GENK

Mahasiswa UPM dekati budaya jiran serumpun

Mahasiswa UPM dekati budaya jiran serumpun


SERAMAI 24 peserta terdiri daripada pelajar dan kakitangan UPM menyertai program Tour A’ Culture di Bandung, Indonesia baru-baru ini.


MALAYSIA dan Indonesia mempunyai sejarah hubungan panjang yang terjalin dengan nilai sepunya dari sudut rumpun bangsa, budaya dan agama di bawah tamadun Melayu di rantau ini.

Namun penyatuan ini terpecah berikutan termeterainya Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824 sekali gus memisahkan tamadun Melayu menjadi entiti politik berbeza akibat perencanaan dua kuasa penjajah.

Biarpun begitu, keakraban kedua-dua negara tergambar dalam banyak keadaan baik dari segi politik, ekonomi atau sosial. Malah, tahun ini menyaksikan genap 60 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia.

Walaupun hubungan tersebut ada kalanya mengalami pasang surut namun segala permasalahan yang timbul lazim diselesaikan secara baik menerusi perbincangan di meja rundingan.

Hakikat itu juga menjadi inti pati kepada program Tour A’ Culture anjuran Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini yang memilih Indonesia sebagai lokasi kunjungan.

Menerusi program selama seminggu itu, seramai 24 delegasi yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan universiti dibawa melawat Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) di Bandung.

Pengarah program, Najihah Harun berkata, program yang julung kali diadakan itu bertujuan membina hubungan dua hala antara kedua-dua universiti berkenaan.

Katanya, kunjungan yang dilakukan secara tidak langsung menggalakkan pertukaran idea dengan pelajar di luar negara dan bertukar pendapat serta ideologi.

“Selain dibawa melihat sekitar UPI kami juga berpeluang melihat pelbagai aktiviti yang dijalankan.

“Misalnya, peserta turut mengikuti kelas seni tari dan mempelajari tarian topeng dan muzik caklempong di bawah kendalian pensyarah Fakulti Seni dan Rekabentuk UPI, Dr. Juju Masunah.

“Tarian ini mempunyai ciri-ciri budaya yang sangat menarik dari segi gerak-geri serta busana yang indah. Tidak hairanlah, ia sangat popular di Jawa Barat,” katanya.

Tambah Najihah, selain mengikuti aktiviti tersebut para delegasi turut dibawa melawat Muzium UPI.


SEPERTI di Malaysia, caklempong juga antara muzik tradisional yang popular di Jawa Barat, Indonesia.


Lokasi bersejarah

Sepanjang berada di situ, mereka diberi penerangan mengenai sejarah awal pendidikan di Indonesia bermula dari peringkat prasekolah sehingga universiti.

“Pada masa sama, kami turut didedahkan tentang sejarah penubuhan UPI dan berkesempatan melawat beberapa lokasi bersejarah yang terdapat di sekelilingnya,” ujarnya.

Selain melawat UPI, delegasi juga berpeluang melihat keindahan kota Bandung yang dikenali sebagai lokasi bersejarah dan syurga membeli-belah.

Antara kawasan yang dilawati ialah Kawah Putih yang menawarkan keindahan dan panorama menakjubkan.

Tidak cukup dengan itu, delegasi turut dibawa melawat Jalan Asia-Afrika sepanjang 1,000 kilometer yang merupakan lokasi bersejarah ketika konfrontasi antara Belanda dan Inggeris sekitar abad ke-18.

Di samping itu, delegasi juga berpeluang melawat pejabat Pikiran Rakyat yang merupakan akhbar paling popular di Jawa Barat.

Najihah memberitahu, acara lawatan delegasi turut mengadakan program amal di Panti Asuhan Bayi Sihat Muhammadiyah, yang merupakan salah sebuah rumah perlindungan kanak-kanak yang terkenal di Bandung.

Katanya, lokasi itu yang dibangunkan pada tahun 2000 menempatkan ratusan kanak-kanak daripada bayi sehingga remaja.

“Sebahagian besar penghuninya merupakan anak-anak yatim atau diserahkan ke pusat berkenaan oleh keluarga masing-masing akibat kemiskinan.


PESERTA program turut diajar tarian topeng yang unik dan sarat dengan gerak-geri yang menghiburkan.


Pengalaman

“Selain berpeluang bermesra dan melakukan aktiviti bersama kanak-kanak di sana, delegasi juga menyampaikan sedikit sumbangan kepada pengurusan pusat asuhan berkenaan,” katanya.

Pada akhir program, delegasi turut berkesempatan melawat Farmhouse yang menjadi antara tarikan pelancongan di Bandung.

Selain bergambar menikmati panorama ladang ternak yang menghijau, delegasi turut disajikan dengan kesegaran susu lembu.

Sementara itu, seorang peserta, Chong Kee Lin , 22, berkata, program itu bukan sahaja menawarkan aktiviti menarik malah, pengalaman berharga yang sukar dilupakan.

“Saya sangat gembira kerana menjadi salah seorang peserta program ini kerana dapat memperkenalkan nama UPM di luar negara.

“Selain dapat mengenali budaya masyarakat setempat, saya juga berpeluang mengenali mahasiswa UPI dengan lebih dekat di samping bertukar pendapat dan ideologi,” katanya.

Jelasnya, salah satu pengalaman menarik yang sukar dilupakan ialah peluang melawat Panti Asuhan Bayi Sihat Muhammadiyah serta beramah mesra bersama penghuninya.

“Melihat ratusan kanak-kanak yang ditempatkan di sini akibat kehilangan ibu bapa dan kemiskinan, membuatkan saya rasa lebih bersyukur dengan nasib diri.

“Sekurang-kurangnya kunjungan kami ini dapat menghiburkan kanak-kanak berkenaan dan sumbangan yang diberikan berupaya meringankan beban yang ditanggung oleh pihak pengurusan,” ujarnya.

Bagi Anis Nabila Arshad, 22, pula, pengalaman mengikuti program itu sedikit sebanyak membolehkannya mengenali budaya dan masyarakat di Indonesia dengan lebih dekat.

“Pengalaman melawat UPI sangat mengujakan kerana kami berpeluang melihat sejarah pendidikan di negara itu di samping melakukan aktiviti bersama mahasiswa di sana.

“Paling menarik ialah peluang mempelajari tarian topeng yang cukup unik dan bahasa Sunda yang seakan-akan sama dengan bahasa Melayu,” katanya.

Ujarnya, dia juga seronok kerana berpeluang melawat tempat-tempat menarik di sekitar Bandung yang mempunyai banyak lokasi bersejarah.

“Jika Melaka terkenal dengan peninggalan Portugis, Bandung pula mempunyai banyak sejarah peninggalan Belanda yang masih kekal terpelihara sehingga kini,” katanya.

Rencana Utama!»

Jana 5 kilowatt kuasa hidroelektrik

SISTEM vorteks bergantung sepenuhnya kepada pusaran air sungai berbanding konsep kitaran kincir air yang terdapat pada empangan jana tenaga lain.

GenK»

Lahirkan artis seni muda berciri usahawan

MUHAMMAD AFIQ menggunakan bilik inkubator yang disediakan kepadanya untuk berkarya.

Varia!»

TeknologiVeggie Factory pertanian masa depan

Teknologi Veggie Factory yang terdapat di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Process time in ms: 32