HORIZON

Warisan budaya suku kaum Sasak di Lombok

Warisan budaya suku kaum Sasak di Lombok


Hanya basikal dan motosikal menjadi kenderaan utama di Gili Trawangan.


KUNJUNGAN kali pertama ke Lombok pada bulan Disember 2016 lebih tertumpu kepada memenuhi minat terhadap aktiviti mendaki.

Fokus utama ialah menawan puncak Gunung Rinjani pada ketinggian 3,726 meter dari aras laut.

Jadual pendakian yang agak padat menghalang penulis untuk meneroka bumi Lombok.

Lombok adalah sebuah pulau yang terletak di Nusa Tenggara Barat, Indonesia dan lokasinya tidak jauh dari bandar pelancongan Bali.

Jika dibandingkan, Bali lebih maju dalam industri pelancongan. Lombok merupakan destinasi pelancongan baharu yang sedang berkembang di Indonesia.

Bagaimanapun, penulis mengambil keputusan untuk ke Lombok buat kali kedua bersama isteri dan beberapa orang teman baru-baru ini.

Penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Lombok menggunakan syarikat penerbangan AirAsia selama tiga jam tidak dirasai kerana dipengaruhi perasaan teruja untuk menerokai bumi Lombok.

Sebelum ini, banyak kisah mengenai lelaki Lombok yang datang bekerja di sini melarikan wanita Malaysia ke sana. Kisah itu sedikit sebanyak menjadi kerisauan dalam hati teman-teman.

Setibanya kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok, kami disambut oleh Maya bersama suaminya Dana, pemilik Lombok Art Tour & Travel, rakan yang penulis kenali semasa kali pertama ke Lombok tahun lalu.

Kami dibawa ke restoran tempatan untuk makan tengah hari. Kami dihidangkan dengan menu nasi ayam bakar taliwang, salah satu makanan tradisi masyarakat Sasak di Lombok.

Makanan itu dihidangkan bersama pelecing kangkung. Selain itu, kami juga disajikan dengan menu suku kaum Sasak yang lain seperti sate rembiga, sup bebalung dan nasi balap puyung.


Penulis (kanan) sempat memperagakan pakaian tradisi suku kaum Sasak di Pusat Tenunan Kain Desa Sukarara, Lombok.


Destinasi pertama kami ialah Gili Trawangan iaitu sebuah pulau peranginan yang menjadi tumpuan pelancong Eropah. Lokasi ini popular dengan aktiviti air seperti skuba, bersnorkel dan meluncur ombak.

Ayunan ombak

Penulis mengambil kesempatan bersama rakan-rakan untuk mengelilingi Gili Trawangan dengan berbasikal. Objek yang menjadi tumpuan ialah ayunan ombak yang banyak dibina di pesisiran pantai Gili Trawangan.

Hari kedua kami kembali ke lokasi pusat Bandar Mataram, Lombok. Kami dibawa melawat pusat tenunan kain tradisi kaum Sasak yang terletak di Sukarara, Lombok Barat. Di sini, penulis melihat proses tenunan kain secara tradisi yang menggunakan tangan sepenuhnya. Ada empat jenis tenunan yang dihasilkan iaitu kain pelikat, songket, sulaman dan tenunan ikat.

Menurut kepercayaan masyarakat suku kaum Sasak, semua wanita Lombok mesti pandai menenun sebelum memasuki gerbang perkahwinan.

Setelah berumah tangga, kaum perempuan Sasak akan dibekalkan alat tenun dan bahan benang untuk mencari rezeki. Penulis berkesempatan untuk menggayakan pakaian hasil tenunan tangan wanita Sasak.

Hari ketiga lebih padat dengan jadual lawatan. Selain dapat membeli beberapa produk istimewa Lombok untuk dijadikan cenderamata, kami mengunjungi perkampungan tradisi kaum Sasak di Desa Rembitan, Pujut, Lombok Tengah. Ketibaan kami disambut oleh paluan gendang beleg yang dimainkan oleh dua pemuda suku kaum Sasak.

Di perkampungan Sasak Sade ini, terdapat lebih 150 ketua keluarga. Mereka mendiami rumah yang dibina dengan menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti lalang dan buluh. Campuran najis lembu dengan tanah liat digunakan untuk membina lantai dan dinding rumah.


AYUNAN Ombak antara objek tumpuan untuk bergambar yang banyak didirikan di sepanjang pantai di Gili Trawangan.


Kami dipersembahkan dengan tarian peresean oleh dua lelaki dengan menggunakan sebilah rotan dan perisai tangan.

Latihan peperangan

Tarian ini menunjukkan ketangkasan orang Sasak dalam menghadapi musuh. Pada awalnya, tarian ini adalah satu bentuk latihan peperangan yang menggunakan pedang dan perisai.

Sepanjang empat hari tiga malam di bumi Lombok, penulis dapat mengenali pelbagai budaya dan corak hidup masyarakat Sasak yang menjadi suku kaum utama di pulau tersebut.

Banyak unsur budaya itu masih lagi dipengaruhi amalan-amalan tradisi sejak sekian lama.

Namun, menurut pemandu pelancong yang mengiringi kami, sudah banyak perubahan amalan berlaku selaras dengan syiar Islam yang dianuti oleh majoriti penduduk Lombok.

Process time in ms: 31