RENCANA UTAMA

Kehilangan Maldonado gemparkan Argentina

Kehilangan Maldonado gemparkan Argentina


RIBUAN rakyat Argentina mengadakan demonstrasi di hadapan Plaza de Mayo.


MISTERI seorang aktivis hak asasi manusia yang didakwa hilang ketika berada di dalam tahanan pihak berkuasa Argentina telah meningkatkan memori hitam terhadap negara yang pernah diselubungi sejarah pemerintahan diktator itu.

Tidak kira apa sahaja lokasi tumpuan umum sama ada di hospital atau stesen bas sehingga padang bola sepak, terdapat poster dan perkataan yang tertera ‘Di mana Santiago Maldonado. Kerajaan bertanggungjawab di atas kehilangannya.’

Kumpulan hak asasi yang memperjuangkan isu berkenaan berkata, Maldonado, 27, telah ditahan oleh pihak berkuasa Argentina pada 1 Ogos lalu selepas menyertai satu demonstrasi yang dilakukan oleh penduduk asli, Mapuche.

Kira-kira dua minggu lalu, hampir sebulan selepas kehilangannya, kaum wanita, pesara dan pelajar telah menyertai perarakan besar-besaran di hadapan Plaza de Mayo, Buenos Aires yang merupakan lokasi simbolik bagi mangsa kekejaman pemerintahan diktator di Argentina.

“Apa yang berlaku sudah melampaui isu afiliasi politik. Kes ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam sistem perundangan negara ini yang memaksa kami berada di sini,” kata seorang penunjuk perasaan, Aepa Espinoza, 45, yang hadir bersama isteri dan dua anaknya sambil memegang gambar Maldonado.

Sejak berdekad lalu, ahli keluarga berkumpul dan berarak di dataran tersebut yang pernah menyaksikan ribuan penunjuk perasaan dibunuh atau hilang ketika pemerintahan rejim tentera pada tahun 1976 hingga 1983.

Kumpulan-kumpulan aktivis percaya lebih 30,000 rakyat menjadi mangsa ‘penghapusan’ ketika tampuk negara tersebut dikuasai diktator dan beratus-ratus lagi selepas itu.

Sebuah kumpulan antikerajaan, Kordinator Terhadap Polis dan Penindasan Institusi berkata, seramai 210 orang dipercayai hilang ketika berada dalam tahanan polis sejak pemerintahan diktator di negara itu berakhir.

Bagaimanapun, kehilangan Maldonado merupakan kes pertama yang dikaitkan dengan keseluruhan institusi negara itu berbanding pegawai kerajaan secara individu sebelum ini.


DEMONTRASI yang tercetus bertukar ganas apabila penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan keselamatan yang cuba menyuraikan mereka.


Tuduhan

Kata kumpulan itu, lelaki berkenaan dilihat kali terakhir memasuki kenderaan polis selepas ditahan kerana terlibat dalam demonstrasi di Chubut, wilayah selatan Argentina.

“Madonado telah dibawa ke Gendarmerie,” dakwa ibunya, Stella Maris Peloso yang menolak sebarang tuduhan mengaitkan anaknya sebagai militan politik.

Tuduhan bahawa pihak berkuasa bertanggungjawab terhadap kehilangan Maldonado turut mendapat sokongan kumpulan hak asasi seperti Grandmothers yang berpangkalan di Plaza de Mayo.

Kumpulan tersebut telah berkempen sejak beberapa dekad lalu bagi membela nasib mangsa-mangsa kekejaman pemerintah diktator di negara itu.

Bekas pemimpin tentera ketika era tersebut seperti bekas diktator, Jorge Videla telah dipenjarakan seumur hidup pada tahun 1985.

“Ia merupakan suatu tragedi dalam sejarah panjang demokrasi di negara ini. Kehilangan seseorang secara paksa seperti ini perlu mendapat pembelaan sewajarnya,” kata Presiden Grandmothers, Estela de Carlotto pada satu sidang akhbar bulan lalu.

Presiden Perhimpunan Hak Asasi, Norma Rios memberitahu, pihaknya percaya kehilangan misteri ratusan rakyat di negara itu didalangi individu tertentu dalam kerajaan.

Presiden Argentina, Mauricio Macri menuduh penyokong kerajaan sebelumnya pimpinan Cristina Kirchner berkempen untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dan menyamakan tindakan itu dengan pemerintahan diktator.

Menurut rakan-rakannya, Maldonado telah pergi ke Pataginia, Chubut tahun lalu dan menyertai demonstrasi bagi memperjuangkan keadilan sosial dan keluarga puak Mapuche.

Mapuche dianggap antara puak terawal di benua Amerika Selatan dan kebanyakannya menetap di Argentina dan Chile.

Populasinya semakin berkurangan selepas penaklukan Sepanyol sehinggalah negara itu mencapai kemerdekaan.

Sejak itu, para pemimpinnya telah berjuang bagi menuntut semula wilayah dan hak mereka yang hilang berdasarkan sejarah.

Process time in ms: 47