RENCANA UTAMA

Corak disuntik melalui bahagian bawah kek jeli

Corak disuntik melalui bahagian bawah kek jeli



JARI-JEMARINYA dengan teliti menekan tiub picagari yang berisi cecair berwarna merah jambu ke dalam jeli lut sinar berbentuk hati.

Dengan berhati-hati, Siti Hasmah Hanuddin, 58, mengulangi teknik itu sebanyak 15 hingga 20 kali. Sesekali dia menukar alatan logam yang diletakkan pada hujung picagari berkenaan ke bentuk yang lain.

Tidak sampai 15 minit, Siti Hasmah berjaya membentuk sekuntum bunga peony yang cantik.

Menurut ibu kepada empat orang cahaya mata itu, dia terpesona dengan keunikan seni membuat kek jeli 3 dimensi (3D) selepas terlihatnya di internet.

“Saya berasa kagum dengan cara pembuatannya. Saya membuat carian di internet untuk mengikuti kelas membuat kek jeli ini.

“Tidak sangka walaupun baru pertama kali memcubanya, saya rasa tidaklah terlalu sukar, cuma kena rajin buat latihan untuk mendapatkan hasil yang lebih kemas,” katanya ketika ditemui di kelas membuat Kek Jeli 3D Aki di ibu negara baru-baru ini.

Siti Hasmah menghadiri kelas itu bagi mengisi masa lapangnya selepas bersara sebagai jurubank.

Seorang lagi pelajar kelas berkenaan ialah C. Pavithiradevi, 22, yang merupakan pelajar Malaysian Institute of Baking di Petaling Jaya, Selangor.

Dia yang meminati bidang kraf sering hadir ke kelas-kelas yang berkaitan dengan seni masakan antaranya kelas membuat pastri dan coklat.

“Selepas mengikuti kelas Kek Jeli 3D Aki, saya berpendapat seni pembuatannya tidaklah terlalu sukar. Ia mengambil masa dua hingga lima jam sahaja untuk membuat sebiji kek bagi mereka yang baru pertama kali mempelajarinya.

“Saya gembira apabila kek jeli yang dihasilkan menjadi begitu cantik. Selepas ini saya akan mencuba membuatnya di rumah pula,” katanya yang berasal dari Puchong.

Pembuatan kek jeli 3D ini dikatakan bermula sejak 40 hingga 50 tahun lalu.

Menurut pemilik Kek Jeli 3D Aki, Aki Thuhein, 40, ketika mengikuti suaminya, Henry Aw yang ditugaskan ke Nagasaki, Jepun kira-kira empat tahun lalu, dia bertemu dengan seorang pembuat jeli itu yang berasal dari Mexico.


CONTOH kek jeli 3D dengan corak burung merak yang dihasilkan Aki.


Wanita warga emas berkenaan mendakwa telah mempelajari seni membuat jeli sejak 35 tahun lalu daripada nenek moyangnya. Dia mendedahkan bahawa seni itu berasal dari Mexico kerana nenek moyangnya juga belajar daripada komuniti Mexico terdahulu.

Namun, ketika itu mereka menggunakan gelatin sebagai bahan asas. Gelatin biasanya diperoleh daripada protein yang terdapat pada tulang atau kulit binatang. Gelatin komersial biasanya diperoleh daripada ikan, sapi atau babi.

Dari Mexico, seni kek itu dikatakan berkembang sehingga ke beberapa buah negara sebelum berakhir di Vietnam. Semasa di Vietnam, kebanyakan individu yang meminati seni berkenaan telah menukar gelatin kepada jeli yang diperbuat daripada rumpai laut.

“Menggunakan jeli lebih mudah, halal dan senang didapati. Jika menggunakan gelatin, ia perlu sentiasa disimpan dalam keadaan sejuk. Semasa membuatnya juga, perlu ada ais di sekeliling kek tersebut.

“Berbeza dengan jeli. Selain mudah diuruskan, ia juga tahan sehingga lima ke tujuh hari dalam keadaan suhu bilik,” kata Aki yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata perempuan itu.

Selepas beberapa tahun seni tersebut bertapak di Vietnam, kegilaan membuat kek jeli 3D telah merebak ke beberapa buah negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Bagaimanapun, seni berkenaan harus didorong rasa minat yang mendalam, maka tidak ramai yang mampu menguasainya di negara ini.

