GENK

Komited lahir graduan berciri holistik

Komited lahir graduan berciri holistik



SELEPAS mendaftar masuk sebagai pelajar baharu Universiti Malaya (UM) di Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah atau lebih dikenali sebagai Kolej Kediaman ke-12 pada 3 September lalu, perasaan Mohd. Muazzam Mifzal Najarudin, 20, begitu seronok.

Selain telah disahkan statusnya sebagai seorang mahasiswa UM, dia juga teruja untuk mengulangi pengalaman menuntut ilmu di universiti tertua negara itu seperti yang pernah dilalui oleh kedua-dua ibu bapanya sebelum ini.

“Sebelum menjejakkan kaki ke UM, saya banyak mendengar cerita mengenainya daripada ayah dan ibu kerana kedua-dua mereka merupakan graduan universiti ini.

“Apa yang diceritakan oleh ayah dan ibu itu membuatkan saya begitu teruja untuk menyambung legasi mereka.

“Malah, saya juga tidak sangka ditawarkan kursus pengajian sama dengan apa yang dipelajari oleh ibu saya,” katanya yang merupakan pelajar baharu di Akademi Pengajian Islam bagi program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam.

Jelas Mohd. Muazzam, bapanya, Najarudin Nedri, 50, merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang manakala ibunya, Zainab Hussein, 50, adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam. Kedua-duanya bergraduat dari universiti itu pada tahun 1992.

Kata anak jati kelahiran Petrajaya, Kuching, Sarawak itu, dia juga ingin menjadikan ijazah yang bakal dimilikinya itu nanti sebagai platform untuk melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah bagi membolehkannya mencapai cita-cita menjadi seorang tenaga pengajar.

Kegembiraan sama turut diluahkan seorang lagi pelajar baharu yang berasal dari Ipoh, Perak, Wong Mei Jing, 19.

Katanya, dia tidak mengangka permohonan untuk melanjutkan pengajian di UM diluluskan oleh pihak pengurusan universiti.

“Memang sejak dulu lagi saya sudah memasang impian untuk melanjutkan pengajian di UM kerana selain merupakan sebuah universiti tertua di negara ini, ia juga memiliki pelbagai kemudahan yang boleh membantu pelajar mencapai kecemerlangan.

“Saya yakin dengan suasana kampus yang tenang dan ceria di samping program serta aktiviti yang telah disusun, saya mampu menamatkan pengajian di sini dalam tempoh yang ditetapkan, sekali gus memperoleh kecemerlangan dalam akademik dan bukan akademik,” katanya yang mendaftar sebagai pelajar baharu bagi program Ijazah Sarjana Muda Seni Bina.

Mohd. Muazzam dan Mei Jong merupakan antara 4,163 pelajar baharu yang ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda merangkumi pelbagai kursus di UM.


SERAMAI 4,163 orang pelajar baharu mendaftar masuk di Universiti Malaya bagi sesi pengajian 2017/2018.


Aku janji

Mereka mendaftarkan diri pada 3 September lalu dan akan memulakan sesi pengajian bagi semester pertama bermula hari ini selepas menjalani minggu suai kenal yang dikenali sebagai Minggu Haluan Siswa (MHS) selama kira-kira seminggu.

Pada Selasa lalu, mereka turut berhimpun bagi melafazkan ikrar Aku Janji di hadapan pegawai tertinggi universiti sebagai tanda patuh dan taat kepada peraturan universiti sepanjang bergelar mahasiswa UM.

Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Prof. Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid ketika berucap pada upacara lafaz ikrar itu berkata, bertepatan dengan tema MHS pada tahun ini iaitu Mahasiswa Tonggak Transformasi Nasional, pelajar baharu yang mendaftar di universiti berkenaan merupakan generasi yang akan mewarisi kepimpinan negara pada masa hadapan.

Justeru katanya, UM telah mengenal pasti beberapa perancangan jangka panjang bagi memastikan inti pati yang terkandung dalam pelan Transformasi Negara 2050 yang diperkenalkan kerajaan dapat dicapai.

“Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni universiti banyak merancang serta menganjurkan aktiviti yang boleh membantu mengasah kemahiran semula jadi dan potensi diri pelajar untuk menjadi seorang mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi bidang-bidang lain.

“Malah, program Gap Year yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi baru-baru ini juga boleh dijadikan platform untuk para pelajar meningkatkan kemahiran diri dalam bidang-bidang tertentu.

“Kemahiran-kemahiran di luar bilik kuliah ini sangat penting bagi membolehkan para pelajar menjadi seorang graduan yang holistik, seimbang dan mampu memenuhi cabaran setelah memulakan kerjaya suatu hari nanti,” katanya.

Jelas Zakri lagi, UM juga sangat menitikberatkan soal pembentukan modal insan yang cemerlang berteraskan 10 nilai utama yang telah digariskan oleh pihak universiti bagi memastikan setiap graduan mempunyai nilai yang tinggi dalam pelbagai aspek.

Katanya, nilai-nilai itu termasuk integriti, profesionalisme, hormat, meritokrasi, kebebasan akademik, semangat kerja berpasukan, berfikiran terbuka, kreativiti, kebertanggungjawaban dan tanggungjawab sosial.

“Amat penting bagi setiap pelajar khususnya yang baru mendaftar masuk ke universiti ini untuk memahami kesemua nilai teras ini supaya setiap tindakan yang dilakukan akan berpaksi kepada nilai murni yang akan membina jati diri cemerlang,” katanya.

Ketika ini, UM mempunyai lebih daripada 24,000 orang pelajar yang sedang mengikuti pelbagai bidang pengajian merangkumi program ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.

Dalam pada itu, Pengetua Kolej Kediaman ke-12, Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri berkata, sebagai pusat penginapan pelajar, kolej kediaman itu mempunyai tanggungjawab yang besar dalam membantu pihak universiti membentuk jati diri pelajar ke arah menjadi insan yang lebih cemerlang.


LIMA pelajar mendengar penerangan tentang program Pasukan Latihan Pegawai Simpanan yang ditawarkan oleh Angkatan Tentera Malaysia.


Rumah kedua

Justeru, pelbagai aktiviti luar bilik kuliah telah dirancang dan disusun bagi membolehkan pelajar meningkatkan pelbagai kemahiran diri.

“Kolej kediaman boleh dianggap sebagai rumah kedua bagi semua pelajar kerana di situlah mereka akan menghabiskan banyak masa selain daripada bilik kuliah.

“Jika bidang akademik menjadi tanggungjawab fakulti pengajian, bidang bukan akademik pula menjadi tanggungjawab kolej kediaman.

“Sebab itulah pengurusan kolej kediaman harus memainkan peranan bagi memastikan setiap pelajar melibatkan diri dalam aktiviti dan program yang telah diatur serta dilaksanakan agar hasrat universiti untuk melahirkan graduan yang holistik tercapai,” katanya.

Bagi pasangan kembar, Nurshahrinna Syarizal, 20, dan adiknya, Nurshahrinni, yang mendaftar untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Tari, mereka memasang azam untuk menjadi seorang graduan yang cemerlang selepas tamat pengajian tiga tahun lagi sebaik mendaftar masuk ke universiti itu beberapa hari lalu.

Kata mereka, dengan prasarana dan suasana kehidupan kampus yang ada di UM selain perancangan jangka panjang yang telah digariskan oleh pihak universiti, mereka yakin impian tersebut dapat dicapai suatu hari nanti.

Rencana Utama!»

Jana 5 kilowatt kuasa hidroelektrik

SISTEM vorteks bergantung sepenuhnya kepada pusaran air sungai berbanding konsep kitaran kincir air yang terdapat pada empangan jana tenaga lain.

GenK»

Lahirkan artis seni muda berciri usahawan

MUHAMMAD AFIQ menggunakan bilik inkubator yang disediakan kepadanya untuk berkarya.

Varia!»

TeknologiVeggie Factory pertanian masa depan

Teknologi Veggie Factory yang terdapat di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Process time in ms: 31