RUANG

Konsep industri, chic dan funky Hotel Dash Box

Konsep industri, chic dan funky Hotel Dash Box

RUANG luar Hotel Dash Box menggunakan rona-rona ceria yang cukup sesuai dengan konsep keseluruhan hotel.


SIAPA sangka, di tengah-tengah bandar Cyberjaya, Selangor terdapat sebuah hotel butik yang cantik sesuai buat pengunjung yang mencari tempat bersantai, namun tidak terlalu jauh dengan ibu kota Kuala Lumpur.

Terletak di Persiaran Apec, hotel seluas 16,187 meter persegi itu sebenarnya sudah beroperasi sejak dua tahun lalu, namun ia baru sahaja selesai diubah suai dengan konsep lebih segar dan unik.

Selesai memarkir kereta berdekatan pintu masuk utama, kru Jurnal disambut mesra oleh staf hotel yang bersedia membawa kami untuk melawat kawasan premis tersebut.

Cuaca panas terik pada tengah hari itu tidak sedikit pun mematikan langkah kru Jurnal untuk meninjau-ninjau seluruh kawasan itu.

Pengurus Hotel Dash Box, Gan Hing Min, 33, kemudian membuka bicara tentang premis itu yang memulakan operasinya pada tahun 2015.

“Konsep dekorasi yang diketengahkan pada hotel ini adalah industri, chic dan funky.

“Jika dilihat, kami menggunakan warna putih dan hitam sebagai warna utama hotel, namun diserikan dengan rona-rona terang seperti hijau dan kuning bagi menyerlahkan sisi industri pada hiasannya,” ujar anak kelahiran Sungai Nibong, Pulau Pinang itu.


BIARPUN ringkas, padanan warna-warna ceria dan patung arnab di atas katil putih polos menjadikan ruang bilik kelihatan segar serta lain daripada yang lain.


Robot

Biarpun ruang lobi hotel agak kecil jika dibandingkan dengan hotel-hotel butik lain, hiasan dalamannya cukup menarik dan kelihatan senada dengan konsep industri pada hotel.

Beberapa unit hiasan berbentuk robot dilihat menghiasi dinding ruangan itu. Menurut Hing Min, pemilihan robot adalah kerana ia cukup mudah menarik minat pengunjung yang datang kerana karakternya yang unik dan mengujakan.

“Semenjak kecil, kita sudah begitu dekat dengan karakter robot. Oleh itu, kami memilih untuk menghasilkan robot dengan barangan terpakai bagi menjadikan ia lebih menarik selain memiliki nilai sentimental.

“Selain itu, beberapa unit patung menyerupai seorang lelaki berwarna coklat pekat juga diletakkan hampir di setiap sudut hotel, menjadikan dekorasi yang diketengahkan cukup berbeza,” ujarnya.

Menjengah ke kawasan kolam renangnya pula, kru Jurnal agak tertarik dengan bentuknya yang agak bersegi menjadikan ia nampak unik dan lain daripada lain.

Tanaman seperti pokok-pokok kecil dengan daun berwarna kuning di sekeliling kolam renang itu pula mencipta suasana damai selain cukup cantik dijadikan sebagai lokasi bergambar kenangan.

Tarikan utama pada hotel itu adalah binaan berwarna putih yang berbentuk seperti lumbung.

Lumbung merupakan tempat simpanan padi atau haiwan ternakan yang cukup popular di Indonesia dan Hotel Dash Box mengambil konsep binaan itu yang kemudiannya dimodenkan dan diberikan suntikan industri.

Memandangkan cawangan pertama hotel itu terletak di Bali, Indonesia, pemilik mengambil konsep binaan popular di negara itu untuk diketengahkan pada Hotel Dash Box Cyberjaya.


RUANG luar Mya Cafe yang cukup selesa dan santai, sesuai buat tetamu yang mahukan suasana begitu saat menjamu selera.


Patung arnab

Hotel itu menempatkan tiga jenis bilik iaitu jenis Studio, Twin dan Deluxe. Bilik jenis Studio sesuai buat mereka yang mengembara solo, jenis Twin pula sesuai buat mereka yang bercuti bersama pasangan, manakala jenis terakhir iaitu Deluxe sesuai untuk keluarga yang mahukan bilik yang besar dan cukup selesa saat bercuti.

Setiap jenis bilik memiliki konsep dekorasi sama iaitu cadar putih polosnya diserikan dengan hiasan patung arnab berwarna hijau terang yang juga merupakan maskot hotel tersebut.

Kemasan lantai jenis kayu pada setiap bilik pula tampak elegan apabila dipadankan dengan dinding putih dan kuning cair, menyerlahkan sisi industri pada hotel.

Lebih menarik, bagi bilik jenis Deluxe, bahagian kepala katil sebenarnya diperbuat daripada paip yang digunakan di kilang-kilang dan cukup sinonim dengan hiasan ala industri.

Lampu jenis mentol biasa pula dipadankan di setiap jenis bilik bagi mencipta kesenadaan dengan konsep hotel.

Selesai melihat kawasan bilik, kru Jurnal dibawa melihat satu-satunya kafe yang ada di hotel tersebut iaitu Mya Cafe.

Kafe tersebut cukup menarik apabila pemilik berani menggabungkan pelbagai jenis konsep di dalamnya.

Saat pintu kafe itu dikuak, mata kru Jurnal seakan-akan sukar untuk fokus pada satu hiasan sahaja memandangkan Mya Cafe sarat dengan warna dan dekorasi seperti bingkai gambar penyanyi popular Hollywood serta hiasan dinding berbentuk kepala lembu.

Begitu pun, ia tidak langsung kelihatan sarat malah kombinasinya nampak cantik dan memukau.

Bagi mencipta kesenadaan, lantai dan siling kafe adalah dari corak yang sama iaitu corak segi empat sama dari rona hitam dan putih, menyerlahkan lagi elemen chic dan funky dalam tata riasnya.

Process time in ms: 31