Disebabkan itu, Aki mengambil inisiatif mengadakan kelas mempelajari teknik membuat kek jeli 3D.

Kini, Aki yang menetap di Kuala Lumpur bersama suaminya merupakan rakyat tempatan mengusahakan kelas membuat kek jeli berkenaan.

Sejak mengendalikan kelas tersebut tiga tahun lalu, pelajarnya sudah mencecah hampir 3,000 orang yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum seperti Cina, Melayu dan India.

Satu sesi kelas Kek Jeli 3D Aki berharga RM400 untuk lima jam.


PERALATAN yang digunakan untuk menghasilkan corak-corak hiasan pada kek jeli 3D.


Teknik

Jelas Aki, teknik membuat kek jeli tidaklah sukar seperti yang disangka. Pelajar yang pertama kali mengikuti kelas tersebut mampu menguasai pembuatan kek berkenaan.

Cuma, bagi menghasilkan bentuk-bentuk lebih sukar seperti burung merak, pelajar harus hadir ke kelas kedua.

Bercerita lanjut mengenai pembuatan kek jeli 3D, Aki memberitahu terdapat beberapa lapisan jeli yang harus dimasak secara berasingan bersama air terlebih dulu.

Bagi lapisan jeli pertama, ia dimasak di atas periuk selama 15 minit sebelum dituang ke dalam bekas pelbagai bentuk seperti bulat, empat segi, bujur atau hati.

“Untuk jeli lapisan pertama, ia dibiarkan tanpa warna (lut sinar) namun, anda boleh memasukkan perisa atau bau-bauan seperti vanila dan bunga mawar mengikut cita rasa masing-masing.

“Kemudian, jeli kedua dimasak bersama santan, susu segar atau soya untuk membuat jeli berwarna. Apa yang menarik bahan pewarna dihasilkan daripada bahan semula jadi kerana ia lebih sihat berbanding pewarna tiruan.

“Misalnya, warna kuning dihasilkan daripada labu, merah (ubi bit), hijau (daun pandan) dan merah jambu (buah naga),” katanya yang turut menjual serbuk warna siap proses pada harga RM20 sepeket. Terdapat 11 warna kesemuanya.

Jeli berwarna itu perlu sentiasa dipanaskan di dalam periuk berisi air supaya tidak membeku. Jika jeli tadi sudah mengeras, ia sukar disuntik ke dalam jeli lut sinar.

Bicaranya lagi, untuk menghasilkan bentuk bunga, peralatan logam digunakan untuk meniru kelopak bunga dan daun.

Bentuk haiwan pula seperti ikan emas yang amat popular, Aki menggunakan acuan yang boleh didapati di kedai bakeri.

“Alat logam ini akan diletakkan di hujung picagari yang sudah diisi dengan warna yang dikehendaki. Misalnya, untuk menghasilkan bunga mawar berwarna merah, alatan logam dengan corak kelopak mawar akan disuntik pada bahagian bawah kek jeli lut sinar.

“Bilangan suntikan berbeza mengikut saiz bunga yang ingin dihasilkan. Lakukan sahaja mengikut kreativiti dan kehendak anda. Pada mulanya memang sukar untuk membayangkan hasil 3D yang terbentuk kerana ia disuntik pada bahagian bawah tetapi apabila sudah siap, anda pasti gembira,” ujarnya.

Aki turut menghasilkan alat logamnya sendiri. Dia mempunyai 30 set alatan dengan bunga berbeza. Ia boleh didapati dalam dua saiz iaitu saiz besar mengandungi 10 alat logam (RM95) dan saiz kecil dengan lima alatan logam (RM55).

Apabila hiasan tadi sudah siap, jeli terakhir akan diletakkan pada bahagian bawah sebagai alas. Lapisan terakhir itu tadi boleh diletakkan perisa seperti laici atau coklat.

Aki menambah, selain mengadakan kelas, dia turut menerima tempahan kek jeli 3D daripada orang ramai. Harga bermula daripada RM150 hingga RM180 bergantung kepada corak yang diinginkan.

Process time in ms: 47