VARIA

Lepas 1,400 anak penyu agar ke laut

Lepas 1,400 anak penyu agar ke laut


Ismail (tiga dari kanan) bersama Zawawi (empat dari kanan), Ketua Pegawai Eksekutif BP Petronas Acetyls Sdn. Bhd., Samsuraji Jaafar (tengah) dan Pengurus Kanan Petronas Carigali Sdn. Bhd., Norhana Harun (empat dari kiri) melepaskan anak penyu agar pada Program Pelepasan Penyu di Pantai Paka, Dungun, Terengganu baru-baru ini.


PENYU merupakan hidupan marin yang semakin diancam kepupusan dan bilangan yang mendarat di pantai-pantai di negara ini juga kian berkurangan.

Hidupan prasejarah yang dianggap istimewa itu juga merupakan spesies dilindungi yang diwartakan di bawah Akta Perikanan 1985.

Sehubungan itu, pemuliharaan spesies penyu terus menjadi agenda Jabatan Perikanan.

Baru-baru ini, jabatan tersebut berkolaborasi bersama tiga syarikat swasta iaitu Petronas Carigali Sdn. Bhd., BP Petronas Acetyls Sdn. Bhd. dan Hotel The Qamar Paka dengan melepaskan 1,400 anak penyu agar di Pantai Paka, Dungun, Terengganu.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan berkata, proses menguruskan anak penyu sememangnya memerlukan kos yang tinggi dan perbelanjaan tersebut dapat ditampung dengan tajaan syarikat-syarikat swasta.

“Sejak kebelakangan ini, semakin banyak syarikat swasta yang tampil untuk bekerjasama dengan Jabatan dalam usaha memulihara reptilia yang semakin diancam kepupusan tersebut.

“Boleh dikatakan hampir 50 peratus kos bagi program pelepasan anak penyu menerima tajaan daripada syarikat-syarikat swasta dan diharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelepasan anak penyu agar di Pantai Paka baru-baru ini.

Pada program tersebut, dianggarkan lebih 1,000 penduduk setempat serta pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan pelepasan anak penyu agar tersebut yang diadakan di pesisir pantai berhampiran Hotel The Qamar Paka.

Dalam pada itu, Ismail turut menjelaskan, daripada tujuh spesies penyu yang wujud di dunia, empat daripadanya boleh ditemui di negara ini iaitu penyu agar, karah, lipas dan belimbing.

Bagaimanapun menurut Ismail, dua spesies tersebut iaitu penyu lipas dan belimbing kini semakin diancam kepupusan dipercayai akibat faktor-faktor seperti pencemaran di kawasan perairan serta ketidakseimbangan sistem ekologi hidupan laut.


Pelepasan anak penyu agar ke laut antara langkah menggelakkan haiwan ini daripada pupus.


Pendaratan

“Para nelayan di perairan negara diminta turut membuka mata mereka supaya tidak menggunakan peralatan seperti dawai mahupun pukat tunda kerana ia turut menjadi faktor ancaman kepada kepupusan spesies yang dianggap sebagai khazanah negara ini,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Zawawi Ali memberitahu, berdasarkan rekod sehingga tahun lalu, tiada pendaratan di negeri ini membabitkan penyu belimbing yang merupakan spesies paling besar reptilia terbabit dicatatkan sejak tahun 2010.

“Bagaimanapun, tahun lalu Terengganu merekodkan pendaratan penyu agar paling tinggi dalam tempoh lima tahun melibatkan 5,090 pendaratan di Pulau Redang; Pantai Geliga (2,305); di Pulau Perhentian dan Besut, Kemaman (587) dan Pantai Ma’Daerah, Kerteh (399).

“Turut dicatatkan sebanyak 70 kematian penyu agar betina dengan kebanyakannya ditemui tidak bernyawa antara bulan Januari hingga April di kawasan pantai Kerteh, Kemaman, Paka serta Kuala Terengganu,” ujarnya.

Zawawi berkata, pihaknya turut merekodkan sebanyak 803,104 biji telur penyu agar dan 2,528 biji telur penyu karah hasil pendaratan reptilia tersebut pada tahun lalu dengan sejumlah 611,643 anak penyu agar berjaya menetas dan dilepaskan.

Tambahnya lagi, pelbagai program pengurusan penyu juga telah dilaksanakan oleh pihak jabatan antaranya merizabkan sebanyak 12 kawasan pantai penyu bagi tujuan pemuliharaan dan daripada jumlah tersebut hanya dua kawasan pantai iaitu di Rantau Abang dan Ma’Daerah diwartakan sebagai santuari hidupan marin berkenaan.

Zawawi turut menjelaskan, antara kaedah-kaedah yang digunakan bagi mengeramkan telur penyu termasuk tuntung laut adalah pengeraman semula jadi, penetasan, penempatan semula iaitu memindahkan telur-telur tersebut ke kawasan lebih selamat serta menggunakan kotak styrofoam apabila melibatkan pendaratan luar musim dan di kawasan terpencil.

Rencana Utama!»

Jana 5 kilowatt kuasa hidroelektrik

SISTEM vorteks bergantung sepenuhnya kepada pusaran air sungai berbanding konsep kitaran kincir air yang terdapat pada empangan jana tenaga lain.

GenK»

Lahirkan artis seni muda berciri usahawan

MUHAMMAD AFIQ menggunakan bilik inkubator yang disediakan kepadanya untuk berkarya.

Varia!»

TeknologiVeggie Factory pertanian masa depan

Teknologi Veggie Factory yang terdapat di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Process time in ms: 172