HORIZON

Habitat semula jadi haiwan di Zoo Taiping & Night Safari

Habitat semula jadi haiwan di Zoo Taiping & Night Safari


Memberi makanan kepada beberapa haiwan antara aktiviti yang disediakan untuk pengunjung.


TAIPING, Perak merupakan antara penempatan moden pertama negara yang popular dengan aktiviti perlombongan pada suatu masa dahulu.

Kini, bekas lombong itu menjadi sebahagian daya tarikan yang popular dalam kalangan orang ramai, tidak kira dari dalam dan luar negara.

Salah satu tarikan pelancongan yang terdapat di daerah dalam negeri Perak itu ialah Zoo Taiping & Night Safari. Ia terletak di dalam kawasan semula jadi di Taman Tasik Taiping berhampiran kaki Bukit Larut.

Keindahan alam semula jadi yang menarik seperti aliran anak sungai, tasik, dan kehijauan flora menambahkan lagi keunikan Zoo Taiping & Night Safari dalam mempamerkan suasana semula jadi.

Taman Mergastua Sultan Idris Shah atau lebih dikenali sebagai Zoo Taiping merupakan satu-satunya zoo yang terletak di sebelah utara Semenanjung Malaysia. Bermodalkan kawasan zoo seluas 14 hektar itu, Zoo Taiping telah memulakan satu pembaharuan dengan memperkenalkan pameran haiwan dengan menggunakan konsep terbuka.

Selain itu, zoo tersebut juga merupakan habitat kepada 1,200 ekor haiwan yang terdiri daripada 140 spesies. Haiwan-haiwan tersebut terdiri daripada harimau, singa, gajah, badak air, zirafah, enggang dan orang utan.

Tambahan pula, usaha- usaha pembiakan hidupan liar ini telah terbukti berjaya. Antara hidupan liar yang berjaya dibiakkan ialah harimau belang, singa, siamang, rusa, nilgai dan burung kuak.


Seorang petugas zoo memberi makanan kepada badak air menarik perhatian para pengunjung.


Sekiranya anda seorang peminat haiwan atau ingin memberikan pendedahan kepada anak anda untuk mengenali pelbagai jenis binatang, Zoo Taiping & Night Safari seharusnya berada dalam senarai utama lawatan pada hujung minggu.

Perjalanan anda untuk meneroka kawasan zoo yang cukup luas ini dipermudah dengan adanya pengangkutan tram, selain papan tanda dilengkapi informasi menarik mengenai haiwan dipamerkan.

Keunikan di Zoo Taiping & Night Safari pada asasnya terletak pada reka bentuk pamerannya yang seakan-akan menyerupai tabiat asal haiwan berkenaan.

Maka tidak hairanlah, zoo awam pertama yang dibuka di negara ini pernah merangkul Anugerah Pelancongan Malaysia bagi kategori tarikan pelancongan terbaik buatan manusia.

Selain itu, kemudahan lawatan yang turut dibuka pada waktu malam mulai pukul 8 malam, juga diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai Safari Malam Pertama di Malaysia.

Primat terkecil

Bermula dengan pameran haiwan tamarin dan marmoset yang merupakan primat terkecil di dunia, pengunjung kemudian dibawa untuk merasai pengalaman

di kawasan hutan hujan tropika serta hutan tanah pamah rendah di negara ini.

Antara yang boleh disaksikan termasuklah binturong, kijang, kucing batu, landak raya, landak nibung, memerang kecil, tuntung laut dan merak hijau.


Pengunjung boleh menggunakan tram ketika melawat sekitar Zoo Taiping & Night Safari.


Namun, pengalaman menikmati Safari Malam pastinya lebih menarik apabila berpeluang melihat sendiri keluang kecil dan kelawar cecadu pisang yang sangat aktif pada waktu malam.

Selain itu, jangan lupa menyaksikan ikan arapaima iaitu spesies ikan air tawar bersaiz gergasi yang boleh didapati dalam sungai terbesar dunia iaitu Sungai Amazon.

Ikan arapaima yang mampu mencecah berat sehingga 200 kilogram, memerlukan oksigen daripada udara disebabkan oleh pengubahsuaian organ pernafasannya seakan-akan paru-paru.

Pameran orang utan dan chimpanzee yang telah dinaik taraf pula membolehkan pengunjung menyaksikan kebolehan fizikal dan psikologi mamalia tersebut apabila pokok-pokok tiruan tinggi dibina serta disambungkan pada dahan-dahan bagi membolehkan ia bergayut.

Begitu juga dengan pameran harimau belang dan harimau kumbang. Selain diubah suai selari dengan pematuhan Akta Konservasi Hidupan Liar 2010, segala tabiat dan kebolehan haiwan tersebut seperti memanjat pokok dapat diperhatikan ketika mendapatkan makanan.

Bagi pengunjung yang ingin merakam saat-saat haiwan diberikan makanan, waktu kunjungan paling sesuai ialah antara pukul 9 pagi hingga 11 pagi dan 8 malam hingga 10 malam.

Process time in ms: 31