi, pameran tersebut merupakan satu karya berbentuk naratif dan kiasan terhadap sejarah yang pernah berlaku di negara ini menerusi pembukaan penempatan kampung baharu.

Dalam pada itu, pemilik galeri seni tersebut, Joshua Lim berkata, pameran yang akan berlangsung bermula 14 September ini hingga 7 Oktober depan merupakan siri kedua bagi pameran bertemakan ‘kadang-kadang, dekat-dekat, akan datang’ yang dianjurkan pihaknya.

Kata beliau, siri pameran tersebut dilaksanakan bagi membolehkan artis seni tempatan berkongsi kreativiti mereka menerusi pelbagai bentuk karya.

“Pameran kali ini akan turut melibatkan seorang lagi artis seni dari Indonesia, FX Harsono yang mempamerkan hasil karyanya berkaitan zaman penjajahan di negara tersebut.

“Bagi meningkatkan pemahaman pengunjung terhadap pameran, kami juga akan menganjurkan sesi perkongsian ilmu mengenai sejarah penubuhan kampung baharu yang akan disampaikan oleh seorang penceramah jemputan,” katanya.

Rencana Utama!»

LOST in KL cabar adrenalin peserta

SAAT sedang cuba menyelesaikan misteri permainan, kedua-dua pengunjung ini terkejut apabila melihat kelibat hantu yang dipenuhi darah dan sedang menjerit dengan kuat.

Process time in ms: 47